Skip to main content

Cerpen: Warkah Buat Segumpal Darah dalam DIri

WARKAH BUAT SEKEPING QALB

Assalamualaikum, segumpal darah yang mendiami diri ini. Duhai seketul darah yang bernama hati, bagaimanakah keadaanmu sekarang? Tenangkah kamu mendiami batang tubuh ini? Adakah seputih dan sejernih seperti aku dihadirkan di dunia fana ini 19 tahun lalu, atau titik-titik hitam terlalu mewarnai hinggakan putih itu terbenam. Warna apakah kau sekarang? Seingat akal dangkalku, usia kecilku, tak pernah aku rasa resah gelisah, kegembiraan melakar segenap kehidupanku, aku bahagia walaupun aku tak mengerti segala perlakuan manusia di sekelilingku. Aku mampu tersenyum walaupun dicubit, digomol, digigit, aku relakan semuanya.

Menginjak remaja, mengapa tiada lagi perasaan seperti itu? Mengapa hanya resah yang aku rasa? Mengapa dada ini tak setenang masa jagungku. Seakan-akan ketenangan dulu telah dicabut daripada kehidupanku.

Duhai hati, tiba-tiba aku teringat yang sebenarnya aku banyak mengabaikan kau selama ini. Aku tak siramimu dengan bacaan al-Quran. Bonda pernah menasihatiku, banyakkan berzikir nescaya hati akan menjadi tenang. Zikir bukan hanya di tikar solat, tapi semasa berbaring, berdiri, sekalipun mahu tidur. Kita mengingat apa yang kita lakukan dan menghisab diri sendiri. Berasa beruntung berbanding mereka yang lebih tidak bernasib baik. Aku teringat pesan seorang ustaz, kita makin dipandang orang yang lebih dalam soal dunia, selamanya hati tak akan tanang. Benarkah begitu, duhai hati?

Aku jarang memberi kau makan. Aku teringat kata-kata guru agamaku, jika mahu badan yang sihat dan ceria sepanjang masa, jagalah hatimu, hati yang bersih akan terserlah dengan penampilan yang menenangkan. Orang lain akan senang bersamanya dan wajahnya akan berseri-seri serta bibir akan sentiasa menguntum senyum. Itulah tanda hati yang bersih. Patutlah wajah aku sentiasa masam mencuka. Maafkan aku duhai hati, aku kotorimu dengan makanan syubhah. Duit faedah hasil akaun yang aku tutup di bank konvensional itu tidak aku serahkan pada baitulmal. Aku gunakan untuk diri sendiri. Maafkan aku, hati. Tentu masih ada ruang untuk aku betulkan keadaan ini.

Aku calarkan jasadmu dengan membantah cakap Ibu Ayah. Aku hanya mendengar jika ianya memberi untung pada aku. Jika tidak, cakap mereka aku sanggah. Betapa tidak malunya aku.

Aku bangkang keinginanmu yang mahukan ilmu agama, sebaliknya aku berikan kau hiburan melalaikan. Aku tinggalkan solat, aku abaikan ayah, aku lupa mendoakan kesejahteraan orang Islam. Maafkan aku duhai hati. Berikan aku peluang untuk menebus kesalahan ini.

Duhai hati, jarang kau bisikkan kejahatan untukku, namun aku lebih mengikut bicara nafsu lawwamah yang sering mengajak aku mengotorkanmu dengan macam-macam acara yang pada zahirnya amat mengujakan fizikal dan diri mudaku. Aku tak hiraukan bisikan yang kau cetuskan.

“Jauhkan dirimu daripada kemusnahan!”

“Jauhkan dirimu daripada kecelakaan!”

“Ingatlah wahai diri, kematian itu menjengukmu saban masa, menanti ajal yang telah tercatat di loh mahfuz.”

***

Hari-hari semalam telah aku cacatkan engkau dengan keingkaran pada Ayah. Hilang hormat pada guru. Hatta langsung tak mengerti perasaan seorang sahabat. Aku mengerti akan pergolakan yang melanda ketika itu, namun kata hati tetap nombor satu. Aku tak peduli akan segala nasihat iman yang hadir saat diri mahu melakukan pernderhakaan. Aku langgar bahu Ayah pada satu hari dengan sengaja. Ayah tersungkur. Ayah, usianya yang lanjut tinggal dua dekad mencapai satu abad terkaku. Anak yang diasuh sekian banayk ilmu agama sanggup sekasar dan bertinak sejauh ini? Akal hitam menguasai. Hati itu sudah bertukar warna.

Hari yang berlalu aku biarkan berlalu.


***
ALLAH memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki. Sendirian di rantau, jauh daripada Ibu Ayah, menyedarkan aku akan hakikat sesuatu. Jika aku tidak mengubah diri sendiri, selamanya aku akan di alam kejahilan. ALLAH berikan al-Quran sebagai panduan terlengkap untuk mereka yang mahu belajar. Belum terlambat untuk aku balikkan diri ke jalan kebenaran. Cuma aku perlukan kekuatan. Duhai hati, bertahanlah engkau pada jalan yang aku pilih ini. Aku hanyalah seorang insan yang masa silamnya penuh luka kerana perbuatan tangan ini sendiri.

