Lagu dari laptop aku biarkan menemani aku petang ini. Detik kematian nyanyian In-Team selalu menjadi peneman aku sejak Asad dijemput Ilahi sepekan lalu. Pemergiannya bukan aku tangisi namun mengajak pula diri untuk lebih banyak menyoal jasad ini supaya melakukan persediaan menuju dunia baru.
Aku halakan pandangan ke luar jendela. Burung beterbangan dengan gaya tersendiri. Pepohon sebaris di laman melenggok lembut dihembus bayu. Semuanya ada cara sendiri bertasbih pada penciptanya. Melihat hari-hari semalam yang telah aku lalui dan membuat percaturan tentang apa yang seharusnya aku lakukan untuk menghadapi kematian. Rintik hujan yang bernyanyi seakan memahami perasaan aku tika ini. Aku reda dengan pemergian sahabat yang aku sayang. Pasrah aku bahawa hanya DIA yang menciptakan aku dan dia. Rahsia maut, jodoh dan rezeki adalah rahsia ALLAH yang kit atidak ketahui.
Kubur Asad masih merah, pokok puding yang aku pacak mula meluruhkan daun, mahu bertunas pucuk-pucuk baru. Sesunggunya aku tak ingin melihat dia sendu di alam sana melihat kesedihan aku.Teringat apa yang Ustazah Rasyidah katakan tempoh hari, sebelum kita lahir lagi, semua takdir buat kita sudah tercatat. Namun hanya kita yang tak diberitahu dan perlu banyakkan berdoa semoga terhindar daripada perkara-perkara tak baik.
Tanyakan pada sesiapa sahaja, tentu mahukan umur yang panjang. Tapi berapa banyak nyawa yang dijemput pulang walaupun baru berusia sehari. Meninggal dalam kandungan Ibu. Hakikatnya, usia kita sentiasa berkurang dari sehari ke sehari. Persediaan yang membezakan setiap jiwa yang pulang menghadap penciptanya.
Kembali kepada kisah kawanku, Asad. Ingin aku khabarkan kisah kematiannya sebagai peringatan buat diri. Jemari mencapai sebuah fail yang di meja kopi. Surat Asad. Aku baca satu persatu bersama deraian air mata dan hujan yang turut bersatu.Betapa dia bijak menyembunyi kesedihan dan kesengsaraan. Gambarnya aku renung sayu.
Assalamualaikum, sahabat Dunia Akhiratku.. Syuaib.
Maafkan saya kerana mencoret di dini. Terbuka hati ini setelah sekian lama kita berkenalan untuk saya luahkan perasaan saya yang sebenar. Mengapa saya makin menjauhkan diri... Mengapa saya suka bermenung... Dan sebab-sebab saya menyisihkan diri.
Ketahuilah Nur bahawa ujian itu sentiasa mendatangi setiap yang bernama hamba walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Tentulah saya tak terkecuali walaupun ujian ini hanya ujian kecil. Tidak sehebat ujian terhadap sahabat-sahabat kita yang lain. Mungkin Nur dapat mengagak apa yang saya akan tuliskan seterusnya... Kita akan diuji mengikut kadar kemampuan kita sebagai hamba. Saya amat sedar.
ALLAH mahu menguji saya dengan memberi saya satu penyakit yang setakat ini belum ditemui ubatnya. Biarlah hanya saya dan ALLAH yang tahu apakah penyakitnya. Namun, menurut doktor, harapan untuk saya hidup lebih lama terlalu tipis. Tapi saya tak peduli. Kematian bukannya di tangan doktor, tapi ALLAH yang tentukan. Saya teruskan hari-hari walaupun dalam kepayahan melawan sakit ini.
Kerana itu saya sakitkan hati semua orang. Saya jauhkan diri. Saya banyak termenung. Sebenarnya ia berlaku di luar kawalan saya. Saya hilang kekuatan untuk menahan diri daripada tidak marah. Maafkan saya, Nur.
