Alkisahnya Ahad yang lalu saya dan kak Lu'lu' (teman sekelas parenting) telah mengambil keputusan untuk sama-sama ke Rumah Titian Kaseh. Setelah menelefon pada hari Khamis yang laly kami memulakan perjalanan pada 10.45 pagi.
Menaiki bas 91 ke Kuala Lumpur, kami berhenti berdekatan Hospital Tawakal dan menapak sampai ke Rumah Titian Kasih yang letaknya tidak jauh daripada Taman Tasik Titiwangsa. Mengambil masa juga untuk mencari dalam terik matahari yang memancar, hingga akhirnya kami bertemu rumah terebut.
Walaupun tidak banyak data dapat dikumpul, penceritaan seorang Ibu (saya lupa namanya) banyak memberi pengajaran...
Secebis catatan yang masih lekat dalam ingatan...
Rumah Titian kasih dibina dengan wang gaji Mak Pah (pengasas rumah Titian Kasih) yang bekerja sebagai jururawat. Wang gajinya digunakan untuk membangunkan rumah ini tanpa berkira. Kami percaya setiap anak ada rezekinya. Rumah ini tidak dibantu oleh dana kerajaan namun kami ambil inisiatif menjual nasih lemak, menjahit manik dan baju, catering dan kedai makan bagi menjana kewangan. Kita mahu bantu orang Islam, orang Melayu. Mereka ini bakal pemimpin. Jika ditanya anak ini apa cita-cita mereka, katanya mahu jadi doktor, cikgu (ibu ini menitiskan air mata).. mereka punya impian yang tinggi. Namun kenapa disebabkan masalah yang dicipta oleh ibu bapa menjadikan anak-anak ini terpinggir. Ada anak di sini pernah makan puntung rokok.. sebab anak menagih.. Ada yang hampir masuk Kristian.
Salah siapakah mereka terbiar?
Kami pernah disoal mengapa membina rumah ini di bandar bukan di kampung? Untuk apa dibina di kampung sedangkan masyarakat kampung walaupun miskin mereka dapat berdikari namun di bandar anak ramai yang terabai.. Cari makan sendiri sebab ibu ayah bercerai dan kahwin lain..
Kami mementingkan soal agama. Kebersamaan. Anak-anak dididik untuk saling menyayangi dan dijaga seperti di rumah.
Ada satu cerita tentang seorang pekerja di sini yang sakit barah Payudara... Setiap malam anak-anak ini bangun solat hajat untuk beliau dan dengan izin Allah ia sembuh.
Anak-anak itu tidak bersalah..
Itulah sedikit yang saya ingat tentang apa yang dibicarakan oleh Ibu. Melihat anak-anak di sini, mereka terasa lebih mulia daripada diri saya sendiri yang berada di luar. Mereka tahu menghargai.. Mereka belajar menyayangi.. Ada seorang anak kecil ini, menurut Mak Pah, diambil daripada IJN dan menghidap sakit jantung berlubang. Ada anak yang lahir di sini.
Kasihan sebenarnya melihat anak-anak itu. Mereka pasti inginkan belaian kasih ibu ayah, namun hanya ada penjaga di sisi mereka.
Kisah Mak Pah dan anak-anak ini kisah realiti. Seorang ibu yang meninggalkan kerjaya sebagai jururawat dan membuka rumah perlindungan (ada ibu tunggal, Orang kurang upaya dan anak-anak yatim yang ditempatkan di rumah yang berasingan)
Ia pelajaran yang tidak pernah dan tidak akan diajar dalam silibus.
Saya belajar yang sangat benar bahawa mereka yang mengasihi anak yatim akan dilimpahkan barakah. Rezeki mereka sentiasa cukup walaupun tiada dana tetap. Jika difikir logik akal, bagaimana mahu menampung semua belanja, namun Allah Maha Kaya..
Sungguh benarlah Allah itu Sangat Kaya..
Allua'lam..
*Pihak Rumah Titian Kaseh sangat mengalu-alukan mereka yang mahu ke sana dan mengajar fardu Ain terutamanya kepada anak-anak ini. Biar kalaupun mereka tidak belajar tinggi mereka tahu asas agama.
Ini alamat rumah tersebut:
Rumah Titian Kasih (Pusat Jagaan Anak Ibu Tunggal & Anak Yatim)
RTK No.15 Jalan Persiaran Titiwangsa
Taman Tasik Titiwangsa
53200 Kuala Lumpur
Facebook: http://www.facebook.com/pages/Rumah-Titian-Kaseh/109138682031
Blog: http://rumahtitiankasih.blogspot.com/
Comments