Skip to main content

Cerpen: Mujahid Syamsiah

Mujahid Syamsiah
Jamilah Mohd Norddin


Syamsiah membatu dalam bilik. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang amat bermakna baginya. Bergelar seorang isteri. Namun inilah hari paling gementar sepanjang hayatnya. Menikahi seseorang yang tak pernah diimpi dalam hidupnya. Dia pasrah jika ini takdir terbaik buatnya. Ada setitik dua air menuruni pipinya, mencacatkan seri wajah yang telah disolek tipis. Dia tak mampu menahan harunya. Kita merancang, dan ALLAH juga merancang, perancangan ALLAH itulah yang terbaik. Syamsiah akur dengan nasihat Abah. Dia reda menerima takdir. Sesungguhnya ALLAH akan menggantikan sesuatu yang hilang daripada kita dengan sesuatu yang lebih baik.

"Perjuangan ini menuntut kita untuk berkorban segala-galanya."

"Tapi aku tak mahu kita korbankan masa depan kita."

"Bukan masa depan tapi aku mencari cinta yang lebih sejati. Cinta ini hanya akan aku peroleh di sana. Sebagai manusia aku sayangkan kau sebagai tunanganku, tapi aku lebih sayangkan tanah airku. Panggilan jihad ini tak dapat aku lengahkan. Seakan arwah Ibu dan Walid melambai aku untuk ke sana."

Syamsiah diam. Hilang kata untuk membalas kembali. Mujahid telah memberikan kata putus. Mahu meneruskan perjalanan ke Daerah Perjuangan Palestin. Dia merenung cincin belah rotan yang sudah tersarung di jari. Mungkinkah ikatan ini akan berakhir dengan perkahwinan sebagaimana insan-insan lain? “Ya ALLAH seandainya dia terbaik untukku, berikanlah aku kesempatan untuk bersamanya, namun jika dia bukanlah jodohku, semoga penggantinya adalah yang lebih baik.” Syamsiah memanjat doa di dalam hati.

***
Hari perkahwinan tak sampai sebulan. Hari itu, Mujahid, pemuda berdarah Palestin, teman pengajian merangkap tunang Syamsiah berkunjung ke teratak Syamsiah, ditemani seorang temannya. Itu pun setelah mendapat persetujuan Ayah Syamsiah terlebih dahulu. Pertemuan yang ditemani Ibu dan Ayah Syamsiah.

"Aku akan ke Palestin minggu depan. Menyertai misi keamanan di sana."

Syamsiah terdiam. Hati kecil mula gerimis. Mengapa mendengar perkhabaran itu hatinya seakan sayu dan ada getaran kecil. Mungkinkah? Dia tidak mahu berperasangka. Apalah kedudukannya dalam hidup Mujahid untuk membantah. Dia bukan isteri Mujahid, sebaliknya hanya tunangan yang belum pasti menjadi milik Mujahid.

"Saya tak boleh melarang, Mujahid. Ini kehendak awak. Saya belum sah dimiliki awak untuk menghalang apa jua tindakan awak."

"Jangan ingat aku pergi kerana tak mahu teruskan pernikahan kita. Aku pergi kerana seruan jihad. Ini sebahagian infak aku. Aku tak punya banyak wang untuk dilaburkan, tapi ada sedikit kepakaran untuk disumbangkan. Kau doakan aku selamat. Walaupun hatiku di sini, tapi tak mungkin aku biarkan tanah airku dijarah sesuka mereka. Aku perlu menolong bukan sahaja bangsa, namun saudaraku di sana. Maafkan aku Syamsiah."

"Saya doakan keselamatan awak di sana. Semoga awak mendapat apa yang awak impikan dan selamat kembali, seterusnya kita disatukan.”

Syamsiah tak banyak bercakap petang itu. Fikirannnya agak terganggu dengan perkhabaran ini. Sejak Mujahid pulang, dia banyak mendiamkan diri, sampaikan Ibu mula risau keadaan ini akan berlanjutan. Namun dalam kekalutan jiwa, Syamsiah tak pernah lupa melafazkan doa agar Mujahid selamat kembali dan mereka sempat disatukan. Kita tak mampu menyelak hari esok untuk mengetahui apa yang bakal terjadi. Hanya doa menjadi senjata ampuh penguat cinta dan rindu Syamsiah.

***
Mujahid mahu jasadnya disemadikan di bumi Palestin. Pengakhiran Mujahid berakhir ditabrak peluru sesat dalam perjalanan menuju khemah pelarian keluarga Palestin di pinggir Gaza. Bersemadilah Mujahid dengan aman bersama mujahid di taman jannah. Hujanan air mata mengiringi berita yang disampaikan. Mungkin bukan jodohnya dengan Mujahid, dan Tuhan menjanjikan yang lebih baik menggantikan yang telah pergi.


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, aku berjaya memijak bumi Palestin yang menjadi igauan aku saban hari, aku ingin menyumbang sesuatu untuk mereka, tapi aku tak punya harta yang banyak untuk diinfakkan, tapi aku punya sedikit kepakaran dalam bidang perubatan untuk dimanfaatkan. Aku rasa selesa dan gembira berkhidmat di sini, tanah kelahiran yang lama aku tinggalkan demi ilmu..

Semalam, kami melawat daerah pelarian di sini. YA ALLAH, menitis air mataku melihat penderitaan mereka. Namun aku tahan agar tak mengalir di hadapan mereka. Aku tersenyum dalam duka. Aku gembira dan bersyukur dapat memberi sesuatu pada saudara seagama, juga saudaraku. Ada seorang gadis kecil, kelatahnya amat menyentuh naluri lelakiku. Di katilnya, melihat runtuhan yang dapat diperhatikan dari khemah rawatan. Memandang tajam, tidak sesal dengan kecederaan yang terjadi padanya. Ah, anak Palestin dilahirkan untuk membebaskan Palestin agar satu hari nanti umat Islam bisa bersolat di Masjid al-Aqsa, tanah haram ketiga umat Islam.

Aku benci kelakuan Yahudi yang menjajah Palestin. Malahan negara yang terlalu menyokong sang Yahudi, Amerika.

Setiap hari di Hospital As-Syifa’, berbagai ragam pesakit yang aku temui. Paling mengharukan, mereka menghabiskan masa terluang dengan membaca al-Quran, berzikir. Pesakit paling muda, lima bulan, namanya Samir, dengan kaki yang sudah terputus aku lihat wajahnya amat tenang. Menurut doktor, hanya anak ini yang terselamat sedangkan seluruh ahli keluarganya syahid di medan pertempuran. Di sini, aku belajar menguatkan diri, membina ketahanan diri dengan solat berjamaah. Inilah sumber kekuatan anak-anak dan orangt Palestin sebenarnya, Syamsiah.

Esok, kami akan meneruskan misi. Tapi sebelum tu aku akan berjumpa Samir terlebih dahulu. Mahu ucap selamat tinggal dan kucup keningnya lagi. Aku teramat gembira di sini. Walaupun peluru menjadi teman, aku rasa dilindungi. Aku tak takut mati, Syamsiah, aku rela syahid di bumi berdarah ini. Aku dambakan kematian yang diredai, maafkan aku, Syamsiah jika aku tak sempat membahagiakanmu...


Surat yang belum habis ditulis. Mungkinkah Mujahid terlena sebelum usai menulisnya? Dia lelaki pertama menyunting Syamsiah, cinta pertama Syamsiah, namun cintanya pada perjuangan menyebabkan Syamsiah cemburu. Dia mendapat cinta tertinggi, bergelar syahid. Hanya doa Syamsiah hulurkan buat Muajhid. Tenanglah di taman jannah bersama para syuhada.

***
Seminggu lagi majlis pernikahan aku dan Mujahid dijadualkan berlangsung. Hatiku sebak melihat hantaran, tambahan pula baju nikah yang tergantung dalam almari pakaianku. Aku kuatkan hati, tak mahu air mata ini tumpah untuk perpisahan abadi ini. Aku percaya pada rancangan ALLAH, tentu ada yang lebih baik.

"YA ALLAH, kami merancang, namun rancangan Engkaulah yang terbaik. Berilah aku kekuatan menghadapi ujian ini. Semoga ada jodoh yang lebih baik untuk aku. Engkau Yang Maha Mengetahui. Aku reda walau apa yang berlaku."

***
“Mujahid pergi sebagai seorang pejuang, jangan menangis isteriku. Walaupun abang tak mampu menggantikan tempatnya di hatimu, berilah Abang ruang untuk menyayangimu. Jangan korbankan perasaan pada yang telah pergi. Doakan dia bersama para solehin.”

Pernikahan aku diteruskan. Suamiku seorang Ustaz Bahasa Arab di sekolah berhampiran. Pinangannya Syamsiah terima lantaran Syamsiah memang mengenalinya lewat karyanya di majalah. Syamsiah bersyukur, Tuhan berikan yang lebih baik untuknya. Dia pasti aturan ALLAH itulah yang terbaik untuk dia terima. Jika kita percaya apa yang telah ALLAH aturkan, kita pasti akan mendapat yang terbaik. Apa yang penting adalah keyakinan.

Mujahid yang pergi tidak akan pulang buat selamanya. Namun Mujahid baru ini akan berjuang, membebaskan anak-anak daripada belenggu kebodohan dan bangkit mencintai ilmu. Biarlah jasad Mujahid dikebumikan sebagai syuhada di bumi tempat lahirnya, namun dia tetap mujahid yang pertama bertakhta di hatiku.



Comments

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك