Skip to main content

Posts

Showing posts from June, 2017

Kenangan yang Bercempera

Andai ditanya kepadaku detik perkenalan aku dan kamu, kemungkinan besar aku tidak mampu mengingat detik itu. Terlalu banyak memori-memori penting yang sepatutnya aku ingat, ada ketika aku tidak dapat mencungkilnya daripada kotak ingatan sendiri. Tulis. Aku tahu dan sedar itu penyelesaian untuk permasalahan ini. Namun aku yang sering lupa dan terlepas menuliskannya dalam diari. Diari yang kini tidak lagi aku buka walaupun ada sahabat yang bermurah hati menghadiahiku diari yang cantik. Aku terlalu melayan perasaan. Menulis, namun sering sahaja tangan aku sendiri yang gatal memadamnya kembali. Aku terlalu ingin mengumpul perca-perca kenangan menjadi sebuah puzzle yang bercantum. Walaupun hakikatnya puzzle itu hanya lengkap setelah kematian menjengah manusia. Terlalu banyak kenangan yang tidak mampu lagi aku ingat. Kenangan yang bercempera. Berselerak di mana-mana.... "tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Gadis Emosi II

Sehari dua ini, dirinya dikawal emosi sendiri. Dia hanya mendiamkan diri. Beku. Beku dalam dunia sendiri. Sebelum itu, dia gembira. Entah mengapa, emosinya jadi beku tiba-tiba. Hari-hari yang menyaksikan dia bermandi air mata menjelang malam. Hanya berfikir sedikit, air matanya yang berjuraian jatuh. Ketika itulah dia memilih untuk lena. Melupakan seketika emosi yang berselerak. Emosi yang tidak terkawal oleh diri sendiri. Bagusnya orang yang dapat mengawal diri dan emosi sendiri. Ketika sendiri atau bersama orang ramai. Rasa apakah yang sebenarnya sedang mengganggu dirinya ketika itu? Rasa ingin menjerit, rasa mahu ketawa, rasa mahu luahkan semua, tetapi akhirnya air mata yang jadi jawapan. Air mata yang enggan berhenti, sampai mata bengkak dan dia lena dalam tangisan. :( Aduhai, belajarlah mengawal diri dan emosi. Ini, baru engkau dengan dirimu. Kerana itulah, engkau harus berdiri sendiri lagi, sebab engkau belum mampu menguasai diri. Bahkan engkau dikuasai emosi.