Bukan niat saya untuk menipu Nur apabila saya katakan saya akan berpindah ke rumah baru. Sebenarnya saya terpaksa menghabiskan banyak masa di sini (HUKM) untuk meneruskan rawatan. Saya tak ingin melihat air mata kawan saya menitis di depan saya sendiri.
Apabila saya diuji dengan sakit ini, barulah saya dapat merasakan nikmat sihat. Ya, manusia sememangnya begitu. Menghargai sesuatu apabila ia hilang daripada hidup kita. Saya banyak melakukan muhasabah, solat taubat, menangis.. Bukan sedih, hanya teringat kelalaian diri. Doakan saya diterima Tuhan.
Esok adalah hari perjuangan bagi saya dalam menghadapi sakit ini. Saya akan disorong ke dewan bedah.. Entah mengapa, saya langsung tak terasa sedih seperti ketika mula-mula saya diberitahu saya menghidap penyakit ini setahun yang lalu. Saya terasa Tuhan terlalu dekat dengan saya. Amat hampir. Saya ingin cepat menemui Tuhan. Saya sertakan bait disini daripada lagu Detik kematian nyanyian In-Team yang menjadi halwa telinga sebelum saya lelapkan mata..
“sakit dirasa tidak terkata
tika dipisahkan jiwa dari jasadnya
hanya amalan bisa redakan
bebanan derita di ambang kematian”
Saya tak dapat bayangkan bagaimana nyawa saya akan tercabut. Sedangkan rasul yang maksum itu ingin menanggung kematian umatnya, inikan saya manusia kerdil dan biasa. Cuma biarlah kematian saya tidak ditangisi mereka yang menyayangi saya.
Nur, doakan saya selamat dan kita dapat bertemu lagi.. Jika Nur sayangkan saya, usah tangisi kematian saya, Cuma doakan saya bahagia di dunia baru. Saya mengantuk, doakan saya selamat menjalani pembedahan. Assalamualaikum. Sayang, Nur.
Sahabatmu,
LuKLUAH
Lukluah akhirnya pergi bersama sakit yang ditanggung. Sampai sekarang ianya menjadi rahsia. Ingin dikorek daripada Ibunya, beliau masih bersedih. Akhirnya aku biarkan ianya rahsia. Cuma aku sentiasa doakan kebahagiannya, tenang di alam baru yang setiap jiwa akan turut ke sana.
Jarang aku memuhasabah diri, bertanya tentang kematian yang menjenguk aku saban hari. Tapi setelah kematian Lukluah, aku cuba mengislah diri. Sesungguhnya kematian tak mengira masa, tapi bersediakah aku untuk menghadapinya dengan diri yang masih bergelumang dosa? Setiap insan itu melakukan dosa, tapi sebaik-baik orang yang melakukan dosa itu adalah yang cepat bertaubat.
Longlai kaki ketika menerima panggilan kematiannya. Seawal 4 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak aku kenali. Rupa-rupanya itulah Ibu Lukluah. Memberitakan kematian Lukluah dengan suara yang sangat tenang. Katanya biarlah Lukluah djiemput Ilahi, tak sanggup melihat dia menahan sakit.Aku terkedu.
Tertulis kematian pada suratan kehidupan
Namun hanya allah yang tahu
Bilakah ajal bakal bertamu
Detik yang menghampiri
Tanpa petanda yang menanti
Bila tiba saatnya nanti
Tak siapa dapat melarikan diri
Itu hakikat dan kepastian
hadirnya tidak pernah kita alunkan
tua dan muda
miskin dan kaya
semua insan pasti melaluinya
Menitis juga air mataku sambil jemari mencoret di sini. Mendengar pula lagu detik kematian yang mengingatkan lagi aku pada arwah. Semoga beliau tenang di alam baru. Ameen... Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia atau darjat. Hanya kita diminta bersedia.
Comments