Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2011

perjalanan

perjalanan terus ke depan berpaling tidak. melangkah berkali rebah bangun mengaku kalah tiada. kejayaan bukan sehari usaha panjang jalannya tuju jaya dunia Sana lu'luah Nur jamilah 4.00 p.m Mahang 

Orang Baik Itu Damai Hatinya.

Tagline Ustaz hasrizal: Erti Hidup pada Memberi Aku harus sedar yang selama ini hati, lidah, akal dan anggota seluruhnya saling bekerjasama untuk menghidupkan sekujur tubuh yang Allah pinjamkan selama nadi masih berdetik dan jantung tetap menjalankan tugasnya tanpa henti. Tidak ia berhenti selagi belum hadir ketetapan yang sudah tertulis sejak Azali bahawa nafasku hanya takat ini. Bersediakah aku sebenarnya untuk merasai saat itu? Bukanlah itu persoalannya dan bukan itu yang mahu aku contengkan kali ini. Sekadar menurut aliran jemari sebagaimana selalu aku membiarkan jejari tidak runcing itu bergerak sambil akal dan hati cuba untuk terus mengatur kata. Tulisan yang menggantikan semua bicara yang tidak mampu aku luahkan dengan lisan yang sering bisu. Bagi aku, lebih baik diam daripada aku sering menyakitkan hati orang apabila aku bercakap banyak dan tingkah yang pelik-pelik keluar daripada jasad ini. Aku sentiasa percaya dan yakin yang Allah berikan apa yang kita berikan kepad

Secolek Pengalaman

Ke Penang merentas laut 20 Julai 2011 tarikh terakhir aku menulis manuskrip di sini. Kemudian bermulanya perjalanan aku kembali ke Utara. Persinggahan seketika di dua buah rumah sahabat sebelum akhirnya setelah seminggu barulah halaman rumah sendiri aku pijak. Semuanya sudah diatur di atas Sana dan aku mengikut semua yang tersusun buatku. Sukalah untuk aku kisah kembali di sini biar jadi kenangan buat diri sendiri kala aku menatapnya kembali... 20 Julai 2011. Perjanjian dibuat dengan Ainul yang mana aku mengambil keputusan untuk ke rumahnya terlebih dahulu sebelum kami sama-sama ke rumah Rokiah, sahabat kami yang akan melangsungkan akad nikahnya pada 23 Julai 2011. Walaupun pada mulanya hati seakan ragu untuk pergi atau tidak, Allah telah lorongkan hati ini untuk sama-sama meraikan pernikahannya... Alhamdulillah. Seawal 8.30 pagi aku sudah menuruni tangga Nusaibah untuk menanti bas 91 yang akan membawaku ke Puduraya. Selamat tinggal Humaira, selamat bertemu kembali tanah kelahiranku, K

Terus

Puduraya yang sudah cantik. alhamdulillah, 20 Julai 2011 aku akan bergerak meninggalkan Taman Ilmu dan Budi dengan meninggalkan seribu tiga rasa. semester depan tentunya bermula kisah baru dan diari baru akan dibuka. Tinggalkan kisah lama dalam lipatan diari yang tersimpan dalam kotak dan ingatan. Bilang-bilang-bilang sudah hampir tiba Ramadhan. Berapa ramai yang tidak sempat menyambut Ramadhan. Aku, jangan jadi manusia yang hanya tahu menyesal. semester tiga sudah beberapa minggu berakhir dan alhamdulillah, dapat juga bekerja walaupun hanya enam hari dan selama dua minggu aku 'berkampung' di Nusaibah. Setiap hari memanjat 'tangga Batu Caves' (tangga mahallah Nusaibah) dan beberapa hari melihat matahari terbenam dan bulan terang. Kembali ke rumah, tentunya tidak sabar mendegar cerita tiga 'anak' di rumah.. :) Akhirnya, terima kasih buat tuan bilik tempat aku menginap. Humaira Ismail. Banyak yang Maira beri, segan saya dengan kamu. Syukran jazilan. Semoga Allah b

apabila seseorang pergi...

