Skip to main content

PPMN III 2011: Perjalanan yang Dibantu.

Perhimpunan selama tiga hari yang menemukan kami kembali setelah empat  tahun.
16 Disember 2011.
Berjanji untuk ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional kali ke-3 2011, yang dianjurkan PENA. Sebelum ini ada mendengar tentang perhimpunan penulis muda kali ke-2 yang diadakan di Melaka. Cemburu membaca cerita mereka yang berkesempatan untuk hadir ke sana, kali ini saya mengatur rancangan bersama Ina Nailofar. Setelah beberapa tahun (setelah MPR 2011) inilah kali kedua bertemu walaupun sebenarnya kami berada dalam negeri yang sama. Saat akhir sebenarnya saya mahu menarik diri, alhamdulillah, saya dapat ke sana dengan ribuan kenangan yang saya rakam dalam ingatan...

Ini sekadar sebuah catatan seseorang yang hadir sebagai peserta dan bukannya seorang penulis yang sedang mencipta nama. :) Memang malu apabila melihat wajah-wajah yang selama ini dikenal di fb, karya mereka saya baca. Akhirnya saya melihat daripada jauh tanpa menegur. Hanya berbalas senyum dan mengunci bibir tanpa bicara.

Ketika jam menghampiri angka 12, saya mengatur langkah dengan menggalas beg di belakang dan di tepi. Perjalanan pertama saya dan terakhir saya untuk tahun ini bagi menghadiri program selama beberapa hari.

Menaiki bas RAPID 231 ke Stesen Putra --- memasuki badan LRT ke Stesen Masjid Jamek ---- menggunakan perkhidmatan STAR ke Stesen Hang Tuah. Saya berjanji dengan Ina Nailofar untuk bertemu di sini. Setelah hampir sepuluh STAR LRT yang lalu dan saya selesai membaca kembali diari yang ditulis untuk semester ini, Ina Nailofar dan kawannya, Amalina tiba, melambai di seberang stesen.

Ketika menunggu.

Selamat. Masalah datang ketika kami mahu ke Akademi Kenegaraan, tempat program. Ina Nailofar sudah mencetak pelan ke sana, namun apabila bertanya sebuah teksi, pemandunya yang masih muda itu menggeleng. Sebuah kereta berhenti tidak jauh tempat kami berdiri di luar Stesen Hang Tuah.

Semacam kak Hani Salwah dan kak Rebecca..” Saya berkata kepada diri.

Diam. Tidak menuju ke kereta tersebut dan menanti teksi. Sebuah teksi berhenti namun tidak tahu tempat yang kami tuju.

Kak Rebecca keluar daripada kereta.

Ke PPMN?” Beliau menyoal. Cepat menangkap apabila teksi yang ditahan tidak mahu menghantar kami. Dapat naik kereta percuma. :) Terima kasih buat kak Rebecca Ilham dan Kak Hani Salwah yang mahu menunjuk jalan kepada orang lain, akhirnya menyelamatkan kami (saya, Ina, Amalina) dan poket kami.
Masliya, Amalina, Ina Nailofar. (Kak Eja tiada dalam gambar)

Sampai di Akademi, mendaftar penyertaan untuk PPMN kali ke-3 2011. Dapat diskaun 50% sebagai pelajar. Selamat poket RM20. Ambil kunci, dan terus ke bilik. Bilik yang selesa dan saya tidur seorang dalam bilik yang sepatutnya dikongsi berdua. Bersama-sama kami kak Eja (penghuluwati MPR 2007) dan Masliya Yahaya (MPR 2009) yang sebelum ini dikenal pada blognya sahaja. Alhamdulillah, tenyata perhimpunan ini mempertemukan saya dengan beberapa wajah kenalan penulisan yang saya hanya baca dan mengenal tulisan mereka.

Petangnya hanya mendengar kata-kata Pengarah Akademi Kenegaraan dan dapatlah buku 1 Malaysia.. Orang memberi kita mengambil. :) Bacanya belum pasti. Seakan mahu dicuci otak para peserta .. tit.....


