![]() |
Sahabatku,
Dalam meniti persahabatan ini, aku sering kali terlupa erti kejujuran dan amanah. Aku hanya mementingkan diri dan keperluan sendiri. Kamu tahu, dalam ketidak senangan aku ketika kau ceritakan perihal orang lain, aku dengar si fulan begini, nak tahu si fulana begitu, aku mengangguk macam burung belatuk. Aku hanya membisu bersama muka cemberut seribu. Aku nak bawa sahabat aku ke nerakakah?
Langsung aku tak perihalkan hatiku yang sebenarnya. Hakikatnya hatiku menjerit, kenapa kita harus menceritakan aib orang jika kita bimbang aib kita terselak. Makin banyak kita berbicara hal orang, makin banyak keburukan kita tersingkap. Aku amat malu jika aib sendiri didedah pada orang lain. Kadang, kita sampai berkata tentang guru kita yang kononnya tak pandai mengajar, pensyarah kita yang terlalu laju mengajar, kita tak ceritakan pada empunya diri... Aku gagal menasihati sahabat sendiri... Malah ada ketika gagal mengingatkan diri sendiri.
Hendaklah ada satu golongan dalam kalangan kamu yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran.
Sahabat tersayang,
Dalam singkat tempoh perkenalan kita, aku sering mengabaikan kebajikanmu. Aku lupakan hatimu yang juga perlukan masa untuk aku dan kamu. Aku hanya memikirkan minat dan hobiku, ada kelapangan berkepit dengan laptop hinggakan aku tak peduli jika kamu ingin bercerita masalah dirimu yang keputusan semangat, mahu menceritakan derita batin yang kau tanggung selama ini... aku tiada di sisi kamu.
Aku rasa puas bersahabat dengan makhluk kaku hinggakan aku lupa ada makhluk bernyawa mahukan sedikit perhatian aku. Dia derita kerana aku...
sesegar hijau daunan
bergitulah kita diibaratkan
tiada siapa yang bisa memisahkan kita
antara kita semua
Lagu itu bukan lagu biasa. Sering bergetar dada mendengarkannya liriknya...
Semoga beginilah eratnya hubungan kita. Hubungan yang terbina atas jalan ukhuwah. Bukan sahabat biasa, sahabat yang punya jalinan hati.
Jalinan hati?
Perkara ini sering aku soalkan pada diri. Mampukah diri seperti sahabat nabi yang mengutamakan sahabatnya yang lain melebihi dirinya sendiri. Sahabat yang rela berkorban segalanya demi insan lain yang bernama sahabat.
Tidak beriman seseorang itu hinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Sahabat, semoga tautan dan ikatan hati yang terjalin antara kita semua membawa kita ke jannah Ilahi.
Kamu sahabatku, aku menulis warkah ini kerana cinta dan kasihku, marilah kita islahkan diri. Kita ini manusia akhir zaman yang menanti hari Akhir yang mana rahsianya hanya di sisi ALLAH. Jika kita gagal manfaatkan apa yang ada, maka celakalah kita...
Di ruangan sesempit ini, aku memohon kemaafan setulusnya. Beritakan aku jika ada khilaf yang mengiringi perdu persahabatan kita. Semoga langkah kaki kita menggembirakan sahabat akan diredai. Lemparkan senyuman semanis madu walaupun hatimu sepahit hempedu.
Sahabat yang menyayangi sahabatnya,
Ukht fillah...
Durrah Nur Aqilah.
Comments