Air Mata itu kesatlah! |
"Durrah, kenapa aku tak macam orang lain?"
Dia menyoal aku.
Terdiam aku. Bagaimana aku untuk menjawab sedang aku sendiri untuk memotivasikan diri sendiri masih tunggang terbalik.Berfikir-fikir bagaimana untuk menjawab namun akhirnya buntu sendiri. Aku diam. Aku genggam tangannya erat. Dia duduk melutut sambil esak masih terdengar. Tersedu-sedan.
Malam itu dia benar-benar tidur bersama tangisan sampai aku tidak tahu untuk memujuk. Tiada kuasa untuk aku belainya dengan kata-kata yang dapat membangkitkan semangatnya. Patutlah dia menghubungi aku semalam. Rupa-rupanya, hujan dalam dirinya sampai membuatkan bantalnya basah.
Aku menemaninya sampai lena lalu melepaskan sebuah ciuman di dahinya. Aku sayang dia. Dia yang sedaya mungkin pasti cuba sembunyikan kesedihan yang ada dalam diri. Mungkin semalam kesedihan itu benar-benar merasuk diri sampai dia tidak mampu bersendiri. lalu, mahukan seseorang untuk menemani dia di sisi.
Aku mengerti perasaan itu kerana aku pernah mengalaminya. Semester lepas ketika aku tahu yang aku tidka dapat pre-reg dan kemudiannya aku terfikir yang adakah dapat aku mengambil final, serentak air mata mengalir tanpa rela. Sejam berteman air mata adalah sesuatu yang memenatkan. Menangis itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan walaupun ia dapat melenyapkan semua kesedihan.
Ya, Allah, di manakah aku saat dia perlukan aku di sisi? Aku hanya mampu duduk di sisinya dan genggam tangannya erat. Mendengar setiap kata yang terbit daripada dua ulas bibirnya sampai dia terlena. Mata yang terpejam itu ada kesan air mata yang berbekas. Nampak sembab.
Lalu, benarkan aku menulis sedikit catatan untuk dia...
"kamu, air mata yang mengalir semoga menjadi titik kepada sebuah perubahan. Yakin dan percayalah bahawa apa yang berlaku itu bukanlah sia-sia. Kamu perlu yakin yang Allah mahu mendidik hatimu dengan apa yang berlaku. Kala nanti kamu rasa mahu kecundang lagi, ingatlah yang satu malam kamu pernah menangis kerana sebuah kesedihan yang tidak dapat kamu luahkan kepada orang lain. Kamu sudah penat menangis lalu kamu perlu kembali tersenyum. Kamu perlu berikan peluang kepada diri supaya kamu tidak akan terjatuh banyak kali dalam lubang yang sama. Itu sesuatu yang tidak baik.
Kamu, saya lihat mata kamu yang memendam cerita itu. Saya tahu banyak cerita yang mahu kamu kisahkan pada aku namun kamu takut kamu akan menyusahkan aku. aku tahu, sebab kamu baik. Kamu tidak mahu susahkan aku. Namun, kamu kena tahu yang kita manusia biasa. Tidak semua masalah kita akan dapat tanggung sendiri. Kamu perlu luahkan.
Bagaimana aku mahu membantu kamu jika kamu hanya membisu tanpa kata?
Luahkan pada alam jika kamu tidak bercerita pada aku,
Tuliskan menjadi bait kata jika kamu segan dengan aku,
Berceritalah dalam doamu kerana Allahlah Yang Lebih Tahu Apa Kamu Perlu.
Kamu,
Yakin!
Kehidupan ini pendek.
Nanti kamu mati bukan pengakhira semua perkara namun permulaan kehidupan yang panjang..
Sekian, saya sayang kamu,
Durrah Nur Aqilah.
Comments