"...Lalu apa ibadahnya dalam menulis? Ibadahnya adalah meniatkannya kerana Allah. Meniatkan kita menghalang kerosakan dan menyebarkan kebenaran. Itulah jalan Dakwah dan itulah ibadah." -Johari Salim: (m/s 338, Penulis yang disayang Tuhan, Bahruddin Bekri, PTS Publications)
Pernah kamu impikan sebuah buku teks yang ditulis dalam bentuk novel. Aku pernah impikan terjadi begitu ketika zaman sekolah dahulu hinggalah saat melihat tulisan berbentuk fakta dalam buku teks kursus yang aku ikuti. Tulisan panjang yang menyebabkan aku rasa mengantuk baca dan cepat mahu berhenti. Tidak seperti novel yang kita akan terasa mahu terus dan terus membacanya.
Namun novel yang dikarang oleh Bahruddin Bekri ini bukan hanya mahu menceritakan tentang kisah percintaan seperti yang banyak kita boleh beli novel dalam pasaran. Asal namanya novel ada watak lelaki perempuan yang akhirnya bercinta dan mungkin akhirnya berpisah atau berkahwin dan ada yang beranak pinak.
Tidak.
Lihat sahaja tajuknya. PENULIS YANG DISAYANG TUHAN.
Ia tentang seseorang yang bernama Usamah, penulis yang sudah menghasilkan tiga buah buku. Buku pertamanya laku keras dan jualannya kencang namun hal sebaliknya berlaku pada buku kedua dan ketiga apabila novel tersebut dikritik oleh seorang pengkritik bernama Abu Penapi yang akhirnya nanti kita tahu beliau nama asalnya Johari Salim, penulis yang bertanggungjawab memberi tugasan kepada Usamah untuk melalui satu proses yang membuatnya kembali mahu menulis.
Cukup hanya itu ulasan aku tentang sinopsis. Bukan aku mahu mengulas tentang buku ini, sekadar berkongsi pengalaman aku membaca Penulis Yang Disayang Tuhan ini. Ia ada cerita dalam cerita. Tidak perlu baca daripada muka satu hingga akhir, malah boleh sahaja mahu mulakan daripada belakang, tengah, mengikut citarasa sendiri.
Ia seakan-akan buku panduan penulisan yang ditulis secara santai oleh Tuan Bahruddin Bekri hingga tidak menimbulkan rasa bosan di hati pembaca. Hanya mungkin ada kesilapan nama watak yang kita akan sedar, dan ada beberapa ayat yang tidak lengkap dalam novel ini. (mungkin tersalah taip dan terlepas pandang)
Apa sekalipun ia buku yang sangat bagus dan aku sebenarnya menganjurkan kalian membaca buku yang dikarang Tuan Behruddin Bekri walaupun mungkin ada mendapati ayatnya sedikit pelik dan susunan ayatnya seakan hanya ayat santai namun maknanya kaya... Kaya dengan pengajaran jika tidak sekadar membaca untuk hiburan semata.
Bacalah, kamu tahu apa isinya..
Sesungguhnya menulis boleh bawa ke syurga namun awas, ia boleh menyebabkan kamu masuk neraka.
Ingatlah bahawa keaiban kita ditutup selagi kita menutup keaiban orang lain.
Terima kasih buat Ibu kepada sahabart saya, ainul Salasiah dengan pembayaran buku ini ketika di Chowrasta tempohari...
Sekian, buat seketika.
(tarikh dibaca: 29 Julai 2011-1 Ogos 2011)
Comments