Majlis kahwin. |
Majlis perkahwinan yang berlangsung kiranya menjadi medan terbaik untuk sanak saudara berkumpul. Ketika inilah ibu saudara yang jauh bertandang. Sepupu sebaya dapat mengenal setelah jarang bersua. Malah, majlis perkahwinan mengumpulkan semula teman-teman dan riuh sekampung berhari-hari menyediakan persiapan perkahwinan.
Baru pulang majlis perkahwinan Nakhaie, jiran sekampung. Terkenang nostalgia majlis perkahwinan. Lalu, aku mula menaip diiring Maher Zain dengan lagunya , barakallahulak.
Aku masih ingat pengalaman dua kali diadakan majlis perkahwinan di rumah pada tahun 1999 [kakak sulung] dan 2002 [kakak kedua]. Meriah ketika itu dengan penduduk kampung berkumpul untuk sama-sama buat kerja dan meraikan majlis perkahwinan itu. Khidmat yang digunakan adalah penduduk kampung yang menjadi mentara [tukang angkat hidangan] berbanding sekarang banyak yang selesa menggunakan khidmat catering. Ketika majlis kenduri, ada tempat makan yang dipanggil balai. Tetamu akan makan ramai-ramai di situ.. Melihat kesungguhan pakcik-pakcik menyediakan masakan, menyiapakn air, menanak nasi dan ibu-ibu menyiapkan jelatah dan ulam... kemudian sama-sama berganding bahu menghidangkannya buat tetamu. Hidangan bertalam. Mungkin tiada lagi kelak.
^terkenang kenangan lagi.^
Dalam kesibukan penduduk kampung berkumpul itulah yang lama tidak berjumpa kembali dekat, sepupu sepapat datang rumah dan berkumpul sama-sama. Melekat bunga telur dan memasukkan telur dalam kotak. Itu zaman dua orang kakak aku. Sekarang aku nampak tradisi bunga telur makin pupus. Biasanya anak-anak mendapat gula-gula dan bagi yang dewasa mendapat kuih yang dibungkus. Ya, masa berubah dan keadaan tidak sama. Turut terasa percikan perubahan itu.Ada juga bungkusan-bungkusan kuih yang disiapkan untuk mentara dan penduduk kampung yang telah mencurah tenaga. Biasanya turut ada tuala sebagai cenderamata.
^untuk kesat peluh.^
^untuk kesat peluh.^
Melihat persiapan aku tidak lupa melihat bilik pengantin, melihat orang membuat hantaran.. Syukur, di kampung terpencil ini pelamin segala bagai bukanlah suatu keutamaan hanya disediakan ruang untuk pengantin makan.
Ah, ianya kenangan yang kekal dalam ingatan. Malam kenduri semuanya berjaga dan pengantin dipakaikan inai.
Aku teringat kisah hantaran yang diterima oleh kakak aku. Buah kelapa atau dipanggil 'nyiok' oleh orang Kedah. Alkisahnya kakak aku dinikahkan dengan orang berketurunan Banjar dan kami tidak arif adat masyarakat Banjar. Melihat buah kelapa yang dijadikan hantaran, maka kami menggunakan ia untuk masakan. Mahu tahu apa tujuan buah kelapa itu? Ditanam bagi menandakan tarikh mereka disatukan. Hm.. Lain padang, lain belalang...
^menunggu majlis untuk kakak seterusnya pula.. tentu beda suasananya.^
titik
Dalam kita ghairah dan rasa gembira untuk menyambut kedatangan 'orang baru' dalam keluarga, semoga kita tidak lupa perintah Yang Esa. Bukannya kita melampau dalam menyiapkan persediaan kahwin dan bertabarruj. [naudzubillah...] Keutamaan menjemput majlis kahwin ialah orang yang kurang mampu dan bukannya sekadar orang yang punya wang. Hm, jika dibuat di hotel bagaimana ya?
aku jadi teringat pula perbualan dengan pemandu teksi ketika dalam perjalananke majlis perkahwinan kawan aku Norihan. Ketika itu aku bersama Ainul Salasiah.. [ayat versi aku]
"mau pigi mana?"
"kenduri kahwin."
"Oh, sudah sedia angpau la."
Menurut pemandu teksi yang berketurunan cina, mereka perlu menyediakan wang dan membayar bagi setiap kepala yang menghadiri. Mungkin sahaja mencecah seratus seorang mengikut tempat majlis diadakan. Jika bagi kami masyarakat kampung di Kedah, ada seringgit dalam sampul itu sudah banyak. Tidak kisah juga jika bertangan kosong. Satu kebiasaan yang aku lihat ketika mak cik-mak cik datang ketika kenduri ialah mereka menyedekahkan beras.. gula...
Syukurlah kita dapat makan percuma dan menyambut silaturahim ketika majlis kahwin. Semoga Allah berikan keberkatan bagi tuan rumah yang menghidangkan makanan...
Hm, pengantin sekarang atas pelamin boleh sembang, pegang telefon... [haha, motif apakah aku berkata begini? Hanya teringat pengantin dulu yang malu-malu miau. =] ]
Nota Sebelum Titik:kawin-kawin. [novel azizi haji abdullah]
menanti hari itu,
3.39p.m/28.11.2010
Qamar Jamilah, Mahang.
Barakallahulak.
Comments