10 July 2012

I Want To Be A Writer


Penulis Ummu Hani Abu Hassan dengan buku terbarunya berjudul I want to be a writer membuatkan saya terasa mahu menyalin satu demi perenggan yang ditulis beliau. Ya, ia memang buku yang memuatkan pengalaman beliau, namun daripada pengalaman orang lain juga mengajar pembaca untuk melihat dirinya sendiri -saya-

Walau telah lebih tiga hari membaca buku ini, hakikatnya, belum dapat juga saya tamatkan muka terakhir. Kemudian, setelah berkunjung ke maktabah Dar Al-Hikmah, tertarik pula dengan buku-buku baru yang cepat menarik minat saya untuk meminjamnya.

Sehari dua ini saya terlalu banyak membaca catatan di fb, sehingga terlupa yang banyak senarai buku dalam senarai menunggu untuk saya hadam. Selamat tinggal fb. Saya harus meninggalkan kamu buat seketika. Ada sesuatu yang perlu dilangsaikan sebelum saya kembali. Sudah terlalu banyak tugas terganggu kerana keasyikan saya denganmu.


Lupakan dan tinggalkan sesuatu untuk sesuatu yang lebih penting.

Pembacaan saya sudah melewati pengalaman Ummu Hani ketika kecil hingga zaman universitinya. Ayah beliau -Abu Hassan Morad- adalah penulis kegemaran saya juga. Saya amat meminati Julia yang diajar dalam KOMSAS tingkatan Lima.

Sampai muka saya terhenti membacanya, ada sesuatu mengusik hati kecil saya.

"Allah menjawab permintaan hamba-Nya walau dengan apa jua cara."

Ya Allah,
dalam aku melewati daerah kecintaan ini
Berikan aku hati putih
yang menjadikan aku melalui
denai perjalanan
berbekalkan kesabaran dan kebenaran
walau terlalu banyak kata tidak terkota
dan
indah tulisku seakan mahu menutup lompong kekurangan diri
semoga suatu hari
itulah yang aku lakukan.

Tiada nikmatmu yang dapat aku dustakan,
Ya Allah.

Pena ini akan terus berlari di dada kertas
dan jemari tetap diketik pada papan kekunci
selagi nyawa dipinjam.

aku tidak tahu tarikh matiku.

Ya Allah,
sebelum aku mati,
aku mahu meninggalkan 'tanda'
bernama penulisan yang menjadi bekal berterusan
setelah kuburku bertanda nisan.

~Jamilah Mohd Norddin
10 Julai 2012