Kehidupan macam buih! |
Terasa tidak lengkap sebenarnya setelah beberapa hari saya sembunyikan diri dan menyenyapkan seketika ruang penulisan ini. Setiap hari terfikir ada perkara yang mahu dicontengkan, ada benda mahu dituliskan, lalu saya kembali menukil kata. Sungguh walaupun ia hanya ayat demi ayat dan kata demi kata cukuplah buat rawatan buat diri sebenarnya.
Assalamualaikum, kalian yang terbaca dan membaca ruang penulisan ini. Apa agaknya khabar kalian? Semoga kalian sentiasa dilindungi Allah dan di bawah payung rahmat-Nya sentiasa. Amin.
Tidak berada di sini bukan bermakna saya terus melarikan diri dan tidak mahu menulis dan hanya menyepi. Sesungguhnya ruang perkenalan yang terbina oleh penulisan itu sendiri sebenarnya memberi makna dan semangat buat diri. Membaca kisah-kisah dan perkongsian mereka di blog-blog, membuatkan saya jadi sedar diri. Tidak hanya boleh menongkat dagu dan menyesal dengan apa yang terjadi.
"Bukankah Allah memberi yang terbaik untuk hamba-Nya?"
Benar sekali kan?
Saya suka mengulang dan mengulang tentang diri. Kerana pengalaman saya tidak luas dan pengetahuan itu belum banyak. Jadi, saya suka bicara apa yang saya tahu dan dekat dengan diri.
Ayat di atas saya suka ulang dan ulang dan kadang ia seakan terapi kala diri jatuh terpunduk. Perkara normal bagi seorang manusia biasa yang ada jatuh bangun, suka duka... Maka, kala bicara itu saya suarakan pada diri, apakah lagi kata yang lebih baik?
Kerana teringatkan ayat itulah saya kembali menulis. Saya kembali untuk berkongsi apa yang saya dapat tulis dan pernah lalui. Walaupun ia hanyalah kisah biasa semoga perkongsian itu punya makna. Kembalinya saya semoga ada semangat baru yang ditimba.
Bukankah kehidupan itu terlalu singkat untuk dibiar hanya berlalu... =)
Sebelum saya undurkan diri buat seketika, mahu saya kongsikan kalam ini untuk semua...
"Bersabarlah dengan apa yang berlaku kerana kesabaran itu diibaratkan kita berada di garis tengah antara berjaya dan gagal. Andai kita bersabar, ada kejayaan yang menanti di hujung. Tiada kecewa, tiada duka. Sesungguhnya Allah sediakan yang terbaik buat semua hamba-Nya. =) "
Cetusan setelah menyepi,
Jamilah Mohd Norddin,
ITD@9.3.2011@10.42
Comments