Hargai Ayah selagi Ayah bersama kita! |
Rindu itu Tidak Mati
JAMILAH MOHD NORDDIN
Hujan renyai-renyai tadi mula galak. Imtiyaz membiarkan jendela kamar terbuka luas hinggakan deraian hujan yang menggila mula membasahi ruang kamarnya. Imtiyaz tidak peduli. Hujan di luar belum mati. Sedang hujan dalam diri makin lebat. Lama perasaan hilang. Hari ini angin rindu menyapa dalam deraian hujan di luar.
Imtiyaz kesat mata yang basah.
Imtiyaz rindukan ayah. Ayah yang sudah menyahut panggilan Ilahi. Ayah yang lebih Allah sayang. Bukan Imtiyaz tidak redha atau sengaja membiarkan perasaan itu tidak bebas, namun lumrah bagi seorang yang merasai pemergian orang tersayang merindukan mereka yang sudah 'pergi'.
Baru sebulan ayah pergi. Dia sudah berada di universiti tempatnya belajar untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar. Bukan tidak risaukan ummi di rumah, namun tugasnya menggalas harapan keluarga mana mungkin dikecewa. Lagipun bulan hadapan peperiksaan akhir semester akan bermula.
"Ayah nak anak ayah jadi apa?" Imtiyaz menyoal suatu hari. Imtiyaz dan ayah sedang berehat di lama sambil duduk di pangkin jika ayah cuti atau lapang saban petang.
"Ayah nak Imtiyaz jadi manusia." Ayah tersenyum. Senyuman yang kekal dalam ingatan Imtiyaz.
"Imtiyaz kan manusia.. Ayah manusia.. Kita semua kan manusia.. Apa maksud ayah?" Imtiyaz menyoal kembali. Ada tanda soal muncul dalam kepala. Sungguh dia tidak faham.
"Untuk apa Allah jadikan manusia? Jadi khalifah.. Beribadah kepada Allah.. Jadi hambanya yang terbaik.." Ayah tidak bercakap banyak.
Imtiyaz terdiam. Cuba mencerna kembali apa yang dikatakan ayah. Ayah memang tidak cakap banyak. Lebih suka diam melainkan ada sesuatu yang perlu ayah perkatakan. Hari ini Ayah membuahkan persoalan dalam fikiran Imtiyaz...
Menjadi seorang manusia bukan kerja mudah. Allah ciptakan dunia bukanlah suatu tempat untuk kita hanya main-main. Habiskan sehari-hari hanya dengan aktiviti harian dan kadang membiarkan setiap detik berlalu tanpa makna. Menjadi manusia perlu memaknakan hari-hari yang Allah pinjamkan. Berusaha memperbaik diri setiap hari. Menjadi lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Sedangkan apa yang sudah dilakukan sepanjang 23 tahun Allah pinjamkan kehidupan ini?
***
Ayah, sesungguhnya rindu yang bertamu dalam diri tidak akan mati. Nasihat yang ayah beri menjadi paksi buat Imtiyaz teruskan perjalanan hari-hari. Apa yang Allah ayah tinggalkan bukanlah harta menggunung namun pesanan dan wasiat untuk menjadi seorang manusia.
Bukanlah untuk membiarkan diri terus tenggelam dalam kedukaan, namun ingatan kepada pesanan Ayah memberi kekuatan dalam diri. Menguatkan langkah meniti hari dalam kesuraman cahaya.
Ayah, walaupun Ayah sudah pergi nasihat Ayah bersemi di hati. Apa yang Ayah tinggalkan Imtiyaz semat dalam diri. Biarkan rindu itu terus segar dalam hati...
__________________________________________________________________________________
Dikarang oleh: JAMILAH MOHD NORDDIN
4 November 2010
Qamar Cinta 1-1, IIUM
__________________________________________________________________________________
Comments
mungkin otak ni asyik fikir gigi smpai pening baca ayat bunga2.
*pelik revolusi hidup*
=]
cerita biasa sekeliling kita.
Fikirkan fasal gigi tak apa..
=)
*Hidup memang penuh dengan kepelikan dan perkara tidak terduga*