Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 8] Resah Yang Mendamaikan
Penulis: Ila Husna
Aku mahu menulis perasaan aku sekarang walaupun aku tahu tidak selayaknya aku membiarkan rasa diri tersebar entah sampai ke ceruk mana. Aku menulis apa yang aku sedang alami.
Aku seorang ananiah. Mana pernah aku pedulikan perasaan orang lain. Dan kini aku mahu bersendiri. Aku mahu kisahkan diri sendiri dan tamatkan semester ini. Impian aku untuk menukar ke jurusan lain yang aku minat entah mengapa makin berkobar. Aku sudah tidak mampu menahan air mata dan membiarkan perasaan aku terbuai dengan apa yang berlaku. Entah mengapa aku jadi sangat sensitif sekarang. Disentuh sedikit aku terasa lama...
Kenangan itu kembali.
Kenangan berada dalam bilik Dr Haziqah menghujankan air mata yang merambu.
Maka, seketika aku mengimbas detik-detik aku dimotivasikan oleh Doktor Haziqah lantaran tabiat itu. Sesungguhnya, Allah sudah mentakdirkan kamu berada pada kedudukan yang baik dan paling baik untuk diri kamu.
Suatu hari, selepas menyudahkan hidangan tengahari ada panggilan masuk.
āUstazah Haziqah.ā Beliau memperkenalkan diri. Beliau meminta aku segera hadir ke biliknya.
Pintu bilik Doktor Haziqah aku ketuk perlahan. Setelah bersahut barulah aku memberi salam. Menanggalkan kasut dan masuk dengan wajah tenang walaupun debar di hati sudah seperti baru usai menerai lima pusingan padang universiti.
Sambil tersenyum beliau mempelawa aku masuk ke biliknya. Sebuah bilik yang kemas tersusun berjilid-jilid buku dalam bahasa Arab.
"Durrah, kamu sakit? Enam kali kamu ponteng kelas Adab Abbasi tanpa sebab. Kamu senyap dan tiada seorang yang tahu."
Aku diam. Apakah jawapan yang selayaknya untuk aku khabarkan. Sebenarnya aku sudah menghantar surat untuk menukar jurusan lain. Aku sudah mendapatkan tandatangan ketua jabatan bahasa Arab dan mendapatkan tandatangan ketua jabatan jurusan baru.
Hanya menanti untuk dimasukkan data. Aku mahu bertukar angin kerana aku sudah penat berada dalam jabatan ini. Aku langsung tidak berusaha meningkatkan diri sendiri dan keputusan aku sudah berada di mulut buaya, tinggal ditelan sahaja. Aku berbincang dan ini keputusan yang aku dapat.
Dr. meminta aku menerangkan apakah sebabnya hingga aku menukar jurusan secara mendadak sedangkan sejak di matrikulasi aku sudah menghabiskan dua tahun untuk berlajar asas bahasa Arab dan walaupun keputusan yang dicapai bukanlah yang terbaik, sekurangnya aku berjaya dimasukkan ke Taman Ilmu dan Budi.
Awal niat itu penentu penyudah. Mungkinkah kerana dahulu aku memilih bahasa Arab atas alasan untuk belajar sasteranya yang bagi aku punya nilai yang tinggi, maka aku tekad untuk terjun ke dalam lautan bahasa Arab. Namun masih berenang di permukaan aku sudah terasa jemu dan bagi berpatah semula.
"Kamu tidak fikirkah ayah kamu yang menanti di rumah? Mungkin beliau tidak katakan apa-apa setiap kali kamu pulang, namun pernahkah ayah kamu lupa memberi kamu wang setiap kali kamu kembali ke sini? Mungkin beliau tidak tahu tunjukkan sayang dengan perbuatan. Peluk dan berikan kata-kata, namun pemberian dan senyum ayah itu sebenarnya tanda ayah sayang kamu. Ayah mana tidak suka anaknya masuk universiti. Dan kamu tidak terfikirkah betapa kecewanya ayah dengan keputusan yang kamu ambil?"
Aku terdiam. Ayah. Ayah yang baik. Ayah yang penyayang. Ayah yang mengambil berat. Itu ayah terbaik untuk aku, melayan aku sejak aku dilahirkan sampai sekarang. Ya Allah!
"Apa akan jadi jika pinjaman kamu sudah tiada? Siapa yang akan sara kamu. Kamu sudah di tahun dua. Empat tahun belajar bahasa Arab."
Aku seperti mahu tutup telinga walaupun tanpa sedar ada air mula menuruni pipi tanpa aku mahu. Tidak terdaya menahan apabila hal keluarga disentuh.
Sekeras mana seseorang akan ada perihal yang membuatnya senang menitikkan air mata. Ego aku mungkin tinggi, namun kena caranya ego itu lebur sendiri. Maka, aku biarkan Doktor Haziqah berbicara dan aku lebih banyak mendengar.
"Durrah, kamu bukan tidak pandai. Kamu hanya MALAS. Jika tidak bagaimana kamu berada di sini? Keputusan SPM kamu bukan tidak baik. 8A dan menjadi pelajar terabaik di sekolah. Bagaimana kamu belajar ketika menghadapi SPM? Kenapa kamu tidak mampu aplikasikan ia di sini? Kamu ada masalah dengan kawan? Dengan keluarga? Mungkin selama ini cara belajar kamu yang salah. Belajar sendirian kadang tidak menyelesaikan masalah. Kamu tidak faham, cuba tanya kawan. Rujuk pensyarah. Belajar mana boleh malu. Kalau markah rendah, jumpa pensyarah, minta kerja lebih."
Angguk.
"Saya mahu kongsi dengan kamu satu petua. Kisah seorang ibu yang mana anak-anaknya semuanya berjaya. Masuk universiti, kerja doktor, arkitek, jurutera... Sedangkan dia hanya surirumah. Katanya, setiap malam bangun malam, solat tahajud, solat hajat, solat witir. Dalam doa jangan lupa tiga perkara: Ya Allah permudahkan anakku belajar. Ya Allah permudahkan anakku jawab peperiksaan, Ya Allah permudahkan aku untuk mencapai cita-cita. Jangan tukar jurusan lain. Terus bertahan selama dua tahun lagi."
Bertahan. Lalu, aku masih di sini...
Comments