..manusia yang baik meninggalkan haruman, Yang dihidu oleh manusia sekelilingnya, Bersama kenangan yang terus mekar.. kerana dia manusia baik.... manusia yang baik, biar telah beradu dengan aman, Sudah menghadap Pencipta, Masih diingat.. kerana dia manusia baik. hatinya suci.... .....subhanallah.

Tanpa Perasaan

Selesai menonton Nur Kasih The Movie. Tanpa perasaan... Apa yang kamu tulis akan jadi sejarah buat diri srndiri -Siapakah aku untuk menyoal apa yang Allah beri pada aku? -Mengapa aku harus mengalah sedang aku belum mulakan usaha? -Mak sentiasa melakukan dan inginkan yang terbaik dan memberi yang paling TERBAIK buat anak. -Anak, ingatkah apa yang orang tuamu pernah lakukan? -Wahai yang belajar agama, tinggi sangatkah untuk melupakan pada yang perlukan bimbingan? -Diri, peluang yang Allah berikan adakah kuguna atau mengeluh masa terpeluang apakah yang dapat aku lakukan? -Sedang ramai yang berjuang untuk merebut peluang yang tinggal sedikit sebelum 'pergi' -Kita hanya perlu BERSEDIA dengan apa yang Allah berikan pada kita. Pastinya itu YANG TERBAIK. -Walau apa sekalipun itulag TAKDIR dan jangan PASRAH SEBELUM BERMULA! -Adakah bersedia untuk diri melangkah? Jika hanya berfikir tanpa bertindak tiada makna. -Apakah sebenarnya yang kau mahukan dalam hidup?

Cerpen: Mujahid Syamsiah

Mujahid Syamsiah Jamilah Mohd Norddin Syamsiah membatu dalam bilik. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang amat bermakna baginya. Bergelar seorang isteri. Namun inilah hari paling gementar sepanjang hayatnya. Menikahi seseorang yang tak pernah diimpi dalam hidupnya. Dia pasrah jika ini takdir terbaik buatnya. Ada setitik dua air menuruni pipinya, mencacatkan seri wajah yang telah disolek tipis. Dia tak mampu menahan harunya. Kita merancang, dan ALLAH juga merancang, perancangan ALLAH itulah yang terbaik. Syamsiah akur dengan nasihat Abah. Dia reda menerima takdir. Sesungguhnya ALLAH akan menggantikan sesuatu yang hilang daripada kita dengan sesuatu yang lebih baik. "Perjuangan ini menuntut kita untuk berkorban segala-galanya." "Tapi aku tak mahu kita korbankan masa depan kita." "Bukan masa depan tapi aku mencari cinta yang lebih sejati. Cinta ini hanya akan aku peroleh di sana. Sebagai manusia aku sayangkan kau sebagai tunanganku, tapi aku lebih sayangkan tana

Mencari Diri Dalam Penulisan

Walaupun jemari masih kaku untuk menulis karya baru, syukurlah masih juga diberi kekuatan untuk aku terus mencatat satu dua kata dalam manuskrip ini. Masa yang sangat lapang sesungguhnya memang satu musibah kerana tidak satu perkara berfaedah yang dilakukan melainkan duduk depan laptop milik Maira. Bukan tidak ada buku yang harus dibaca namun seakan buku sudah terletak dalam senarai akhir apabila aku tidak tahu apa yang mahu aku lakukan lagi. Maka, diambil buku tulisan Shahnon Ahmad dan membacanya semuka dua. Menyusuri seketika perjalanan panjang yang dilalui Sasterawan Negara Shahnon membuatkan aku kembali menyoal diri sendiri, untuk apakah sebenarnya aku menulis. Banyak alasan yang boleh aku reka. Banyak jawapan yang boleh aku beri namun jawapan hanya ada dalam diri sebenarnya. Ada sesuatu dalam penulisan yang menarik diri untuk terus berada atas jalan ini. Memang aku tidak pergi jauh, masih teragak-agak untuk melangkah. Tidak seperti orang lain yang jauh mahu ke hadapan. Penulisan m