Dan malamnya bertempat di hotel yang saya tidak ingat namanya di Jalan Ampang, berlangsung acara sempena 50 tahun PENA. Sudah jubli emas rupanya... Dapat Bedar Suma Bisu yang diterjemah dalam bahasa Inggeris dan buku Transformasi Najib. :).

Meja sudah diatur, dan saya memang terpisah daripada dua sahabat yang lain. Jauh. Saya di dekat pintu, mereka di hujung sana. Sudahlah saya ini spesis yang berat mulut tidak menegur jika tidak ditegur. Akhirnya saya diam di kerusi. Kaku. Di meja sana, nampak Siti Jasmina Ibrahim, MF Kencana, penulis itu, penulis ini... Saya hanya melihat. Bertentangan saya ada seorang peserta perempuan dari Sabah. Kami hanya berbalas senyuman. Berselang dua kerusi ada seorang peserta dari UITM. (tahu setelah membaca fb Fahd Radzy) Beberapa lama, duduklah seseorang di meja saya duduk, G7.

Fahd Radzy.” Saya berkata sendiri. Diam. Mana mungkin saya menegur.

Dua kerusi sebelah saya sudah ada dua orang lelaki. Salah seorangnya asyik dengan kamera besarnya. Entah siapa. Mungkin pelajar daripada mana-mana IPTA. Saya tidak berkenalan. Akhirnya duduk lagi di sebelah kanan. Lelaki juga. Wa... Semuanya lelaki, hanya saya dan peserta dari Sabah itu perempuan. Saya duduk diam.

Ketika makan, cuba makan dengan tenang. Akhirnya Fahd Radzy bertanya setelah beliau berkenalan dengan lelaki di sebelah kanan saya itu.

Oh, Khalil Zaini, MPR 2010.” Saya berkata dengan diri setelah mendengar mereka berkenalan. Jika tidak, saya hanya diam. Kaku. Buat-buat tengok telefon yang tiada mesej. Lihat persembahan di depan, dengar Fedtri Yahya berkata di depan.. mendengar persembahan...

Jamilah..” Saya menjawab ketika ditanya Fahd Radzy.

Jamilah Norddin...” Pandai beliau menerka. Soalan seterusnya yang tentunya soalan skema apabila penulis bertemu penulis (saya bukan lagi penulis ya.. ) ..

Ada buku baru ya?”

Bakal terbit..” Jawapan skema saya. (saya jadi teringat pula yang novel remaja itu tajuknya dalam bahasa Inggeris sedangkan ceritanya bahasa Melayu. Haru.) Ditakdirkan malam itu saudara Amir Hamzah, editor yang mengurus buku saya membalas mesej. Memberitahu sepatutnya buku sudah siap dicetak namun ternyata belum...

Ketika beliau mahu menangkap gambar bersama saya dan Khalil Zaini, saya kembali menyoal soalan standard tersebut.

Abang Fahd ada buku baru?” Kebetulan saya melihat peserta dari Sabah itu membelek buku yang diserah Fahd Radzy.

“Buku dicetak semula.” Menggeledah Nurani itu sudah berkali-kali diulang baca. Fahd Radzy, seorang yang aktif dalam Grup Karyawan Luar Negara (GKLN).

Diam kembali. Ternyata, saya kekok dan sangat kekok sebenarnya. Buat selamba dan seperti tidak ada apa-apa. Mendengar bla. bla. bla. yang dikata perdana menteri malaysia dan akhirnya pulang. Dapatlah tiga buah buku puisi. :)

Dalam bas, sebelah saya tidak berorang. Datang seorang pak cik yang sangat ramah. Banyak yang dikongsi beliau dan bertanya. Setelah agak lama bersembang barulah saya bertanya nama beliau.

“Nassury Ibrahim.” Baik, rupa-rupanya ini penulis yang saya pernah baca tulisan beliau.

Banyak sekali nasihat yang akhirnya ketika turun daripada bas, beliau katakan sebagai kuliah percuma.

