Catatan Hati Durrah Nur Aqilah
Penulis: Ila Husna
Catatan Hati Durrah Nur Aqilah
Penulis: Ila Husna
Coretan hati Durrah Nur Aqilah.
Sebuah catatan pencari cinta Ilahi,
Punya cita-cita melangit tinggi,
Namun hakikatnya diri rapuh meniti hari,
Dia mahu kuat menjaga hati,
penghuni bumi Ilahi,
Yang ingat hakikat penciptaan diri.
***
Tulisanku di sini tidak semua mewakili diriku yang sebenar. Aku menulis kerana aku harus menulis. Apabila aku menulis, aku lega. Aku rasa semacam sudah lepaskan isi dalam kepala dan ia menjadi ringan. Aku hanya melihat seorang demi seorang kawan dan kenalan menghasilkan buku. Aku tidak lagi menulis dengan erti kata menulis sebenarnya. Aku tidak tahu minat menulis itu bermulanya saat mana, namun aku hanya tahu yang aku rasa bahagia saat jemari melarikan satu demi satu huruf di papan kekunci. Atau paling tidak aku menconteng kertas dengan kata-kata yang aku mahu tulis.
Aku rasa mahu menangis, sambil air mata mencurah, aku tulis satu demi satu perkataan. Kemudian, aku bahagia. Rasa marah, rasa geram, rasa sedih, semua rasa aku tidak mampu terjemahkan dengan kata-kata.
Ya Allah, terima kasih!
Aku tidak kuat dalam pencarian ini. Sering dan terus tersasar langkah kaki daripada arah sebenar perjalanan dalam mencari makna diri.
Hati yang aku miliki terlalu kecil mungkin untuk kembali mengukir impi setinggi langit, merenung dalam-dalam hakikat kejadian diri dan berusaha mencari ‘bakat’ yang Allah telah bekalkan dalam diri ini.
Benar. Hati yang kecil tidak membenarkan diri melangkah jauh ke dunia cita-cita yang aku impikan suatu dahulu.
Aku makin takut untuk bermimpi atau memandang jauh ke hadapan. Apa yang aku nampak adalah hari ini yang aku lalui. Hari ini penuh warna, esok kelabu, lusa putih, tulat hitam dan hari-hari seterusnya yang kadang aku sendiri tidak mampu menjangka itulah hari yang pernah aku lalui. Tidak seperti hari -hari mudaku yang penuh dengan semangat untuk memburu sebuah impian.
Pada orang lain, tentu mereka punya citra dan cita yang mahu dicapai dalam hidup. Makin besar hatinya, makin tinggi impinya, makin besar usahanya. Tentunya semuanya dilorong oleh pengharapan dan doa-doa yang tidak putus dalam meneruskan hari. Aku bahagia.
Aku tumpang gembira melihat seorang demi seorang teman-temanku mencapai kejayaan dalam hidup dan kehidupan mereka. Aku tumpang senyum melihat kejayaan orang lain.
Sampai bila? Sampai bilakah aku hanya menjadi pemerhati yang melihat daripada jauh dan belakang orang lain dan duduk jauh-jauh tanpa turut menyertai kejayaan itu? Sampai bilakah wahai diri?
Tidak salah gagal. Gagal berkali-kali dengan sebab yang sama tanpa mahu membetulkan keadaan itulah yang celaka. Mengapakah kamu hanya melihat kegagalan yang pernah kamu lalui seolah-olah hanya sebahagian kisah hidup yang perlu kamu harungi?
Sedarkah kamu yang Allah tidak berikan kamu kegagalan melainkan untuk bangkit dan kembali berjuang melawan kegagalan itu. Tebuskan kegagalan dengan menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.
Melihat orang lain tidak salah, namun cucilah karat dalam hati. Hati nan kotor menyukarkan diri untuk menerima ilmu yang mana kata Imam Syafei: Ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak menembusi hati yang kotor.
Lantas bagaimana ilmu akan melekat jika yang dimiliki hati yang berkarat bertahun-tahun terbiar tanpa penjagaan yang sewajarnya. Di manakah kamu tinggalkan bahan pencuci yang dapat menyental hatimu biar kembali berkilat dan bisa cahaya ilmu masuk ke dalamnya?
Terasa jauh. Jauh benar aku tersasar. Allah, lorongkan aku jalan kembali ke jalan kebenaran. Biar matiku kelak bukan hanya jasad tertanam namun amalan berjalan. Usah terlalu asyik melihat diri orang lain hingga lupa diri yang perlukan perhatian.
Hati yang perlukan belaian, sinar iman yang makin malap. Allah, kembalikan hati itu. Aku dambakan kasih-Mu, ya Allah. Ingin aku teruskan kehidupan dengan suatu erti, memberi erti bukan hanya menerima. Memberi bukan hanya melihat.
Ya Allah, jangan biarkan hari-hari suram oleh gelap dosa yang menutup cahaya daripada menembusi jiwaku. Dosa yang membuatkan aku terus dan terus menambah dosa. Ya Allah, berikan orang yang aku sayangi hidayah berterusan agar mereka terus beroleh keberkatan dalam hidup, mendapat kebahagiaan yang dicari dan mencapai segala kebaikan buat diri mereka.
Ya Allah, lorongkan aku jalan menuju kebaikan.
Jagalah orang yang aku sayangi: Ayah, mak, nenek, kakak-kakak, abang-abang, anak-anak saudara permata hati, sepupu, ibu ayah saudara dan semua saudara jauh dan dekat, sahabat, teman, kawan, kenalan di dunia nyata dan mata, semua oang Islam.
Comments
salam'alayk.
salah satu kelebihan jamilah yg umy selalu nampak ialah; menghargai kelebihan org lain. dan selalu mendoakan yg terbaik untuk sahabatnya.
kalau jamilah cakap 'tak' dan 'bukan' sekalipun, bukankah orang yang menerima hanya dapat rasa bila ada keikhlasan?
dan ketahuilah, umy salah seorang yang Allah bagi peluang merasanya, alhamdulillah.
walaupun pada jamilah mungkin kecil, pada Allah hal-hal kecil kita tak tahu, barangkali besar nilainya, sebab ada keberkatan.
mekarlah sebagai 'jameelah', ya jamilah!
Allah Tahu. :D
sayang selalu,
-umy.
Terima kasih atas doanya. :) Semoga Allah mempermudah segala-galanya buat kita semua.
terasa makin jauh daripada tulisan yang disampai daripada hati. Menulis menggunakan jemari lebih payah daripada menulis bersandarkan hati yang bersih.
Terima kasih meniup semangat, umairah shafei.
Gembira membaca catatan hati Durrah Nur Aqilah.
Ketahuilah,
Dikau obor perjuangan,
Semoga istiqamah,
Menulis.
saya
manusia
pincang
berjalan
tuju
hari
depan
....
doakan Durrah Nur Aqilah. Ini sebuah cita-cita juga.