Saya Suka Makan

Setelah makan kena juga beriadah. Lokasi: tasik titiwangsa Kenangan yang tersimpul rapi pasti akan juga lenyap apabila tidak aku abadikan ia dengan tulisan. Sedang kisah semalam mudah sekali luput daripada ingatan. Kenangan berlalu dan aku terus menjadi perindu namun sering terlupa pada setiap kata dan bicara yang pernah terlontar dan terluah. Semakin hari semakin mudah aku tersasar kenangan yang pernah tercipta. Perlunya aku terus dan terus menconteng, biar kelak aku perlukan ia, ada untuk aku imbau kembali. Semakin menginjak hari, semakin luput daripada ingatan. Namun mana bisa aku biarkan ianya benar terjadi. Adakah aku yang tidak cuba untuk mengingat atau kapasiti memori hanya tinggal sedikit. Pemakanan yang aku hentam kromo makan apa sahaja yang diterima oleh badan antara sebabnya. Menonton jemaah kolesterol tadi terasa diri juga tersindir. Kurus bukan alasan tiada penyakit. Jika pemakanan tidak terjaga, manakan badan mahu sihat. Bukankah Rasulullah pernah berpesan, " makan k

Rindu Menggamit Hati

Hati, mengapa masih bersimpang-siur dengan persoalan yang sama. Memikir dan terus berfikir namun tidak pernah sampai ke sebuah konklusi. Ingin segera aku lepaskan semua namun akhirnya hanya terus terkaku di situ. Menanti sebuah pertemuan yang tidak mungkin akan terjadi. Tidak sesekali aku berasa penat untuk menanti saat perubahan itu benar terjadi. Ya, masih perlu untuk aku tambahkan kesabaran dan kekuatan dalam diri. Biarlah sering aku menyakiti dan terus menyakiti, tidak tahu menghargai pada semua yang ada di sisi, namun dalam semuanya masih ada rasa yang terselindung dan disembunyi. Tidak mungkin aku zahirkan semuanya. Ya Allah, jauhkanlah diri ini daripada segala godaan yang menggoyahkan selutuh perasaanku dan semoga terus aku berjalan damai atas jalan ini. Jalan yang telah aku pilih untuk meneruskan kehidupan. Aku tahu ianya sukar dan payah pada permulaannya, namun upaya dan terus berusaha untuk melangkah. Selepas ini, aku hanya perlu diam dan makin mendiamkan diri. Aku mahu membi

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Lepas Perasaan.

Apakah yang dapat mengubah diri jika tidak diri sendiri yang bangun dan bergerak untuk melakukan perubahan. Jangan haraplah akan ada magic yang akan mengubahnya. Selalu sangat kau dengar dan baca bahawa sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Maka, pandai-pandailah sedar yang selagi kau masih duduk dan duduk macam tunggul kayu, tiada yang akan berubah. Tidak ada sesuatu yang akan berubah. Kau tahu tak, jika orang lain boleh penat dengan apa yang kau lakukan, apakah lagi tubuh badan sendiri yang bersama dengan kau. Kau harus sedar yang setiap manusia dilahirkan dengan potensi Jangan kau asyik pandang diri orang lain sampai lupa untuk kembangkan bakat sendiri, tidak ingat yang kau ada amanah. Ada tugas. Kau harus ingat, ya Durrah... Bahawa sesungguhnya penulisan kau ini menjadi saksi pada semua yang telah kau lakukan. Mungki tidak semua dapat kau zahirkan pada orang, andai kelak ada yang terbaca apa kau tulis dalam

Berakhirlah Sudah Enam Hari...

Alhamdulillah, dalam cit cat itu ini akhirnya tamatlah enam hari aku bekerja sambila dengan Camar Kreatif. Dapatlah sedikit sebanyak pengalaman dan berkenalan dengan Nuriyah yang baik dan melayan aku. Kerja yang sebenarnya tidaklah terlalu banyak dan alhamdulillah, sekurangnya saya tahu kini apakah perasaan mereka yang bekerja di pejabat? =) Ada kerja kita gembira. Tak ada kerja bosan. Selepas ini sudah boleh pulang ke rumah... =) Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.

Sahabatku...

Ya Allah, Dalam sujud lama petang itu, Aku bermohon, Permudahkanlah segala urusan sahabat yang aku sayangi, Permudahkanlah segala urusan mereka, Ringankanlah bebanan mereka, Luputkanlah kesedihan mereka, Berikan mereka kesihatan yang baik. Ya Allah, Sesungguhnya, Sakit dan derita mereka itu deritaku, Biar aku hanya diam membisu. Nusaibah F2.5

Tentang

Tentang kehidupan yang kadang aku terlupakan perihal turun naiknya, Tentang perasaan yang aku lupa pasang surutnya, Tentang hati yang perlu aku jaga, Tentang rasa yang perlu aku semai, Tentang diri yang mesti dipeduli, Tentang ingatan yang masih tumpul, Tentang pandangan yang makin kabur, Tentang penulisan yang makin luntur, Tentang langkah yang kian perlahan, Tentang hati yang sering mati, Tentang sahabat yang aku lupa khabarnya, Tentang keluarga di kampung, Tentang nenek yang entah khabarnya, Tentang Ramadhan yang bakal menjelang, Tentang fotografi yang aku gilakan, Tentang kelas yang selalu aku ponteng, Tentang pensyarah yang belum pernah aku dekati, Tentang pelajaran yang makin menjunam, Tentang pinjaman yang sudah disekat, Tentang hutang belum berbayar.... Ah, Aku yang banyak mengeluh!

Diriku, perhatikanlah!

"Penulis diuji dengan apa yang ditulisnya. " [baca di sini : Ustaz Zakaria Sungib, Editor Pengurusan Galeri Ilmu] Selalu aku mendengar ayat ini dan hari ini aku membacanya lagi dalam blog Ustaz Zakaria. Sungguh benar dan ia sama juga ketika Allah tetap menguji dengan apa yang kita ucapkan setiap hari. Lantaran, usah bermain-main dengan penulisan dan segala yang kita ucapkan. Suatu hari, kita berkata yang kita sangat kuat untuk melalui hari-hari, lalu Allah uji kita dengan rasa susah hati dan kecewa. Apakah yang akan kita lakukan ketika itu? Bagaimanakah reaksi kita, adakah kita salahkan orang sekeliling dan sampai kadang kita kata: "kenapa Allah jadikan begini?" Astagfirullah... Kata-kata sebaris itu mengingatkan aku dengan tulisan demi tulisan yang pernah aku nukilkan sebelum ini. Terlalu banyak yang sudah Allah berikan dengan apa yang aku mahu. Malah, Allah sentiasa memberi lebih.. Lebih daripada yang kita pohon. Maka, layakkah aku untuk tidak bersyukur? Allah itu

Maryam Insan Istimewa

Diri, Lihatlah mulianya seorang Maryam, Yang ditiup padanya roh seorang rasul mulia Menahan derita ditohmah dihina Maryam yakin rencana yang Esa Bersendiri kerana nazar seorang isteri ‘Imran, Mahu anak dikandung mengabdi pada yang Mencipta, Nyata DIA punya rencana, Anak yang dilahir seorang nisa’ Dijaga Nabi Zakaria di tempat mulia, Mengasing diri demi mengabdi pada pemilik semesta, Saban hari makanan tersedia, Disedia ALLAH pemilik segala, Zakaria mengerti Maryam seorang mulia. Saat menjelma Jibril atas perintah Rab, Memberi seorang anak bernama Isa, Katanya suami dia belum punya, ALLAH lebih hebat aturannya. Sebagaimana Adam dicipta, Jibril meniup rohul kudus pada dirinya, Diketahui mayarakat mula mengata, Maryam mengandung anak tanpa bapa. Hibanya seorang Maryam, Tanpa penguat tapi DIA ada ALLAH tempat meminta, Maryam mengungsi ke desa gersang, Mahu melahir anak terbilang, Penyelamat Umat menyimpang. Di bawah sepohon kurma, Menahan sakit tidak terkata, Tiada makanan ditambah derita,

Sahabatku, Aku Rindu Kalian

Tempat: ITD Masa: 4.47p.m Tarikh: 8 Julai 2011 kata Lu'luah: Tiada yang menarik tentang tugas hari ini. tiada entri mengenainya. Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah memberikan kemudahan setelah hatiku dijentik dengan berita yang datang ketika baru usai peperiksaan akhir semester 3 2010/2011. Masih ingat ketika itu air mata yang berjuraian jatuh dan hati yang seakan sukar untuk menerima khabar yang didengar. Tiga hari juga aku berkurung dalam bilik dan sering merenung luar jendela dengan mata yang basah dengan air mata. Percayalah, bersama berita duka adanya khabar gembira. Allah tidak akan terus membiarkan kita berada dalam kedukaan yang dalam dan sengsara. Hanya manusia itu sesungguhnya perlu merasa susah supaya ketika senang ia ingat bahawa suatu ketika dia pernah melalui kesusahan. Ia nikmat yang tidak Allah berikan kepada semua hamba. Setiap hamba Allah berikan ujian yang berbeza. Teringat aku akan kata-kata sahabatku... "Ini ujian untuk Jamilah." Allah. Kadang seakan

Kisah Seorang Part-Timer Page 2

Tempat: ITD-FE-11 Masa: 5.28 p.m Tarikh: 7 Julai 2011 kata Lu'luah: Selesai sudah dua hari. -Bukan mahalah Hafsa- Alhamdulillah. Terasa lancar memulakan kerja hari ini. Tidak banyak yang perlu kami selesaikan dan hanya satu blok yang didaki. Kepenatan semalam hilang sudah dan semakin ceria. Aku mula dekat dengan Riya, seorang yang seusia denganku dan kakak-kakak yang lain. Seronok juga dapat makan percuma ketika tengahari. :) alhamdulillah. Ini rezeki aku. Nanti dapatlah aku bayar hutang bertampuk kepada pihak yang berkenaan. Okey. Topik lain. Hari ini jam 8.30 aku menuruni tangga menuju mahalah Hafsa. Tempat pertama yang dituju ialah kafeteria untuk sarapan. Tenaga perlu dijana supaya aku tidak kelihatan langsung tidak bermaya seperti semalam. Kemudian tugas dijalankan seperti biasa dan aku tugasnya hanya mencatat. Seronok. Pagi di blok dan petang hanya berada dalam pejabat dna menyelesaikan laporan. Lebih seronok berada di luar sebenarnya kerana mengantuk pula apabila hanya duduk

Kisah Seorang Part-Timer Page 1

Alhamdulillah Allah permudahkan urusan aku hari ini. Aku tidak kisah tentang berapa yang aku akan dapat daripada lapan hari bekerja ini asalkan aku bisa beroleh pengalaman baru. Bukan senang untuk Jamilah turun ke padang dan mencari kerja. Ini rezeki aku sebenarnya. Berkenalan dengan Riya, kak Pija, Kak Alyah, dan kak Rini serta pekerja-pekerja mahalah Hafsa yang baik hati. Tidak kisahlah perlu berjalan jauh atau apa, asal aku dapat sesuatu. Sekadar mahu mencoret pengalaman hari ini yang membuatkan aku serik. Serik untuk tidak bersarapan apabila aku perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk naik turun tangga.Aku mahu mulakan kisah ini daripada mula hingga akhir... Jam 7.30 sudah bersiap-siap untuk mandi dan mengemas mana yang patut. Akhirnya jam 8.15 pagi aku menuruni tangga untuk ke Pejabat Mahalah Hafsa dan di sana aku dipertemukan dengan part-timer yang lain. Pagi ini hanya minum air masak dan dua keping biskut daripada loker teman sebilikku.. Jam 9 lebih setelah diberi penerangan