Kata beliau, antaranya... “Kamu tulis apa sahaja yang dekat dengan kamu. Tidak ramai yang tulis apa yang dibuat seorang wanita daripada pagi sampai tengahari.. sekarang mudah, tulis dalam blog, ia kekal. Ada sesetengah orang tua dahulu, menulis dalam kertas, dan ia hilang tanpa diterbitkan. Akhirnya karya yang baik tersebut tidak dapat dibaca orang lain. Tulislah apa sahaja tanpa kamu fikirkan sangat kualitinya. Jika dapat pujian ia bonus, jika dikritik, cara untuk kamu tingkatkan diri. Kita ada banyak benda kecil yang kita lupa, asyik fikirkan perkara besar-besar.Baiklah mereka yang punya fikiran besar, kita tulis ikut kemampuan kita. Penulis wanita ramai yang tidak kekal. Susah nak dapatkan penulis wanita yang tekal menulis. .. Ada seorang penulis ini dapat sarjana setelah menulis buku tentang rumah di Malaysia. (orang bagi bukannya beliau belajar di universiti.., saya lupa nama yang disebut pak cik Nassury.) ” ini antara yang beliau bicarakan...

Sampai bilik, solat Isyak dan lena mengumpul energi untuk perbentangan kertas kerja yang bermula pagi esoknya..




17 Disember 2011.
Hari kedua. Pagi hingga petang yang sarat dengan sumbatan ilmu-ilmu yang agak tinggi diterima akal. Pembentang tentunya mahu mempertahankan pegangan masing-masing. Agak berat rupanya makalah-makalah yang dibentang hingga akhirnya malam 17 Disember itu sangat lena hingga susah untuk bangun esoknya. Kita dengar, kita hadam, dan pertimbangkan mana yang mahu diikut.:)

Teori demi teori yang dibentang membuatkan saya terasa berada dalam dewan kuliah. Teringat bengkel bersama FT ketika MPR 07 yang diberikan ilmu yang agak berat untuk saya terima. Saya dengar,angguk, catat yang penting.

Hampir enam lebih, baru kembali ke bilik untuk solat Asar. Malamnya ada malam Genta Puisi anjuran ASWARA.

Beberapa kali melihat Pena Alam, namun tidak berani untuk menegur. Di dewan makan berbalas senyum. Di audotorium, hanya senyum, hari akhir juga hanya senyum. Akhirnya hingga sudah, hanya berbalas senyum. Manis wajahnya, semanis bicara lewat puisinya dalam blog.

Malam Genta puisi yang membariskan ramai pembaca puisi.. Rasheela dengan lagu puisinya, kelab Dekalamtor, Salman Sulaiman, SM Zakir, Rebecca Ilham, Pena Alam, Hani Salwah, Hafiz Latiff, Ridzuan Harun, dan ramai lagi yang tidak saya sebutkan di sini. Istimewanya, ada peserta daripada Jepun yang sedang belajar di UM turut membacakan puisinya. Manis sekali mendengar orang luar berbahasa Melayu. Menjelang jam 12 barulah acara selesai dan akhirnya memang awal lenanya malam itu. Letak kepala dan terlelap.



18 Disember 2011.
Hari terakhir sudah. Cepat benar masa yang berlalu. Pagi bersarapan dengan bihun di dewan makan sebelum mendengar pembentangan makalah seterusnya. Masih berat pembentangan mereka, namun ada satu dua pembentang yang saya terasa santai di pendengaran saya. Terasa mahu mendengar lebih, namun masing-masing mengejar masa yang diberi supaya tamat pada masanya. Jam 12 lebih selesai pembentangan makalah dan ditutup dengan resolusi dan ucapan penutup oleh Presiden Pena, Dr Saleeh.

Setelah sesi bergambar, kami kembali ke bilik dan bersiap untuk pulang. Rezeki kami apabila perjalanan pulang dihantar pula oleh Zarif Hassan yang pernah menang Akademi Sastera kali Pertama tiga tahun yang lalu dan diteman kak Rebecca Ilham sekali lagi. Beliau pelajar UPM yang saya usik sebagai kawan Ina Nailofar. =) Ternyata kami dihantar beliau ke Stesen KL Sentral.

Rezeki...

Saya mengambil LRT ke Gombak. Ina Nailofar dan Amalina meneruskan perjalanan ke Serdang, kembali ke UPM.

