Catatan Hati Durrah Nur Aqilah : [Catatan 1] : Warna Hidup
Penulis: Ila Husna
(baca pendahuluan di sini)
Hari Khamis.
Hari yang dinanti-nanti kerana esok tiada lagi kelas yang perlu aku hadiri. Aku tersenyum sendiri membaca mesej yang dihantar Lu'luah, sahabat sejak aku di sekolah menengah yang bakal bergelar pendidik. Mesej biasa yang sudah beribu-ribu orang sudah mendapatnya. Namun aku tetap terasa istimewa kerana ini datangnya daripada Lu'luah, temanku yang sangat istimewa.
"Kadang-kadang Allah beri kita hujan
Kita tanya mana matahari
Rupa-rupanya selepasnya Allah kurniakan kita pelangi
Kadang-kadang Allah beri kita malam yang pekat
Kita tanya mana bulan bersembunyi?
Rupa-rupanya Allah perlihatkan pada kita lihat bintang berkerdipan
Allah patahkan hati kita untuk selamatkan jiwa kita
Allah patahkan hati kita untuk kuatkan diri kita"
Aku tersenyum.
Hujan renyai-renyai tidak diendah. Lama tidak bermain bersama hujan. Jika zaman anak-anak, aku boleh sahaja menjejak hujan, bermain bersama hujan, sekarang masa tidak mengizinkan aku berbuat begitu.
Kaki melangkah menuju Mahallah Safiyyah yang hanya beberapa meter daripada kelas. Kaki melangkah sambil mata menyapu ciptaan Allah di sekeliling.
Awan yang basah.
Pohon yang tersenyum kerana dimandikan air langit.
Sungai UIA yang warna persis teh susu, mula membanyak airnya.
Mataku menangkap sesuatu yang indah saat mendongak seketika langit biru.
Tujuh jaluran warna.
"Pelangi... Subhanallah."
Cantik pelangi. Orang tua-tua marah marah jika mahu menunjuk pelangi dengan jari. Namun semuanya mitos. Aku mendongak lama. Pelangi itu membuahkan senyuman manis pada ulas bibir. Kamera yang tersedia dalam beg sandang diambil.
Snap!
Pelangi hari ini akan diabadikan dalam NIKON L21 milikku. Walaupun hanya sebuah kamera digital murah, namun kamera inilah yang berjasa kepadaku. Merakam memori sepanjang perjalananku bersama-sama teman dan keluarga.
Aku meneruskan langkah menuju Mahallah Safiyyah. Hari ini aku tersenyum lebar dan gembira melihat PELANGI. Pelangi yang tertera dalam mesej dan pelangi cnatik di kaki langit..
***
Selesai mandi aku memindahkan gambar yang ditangkap tadi ke dalam komputer ribaku. Sambil melihat semula gambar yang dirakam tadi, aku teringatkan Ibtisam. Sahabat baikku yang dikenali ketika di Taman Ilmu dan Budi. Dia gadis misteri yang suka berkongsi apa sahaja dengan aku kecuali masalah. Wajahnya sentiasa terukir senyum. Kadang, sukar dihentikan patah bicaranya. Ibtisam yang suka bercerita.
Pelangi.
Aku teringat bicaranya suatu ketika.
Kata Ibtisam, dia sukakan hidupnya walaupun hanya berwarna hitam putih. Namun kata aku, aku bersyukur kerana hidupku punya warna seindah pelangi. Ketika aku lanjutkan pertanyaan tentang hitam dan putih warna hidupnya, bingkas tajuk perbualan bertukar arah.
Merah
Jingga
Kuning
Hijau
Biru
Indigo
Ungu
Aku merasakan yang tentunya bosan jika hidup hanya diteman dua warna. Bayangkan sahaja jika menonton filem lama yang berwarna hitam putih berbanding kita menonton filem sekarang yang berwarna-warni. Tentu sahaja kepuasan itu lebih apabila kita menonton filem yang berwarna warni.
Apabila berjalan bukan hanya perlu kita tunduk ke bawah, namun mendongakkan kepala untuk mellihat warna yang ada di sekelilingmu. Berjalan memandang ke hadapan dengan keyakinan. Apabila diri berdiri dalam daerah paling selesa jangan sesekali kamu lupa untuk melihat mereka yang jauh lebih bawah daripada kita.
Bukankah dalam adab memberi salam juga telah dinyatakan bahawa sepatutnya yang berkereta memberi salam kepada yang bermotosikal, dan yang berbasikal beri salam kepada yang berjalan kaki... Lihat bagaimana cantiknya aturan..
Yang atas menghormati yang bawah.
Yang tua menyayangi yang kecil.
Yang muda menghormati yang tua.
Walau jika nanti hidupmu diselaput kelabu awan duka, jangan disesal pada sebuah takdir. Apa sahaja yang tiba, ada jua yang kamu rasa semuanya mengajar untuk kamu menjadi seorang manusia yang lebih baik.
Aku pasti Ibtisam, dalam senyum ceriamu saban hari, banyak kisah yang cuba kamu selindungkan. Kamu sangat baik membuatkan aku tidak akan berhenti tersenyum kala bersamamu. Aku tidak akan betah melihat jika sekali air matamu menitis.
Ibtisam, pancarkan lagi pelangi dalam jiwamu, bukan seperti katamu, hidup sudah indah jika ada hitam dan putih. Masih banyak warna yang perlu diteroka dan tersimpan dalam hatimu.
Kalau kamu pernah gagal bermakna kamu menambah satu warna dalam hidup. Apabila kamu berjaya, warna hidup kamu berubah lagi. Warna hidup bukannya hanya dua warna hitam dan putih.
Ibtisam, semoga kamu tabah.
Aku melihat kembali komputer riba yang masih menayangkan gambar pelangi siang tadi. Ibtisam, semoga seindah pelangi inilah hidupmu. Aku sayang kamu fillah.
Komputer riba aku tutup semula, menuju ke kamar Ibtisam di sebelah kamarku. Demi melihatnya yang enak berbaring di katil sambil membaca friends forever yang ditulis Ila Husna, senyum aku terukir bahagia.
...bersambung
Comments