Random RAnt 9

Tempat: ITD Masa: 3:10p.m Tarikh: 5 Julai 2011 kata Lu'luah: Dua hari tanpa khabar Aku sedar bukan ada siapa-siapa yang akan membaca segala contengan dan penulisan aku di sini. Sengaja aku mahu terus dan terus melakar tinta segala yang mahu terluah yang tidak semuanya mampu aku bariskan dengan ayat dan bicara. Sungguh kadang lemas dengan diri sendiri namun berusaha dan akan terus berusaha untuk keluar daripada belenggu diri. Tiga hari aku sunyi tanpa sebaris kata. Tidak berpeluang untuk online.. Simpankan rinduku untuk dia... Semoga kamu bahagia, sahabat... Tadi berulang kali Mahalah Hafsa cuba untuk menghubungi aku. Telefon genggam milikku memang bermasalah jika ada yang menghubungi. Alhamdulillah, selama lapan hari aku akan bekerja di sana. Cukuplah untuk seketika daripada aku hanya melopong dan menghadap laptop sehari-hari. Alhamdulillah. UIA makin sunyi namun masih hidup penuh dengan gelagat manusia daripada macam negara. Seronok juga bermain-main di sini sebab setelah pulang n

Seuntai Kata Ternukil Lagi

Tempat:Teratak Gumbira 4.4  Masa: 9.58 pagi Tarikh: 2 Julai 2011 kata Lu'luah: Semua orang pulang bercuti Tamatlah sudah imtihan nihaie semester pendek kali ini. Tanyakan kembali apa yang sudah belajar, menggeleng aku pantas. Ah, cepat aku mengalah. Cepat aku berkata tidak pada sesuatu yang aku tidak yakin. Senang aku menggerakkan kepala kiri dan kanan andai tidak mahu aku suarakan sesuatu. Terlalu bergantung kepada suara dalam diri dan memilih kata untuk diucapkan mengundang padah sebenarnya. Terlalu selektif kata hingga kadang perkataan yang sebenarnya mahu diuraikan tidak menjadi sebaris kata yang terucap, hanya tersimpan dalam minda dan diri sendiri. Akhirnya ia menjadi nanah dan luka dalam diri sendiri. Bagaimana luka di jari nampak pada zahiri, dalam hati yang berkecamuk dan garis-garis luka tidak ada yang nampak, hanya dirasa secara maknawi. Hampir sebulan tidak pulang setelah selesai kenduri di rumah. Tempat anak yang belum berkahwin sepatutnya di sisi ibubapa jika tiada pe

Perkataan

Sesaat jarum berdetik, amalan manusia dikira, apa lakunya, di mana silapnya.  Bukankah kita perlu memuhasabah diri setiap kali sebelum mata dilelapkan.  Fikirkan wahai diri yang masih lena diulit mimpi bahagia dunia yang tak pergi ke mana.  Bingung.  Apa yang perlu aku lakukan sekarang?  Ingin aku lupakan segala apa yng berlaku, yang menyebabkan aku diamuk kesedihan ini. Mampukah Aku? Aku tidak punya kekuatan itu. Cuba fikirkan, kau punya kawan-kawan, sahabat yang ambil berat, sedangkan kau tidak melakukan apa-apa untuk menghrgai kasih sayang itu. Cuba kau bayangkan, detik nyawa kau diangkat menuju Rabb....  Diri sendiri yang belum bersedia. Arghhh, aku mahu menangis, kenapa air mata ini belum sudi bertamu relung hati yang dirasuk perasaan tidak enak ini. Aku tidak mampu mengukir kata-kata yang menyebabkan mereka gembira, hanya mempu bersuara agar diberi kesempatan menebus kesalahn yang bertampuk dalam diri.  Cuba kau bayangkan, benarkan kau mahu semua ini berlaku?  Atau ia berlaku di