Tamatlah cerita.=D

Pertemuan dengan keluarga MPR 2007 walaupun saya hanya melihat daripada jauh. Aidil dan Azriq yang makin meningkat naik. Nai Boon Mee Sararaks dan kisah Serengenge yang kami tidak lupa. Kak Safura Sabri yang kini sudah di ITNM. Ina yang bakal menulis novelnya nanti. (akak doakan ini, semoga jadi kenyataan.) Kak Eja yang sudah bekerja. Syafiq yang aktif dan datang dari jauh.. Masih teringat juga mereka ini.. yang tiada selama tiga hari di sini.. Ghazali yang kami panggil adik FT, (sekarang di UKM) Nik yang akan menjadi polis?, kak Hidayah Ilias, kak Fiza, Kak Rasyidah Othman yang menjadi guru, Hafizul Osman yang sudah punya buku dengan Jemari Seni, kak Iffah Hidayati yang sudah tamat pengajian perundangan di IIUM, kak Effa yang saya tidak tahu khabarnya, kak Syarifah yang saya tidak tahu khabarnya juga dan Wani yang kini di ASWARA. MPR 2007 ternyata menemukan wajah-wajah yang sebelum ini tidak pernah mengenali...

Penulis itu ternyata tidak boleh lagi duduk dalam bilik dan menulis. Penulis zaman kini berada dalam masyarakat. Mereka menjadi lidah masyarakat dan menyuarakan ketidakpuasan dan kegelisahan rakyat lewat penulisan mereka. Saya kagum sebenarnya dengan Allahyarham Azizi Abdullah dengan penulisan yang telah beliau hasilkan..

Ada satu kerisauan dalam diri dan turut diutarakan oleh panel yang saya tidak ingat siapa... “Macam ada satu jarak antara mereka yang hadir pada pada hari ini dan mereka yang menulis di luar.” Ada juga saya terdengar yang bacaan berat hanya untuk orang sastera. Kadang dan sampai sekarang saya tidak faham apa yang orang fikir sebagai orang sastera itu. Bagi saya penulis itu menulis. Tulisan mereka untuk dibaca oleh semua orang. Bukan lagi fikiran yang buku DBP hanya untuk mereka yang minat sastera... Sebenarnya buku sasterawan banyak mengajar dan memberi pengajaran jika dibaca. Jika hanya membaca buku cinta, kahwin, gaduh, pisah dan bertemu lagi, nanti tidak mustahil itulah yang akan ditulis (pesanan untuk diri sendiri.)

Terima kasih kepada penganjur PPMN kali ke-3 dan semua urusteria yang bekerja keras hingga berjayanya PPMN kali ke-3. Terima kasih kepada kak Rebecca yang ‘terambil’ dan menghantar kami. Terima kasih semua pembentang yang memberi ilmu yang banyak. Terima kasih Ina, pertemuan kita jadi realiti. Dapat bertemu dengan Syafiq yang comel itu juga... Terima kasih Amalina Ismail yang sangat ceria. =D Kamu juga harus menulis. Ini kenangan terindah 2011 di sebalik semua yang terjadi. Ternyata Allah memberi kesudahan ini... PPMN yang indah. Apa yang penting, terus menulis.. Penulis itu kerjanya menulis.


Wassalam...

Jamilah Mohd Norddin
12.52p.m/ D-4-4-a/Saff/iium.

Comments

♥ Nur Hazlina Binti Mohd Fisol ♥ said…
Akak, study week di blog akak!!!! :)
Best la baca coretan pengalaman dari kaca mata akak sendiri. Satu soalan menerjah di benak fikiran, bila la ina nak istiqamah menulis macam akak. hehe..teringin nak catat semuanya tapi setakat ni istiqamah dalam diari sahaja...hehe

PPMN, ramai yang kita kenal tapi mereka... ramai yang tak kenal kita!!!!hehe...ina yakin, akak ramai yang kenal... :))

ok, manis kenangan di sana. Buku yang dapat belum dihadam hingga ke hari ini, menanti cuti sem yang bakal tiba...insyaAllah ;))

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub