Step by step to achieve a dream. Sweet dream. |
Keresahan yang mendamaikan. Berteman secawan kopi pahit yang dibancuh tadi dan sebuah buku di sisi, jemari meneruskan larian pada papan kekunci. Angin malam sepi. Jendela yang terbuka menghidangkan irama alam yang menjadi peneman malam. Sesungguhnya, kedamaian yang dicari mendatangi diri malam ini.
Alhamdulillah.
Walaupun hanya dia bertemankan buku-buku. Buku-buku yang bisu namun apabila ditatap tidak jemu membalas persoalan di jiwa. Sesungguhnya kerinduan hanya akan terubat apabila kita menemui dan mencari apakah erti rindu itu. Nilai sebuah rindu yang akan layu jika hanya dibiar menjadi daun kering yang luruh apabila sudah kekuningan.
Semuanya bermula apabila dia menyertai sebuah bengkel penulisan anjuran syarikat Penerbitan Islami tanah air. Sendirian meredah perjalanan Gombak-Nilai dalam bulan Ramadhan kerana sebuah cinta yang mahu dimaknakan. Impian untuk melihat buku sendiri terpamer di kedai buku masih ada walaupun lama tidak menghantar cerpen dan tulisan kepada mana-mana majalah semasa.
Diam bukan bermakna bisu.
Bengkel alam maya bersama sifu Az memulakan sebuah perjalanan. Perjalanan sebuah ceritera yang panjang dan bertahun-tahun. Sejak dia di matrikulasi hingga menjejak bumi Gombak. Alhamdulillah. Dua tahun sesudah itu, semuanya berakhir.
Edisi asal siap.
Namun ia bukan pengakhiran, kerana ceritera itu hanya dia yang dapat baca. Lalu, cuba memanjangkan bicara... Langkah demi langkah, pembaikan demi pembaikan, penantian demi penantian, kini mula berbunga, walaupun putiknya belum nampak.
Doakan, ia ranum sebelum Ogos 2011. Janji dia kepada Puan Arash, Ogos 2011, ada sesuatu akan terhasil. Ada buah yang akan masak.
Sesungguhnya, memulakan langkah pertama paling payah. Namun langkah pertama adalah pemula untuk jejak-jejak seterusnya.
Amin. Semoga Allah permudahkan.
Sudah. Fokus. Emel itu perlu dibalas hari ini juga.
Wassalam.
ITD-FE-09, IIUM
10.46 pagi.
28 Mei 2011
Comments