16 May 2011

Mengawal Diri

Di sini ada cerita. Ada peristiwa.
Untung. Maka sangatlah bagus mereka yang banyak menghabiskan masa melakukan kerja-kerja kebaikan. Apa sahaja yang mereka lakukan pasti mendatangkan kebaikan kepada manusia sekeliling dan segenap harinya tidaklah dibazirkan melainkan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada Ummah.

Maka, bagi seseorang yang kerjanya hanya berselubung di bawah selimut, malah takut untuk menjengahkan diri ke dunia luar. Maka, itulah yang paling rugi orangnya. Kata-kata negatif dan rasa 'takut' dengan bukan hanya orang lain namun diri sendiri membuatkan dia langsung tidak dapat bergerak namun hanya duduk bawah meja dan tidak berbuat apa-apa. Disuruh buat baik, dia lari. Diminta tolong lakukan sesuatu dia enggan. Manusia spesis apakah begitu? langsung tiada dalam fikirannya untuk membantu atau memberi, hanya tahu menerima.

Bukan orang lain yang boleh mengawal diri aku, tetapi AKU sendiri. Benar aku kena selalu berdoa dan berterusan berdoa namun apakah makna doa tanpa usaha? Allah sendiri menyebut, Allah tidak ubah nasib kita melainkan kita berusaha untuk mengubahnya. Kalau kamu nak bekerja, tetapi hanya duduk sahaja tanpa cari alamatnya memang menghabiskan 'boreh' selama duduk di sini.

Kawalan makanan adalah sesuatu yang aku gagal pertahankan sejak datang ke sini seminggu yang lalu. Walaupun di tingkat empat, aku sanggup sahaja berulang alik naik turun tangga untuk ke kafe membeli makanan. Walaupun tidak banyak pilihan, aku boleh melantak dan terus melantak. Kerjanya makan. Padah kerana hanya tasjil satu subjek untuk semester pendek ini.

Sunyi boleh membunuh. Membunuh kreativiti dan masa. Walaupun suka untuk aku bersendiri, namun sampai satu ketika aku ingin menghadap tingkap lalu menjerit sekuat hati...

"Lepaskan aku daripada sebuah kesunyian yang seakan mahu meragut nafas tenangku, melarikan bahagia mimpiku, meranapkan masa lapangku. Jauhkan dirimu wahai kesunyian!"

Bersendirian memang perlu namun apabila setiap hari aku hanya memandang board dan meja, membuatkan rasa bosan cepat sangat menyinggah. Namun aku tahu, itu mungkin hanya alasan yang aku cipta kerana aku yang tidak mencari kerja untuk dilakukan. Assignment sudah mula diagihkan. Maktabah sangat besar menunggu aku hadir. Namun aku memilih untuk terus berasa selesa dengan zon ini. Selagi mana kamu berada dan suka dalam zon selesa, percayalah, lambat lagi kejayaan akan datang!

Membebel. Membebel itu ini kepada diri dan biarkan kata-kata itu berlalu pergi. Berangan itu ini akhirnya aku sedih sendiri dengan apa yang aku lakukan. Lari. Perkataan ini mahu aku hapuskan daripada kamus diri. Menghadapi dan menerima. Aku mahu bahagia walaupun aku tidak membahagiakan orang lain.

Derita dan sakit pedih orang lain aku pedulikah? Mana ada. Asal sahaja aku kenyang, aku senang, aku lena... Pernahkah sekali aku tanya keluarga aku, "ayah sihat?" "kakak okey?" "kawan perlukan apa-apa?" Tidak. Aku hanya diam. Malah selalu terjadi perbualan satu hala. Apabila mereka bercakap pun perlu mengulang dua tiga kali sebelum aku dapat menangkap. Mungkinkah aku yang tidak FOKUS hingga aku gagal menangkap apa yang mahu diucapkan. Benar. Selalu sangat sekarang. Mereka kata sekali, aku akan meminta mereka ulang lagi.

Latihan yang tiada. Apabila aku hanya mendengar suara perlahan dalam diri, mungkin disebabkan itu aku gagal mendengar suara orang lain. Malah aku sudah gagal menerka dengan tepat dan menembak pada sasaran. TERSASAR>
Jangan ada bosan!

Mati. Entah bila kan, nafasku yang terakhir. Sihat bukan bermakna bukan aku yang akan pergi dahulu. Sakit juga mungkin usia aku lebih panjang. Semuanya ada tercatat sudah dalam Loh Mahfuz bilakah aku akan mati. Bilakah aku akan menemui Allah? Namun seandainya saat itu terjadi, bersediakan diri untuk menemui Allah? Ataukah sebenarnya saban hari dosa-dosa yang bertambah namun tidak dicuci dengan air taubat.. Maka dosa itu kekal di situ tidak terpadam. Allah.... Adakah nanti bila aku menghadap-Mu, aku senang atau derita kerana dosa sesama manusia yang tidak terampun melainkan dengan kata maaf.

Ayuh, wahai AKU, sebelum tidur maafkan dan lupakan walau sebenar mana kesalahan orang padamu. Katakan: "Kepada semua orang yang pernah melakukan kesalahan padaku, aku maafkan. Walau sesakit mana hati, walau sedalam mana luka, aku maafkan. Aku maafkan semua kesalahan orang lain supaya orang lain juga memaafkan aku."

Semoga apabila aku bangun esoknya, perasaan tenang menjadi temanku. Aku tidak serabut. Aku tidak fikirkan kesalahan orang. Namun jangan pula aku lupa kesalahan aku pada orang lain, yan belum termaaf! Mungkin banyaka dan aku tidak tahu. Lupakan kesalahan orang, ingat kebaikan dia! Lupakan kebaikan sendiri, ingat keburukan kepada orang lain!

Sesungguhnya perjalanan ini masih panjang.

Sekian, wassalam.

Tulisan mengikut gerak jemari, Alhamulillah.
ITD,
16.5.2011, 0952 

No comments: