Alkisahnya cik Nyet di D4.4

~Bukan gambar di tempat kejadian~
Hari ini cuaca terang. Malah lebih terang daripada hari-hari biasa. Aku sudah pulang daripada Teratak Gumbira dan kembali ke Teratak Damai. Petang ini Imtihan nihaie Lisaniyyat sebagaimana yang dijadualkan. Sampai sahaja, terus jendela aku buka seluas-luasnya dan langsir diselak selebar mungkin. Ini tabiat apabila aku ketika berada di bilik bagi memastikan udara bersih masuk ke dalam bilik aku.

Semuanya seperti biasa. Membancuh susu sejag untuk diminum dan melihat baki susu yang tinggal dalam botol. Sasaran aku adalah untuk menghabiskannya sebelum bercuti selama dua bulan. Lalu, susu berbaki aku pindahkan ke dalam bekas lain.

Alkisahnya, tengahari aku menyeterika baju sebanyak dua helai untuk dipakai petang ke dewan peperiksaan dan kemudiannya mahu berehat lagi di bawah meja. Kononnya melepaskan lelah sambil tangan enak menconteng buku catatan.

Ternampak seakan benda blat bergerak-gerak. Hati berdetik : “Apakah?” Dalam fikiran sudah ternampak bermacam bayangan akibat pengaruh televisyen yang pernah ditonton sebelum ini. Haha.

Terdengar pula bunyi pelik. Kucingkah? Dari mana datangnya? Aku bersuara sendiri.

Lalu, aku mengeluarkan kepala daripada bawah meja.

Allah! Cik Nyet rupanya.

Datang cik Nyet menghulurkan salam perkenalan melalui tingkap bilik aku yang terbuka luas. Sempat pula cik Nyet menjamu diri sendiri dengan susu tepung yang terbiar di atas meja.

Bagaimana mahu menghalau?

Aku capai bantal bulat cop Upin Upin kononnya sebagai senjata. Bukannya mahu lari, makin enak cik Nyet makan susu tepung lalu dibaling tupperware yang kosong ke bawah. Habis tingkap dikotori susu tepung.

Semuanya belum berakhir. Setia cik Nyet di tingkap bilik. Berjaya aku menutup sebelah tingkap yang terbuka. Takut juga jika cik Nyet tiba-tiba menyerang tanpa sedar. Petang ini imtihan.

“Monyet! Ada monyet!” Teman sekamar aku menjerit. Lalu barulah mereka sedar akan kehadiran seekor monyet dalam bilik aku. Mahu diharapkan aku menjerit tentunya tidak.

Bukannya mahu lari, kami yang melarikan diri. Lalu cik Nyet menziarahi satu demi satu bilik. Dimakan kacang, roti canai, ayam yang ada di atas meja. Mujur tidak diganggu barang-barang berharga: Laptop, telefon genggam, dan cermin mata aku. Risau jika cermin itu dipecahkan...

Semua berkumpul di 4.3 yang tidak pernah diziarahi. Akhirnya lima orang warga 4.4 ke 4.3, penangan seekor monyet yang bertandang.

Akhirnya teman sebelah bilik yang menelefon sekuriti meminta pertolongan. Mak Gad datang, lalu meminta sesuatu untuk disembur.

Baygon.

Entah bagaimana dibuat mak Gad, kami semua bersembunyi dalam bilik.

“Dah, monyet tu dah lari.” Lalu, kami melawat tempa kejadian (bilik aku)...

Ada bau monyet. Baju aku sudah berbau monyet. Bilik berbau monyet. Beg sudah kotor. Tiang katil ada tapak kaki monyet. Tingkap dicemari susu. Entah bagaimana jadinya. Petang ini hujan. Semoga ia mencuci dan bukannya makin merosakkan.

Tok. Tok. Tok.

Terdengar bunyi ketukan di pintu.

“Siapa?” Ahli bilik menyoal. Kata mereka takut monyet ketuk. Ish..

Ada ahli 4.1 datang memberitahu ada monyet dalam bilik mereka. Entah lapar bagaimanakah monyet itu hari ini melawat bilik-bilik di tingkat empat...

Berkenalan mungkin. Teringat apa yang aku komen di facebook Inta. “Cik Nyet tu datang nak berkenalan dengan Intan” Hari ini giliran cik Nyet berkenalan dengan aku.

Salam perkenalan, cik Nyet. 

Teratak Gumbira /23.6.2011/10.40

Comments

Popular posts from this blog

Aku, Dia, Beliau dan Soalan-soalan

Jom Belajar Nusus

Cerpen: Kembali Bertaut