Aku sedar amat ALLAH sentiasa membuka ruang untuk hambanya mengalirkan air mata taubat. Sedangkan saban malam DIA sentiasa mengabulkan permintaan mereka yang memohon pasanya dengan sepenuh hati.

Hati, akan aku selak lembar sejarah baru buatmu. Menyuci karat-karat dosa yang masih bertampuk di sini. Aku sedar masih banyak kesalahan yang perlu aku betuli, aku sedang dan akan meneruskan usaha ini. Biar semua karat kembali nampak sinarnya hingga aku mampu menyerap ilmu yang dipelajari ke dalam hati seterusnya jadi amalan.

***
Duhai hati, walaupun telah aku kotorkan dirimu dengan terlalu banyak maksiat, berikan aku peluang, duhai hati. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penerima Taubat dan rindukan rintihan hamba-NYA. Usah kau merajuk lagi, bimbinglah aku dan nafsu yang sentiasa bersamaku agar sentiasa di jalan agamamu. Kau tahu segala yang aku lakukan meski tak siapa melihat. Kau tetapkan diri ini pada jalan kebaikan.

Aku harapkan warkah ini merupakan detik mula persahabatan kita yang lebih akrab. Berilah aku peringatan jika aku terlupa dan marahlah, pukullah aku jika aku melanggar suruhan Pencipta kita. Aku takut pada hari di mana manusia tak mampu berkata-kata, tangan terbelenggu, diri ditenggelami peluh sendiri, kau hadir dalam keadaan teramat kelam, sehitam arang bakaran. Maafkan salah aku duhai hati, terima kasih kerana setia menjadi sebahagian tubuh ini yang banyak melakukan salah.

Comments

subhanallah.
makin menusuk hati.
terima kasih, j..
ats peringatan. :)
Jamilah said…
::umairah shafei::,
Alhamdulillah.
Ini entri yang diposkan semula. Tidak ingat pun bilakah ditulis..
Sama-sama, Umy....
Saling mengingatkan.

Popular posts from this blog

Aku, Dia, Beliau dan Soalan-soalan

Suatu petang. Dia menembak beliau dengan soalan-soalan. Aku sebagai pendengar yang setia. Mencedok jawapan, mencelah dengan senyum, dan kembali diam. Sebenarnya semua ini tentang sebuah keberuntungan. Namun kesempatan yang tidak diendahkan. Sering begitu. Akulah yang belum cukup bersyukur dengan kesempatan yang diberi. 
Tentang syukur. Bagaimana untuk suka dengan kerja yang sdang kita lakukan. Oh, betapa ramai yang ingin berada di tempat engkau berada sekarang. Jadi, belajarlah bersyukurlah. Dengan bersyukur, kita akan usaha untuk lakukan yang lebih baik. Akan sentiasa perbaiki diri. 
Kemudian, letakkan cinta dengan apa yang sedang engkau lakukan Jangan hanya rutin. Cari sesuatu, selalu tambah kualiti diri. Sebab itu perlu ada perbincangan. Bukan hanya duduk. Dengan pergaulan, meluaskan pengalaman. Menambah pengetahuan. 
Kalau rasa ada yang tak kena, semangat makin merudum, ingat kembali niat semasa bermula. Tentu ada sebab engkau berada di sini. Mungkin sebenarnya niatmu sendiri yang …

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS
Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus.

NUSUS
Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini?
Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini:
قول طرفة بن العبد:
نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر
طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil al-muall…

Cerpen: Kembali Bertaut

Kembali Bertaut Jamilah Mohd Norddin
Nazim menelentang di katilnya. Dia mengenang akan pemergian isterinya yang membawa diri. Kedegilannya yang tidak mahu berganjak daripada keputusan yang diambil menjadikan dia seorang perindu. Benarlah kata orang perpisahan mengajar makna kesetiaan. Dia sedar isterinya telah banyak bersabar dengan kerenahnya saban hari. Isterinya telah banyak berkorban untuk kesenangan mereka berdua. Namun saat itu ingatannya hanya tertumpu pada setiausaha genit di pejabatnya, Syahdah.

“Abang, esok kita balik rumah mak Jasmin. Tadi Abah telefon, katanya Mak sakit kuat.”

Selesai makan malam Jasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dipandang wajah Nazim yang seolah-olah khusyuk membaca majalah. Nazim langsung tidak mengendah akan apa yang diucapnya. Biarlah hatinya menahan jengkel, ditahan juga rasa hati memandangkan statusnya sebagai seorang isteri.

“Abang dengar ke idak apa yang Min cakap?”

Jasmin kembali menyoal apabila Nazim hanya membantu. Sakit hati Jasmin melih…