Bismillah...
Saya sayang cikgu. Saya sayang semua cikgu yang pernah dan sedang mengajar. Mereka adalah insan-insan yang banayk berkorban untuk saya sehingga saya menjadi hari ini. Semua cikgu saya baik dan tidak pernah berbuat tidak baik kepada saya. Semua cikgu baik dan tiada cikgu yang tidak baik. Cikgu mendenda kerana kita salah. Cikgu rotan kerana kita nakal. Cikgu menegur kerana mahu kita jadi pandai.
MAK.
Selama lebih lapan tahun saya menjadi anak murid Mak. Mak mengajara saya solat, mengajak saya ke masjid, didik saya jadi anak yang baik. Mak insan paling berjasa dalam hidup saya. Semoga Allah tempatkan Mak bersama dengan kalangan para solehah...
"Mak, terima kasih ajarkan adik jadi seorang anak.. Nasihat mak akan adik simpan. Walaupun adik pernah sampai tidak ingat wajah mak, namun adik tidak akan lupa berdoa untuk mak. Semoga mak aman di dunia sana... Adik sayang mak."
CIKGU TADIKA
Cikgu Sarimah. Di sini aku belajar tulis dan baca. Menjadi anak nakal yang sedang meningkat naik tentu ada kisah. Pernah sekali ada kawan saya diletakkan dalam stor kerana nakal, sempat lagi dia makan kismis yang ada dalam stor kerana itu stor makanan... Ini cikgu ketika saya selepas mak dan keluarga,
CIKGU SEKOLAH RENDAH
Aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Mahang. Memang aku pendiam ketika di sekolah. Dalam aku menikmati hari-hari, saban tahun, aku ada seorang guru kesayangan. Setiap hari balik sekolah aku akan bercerita tentang mereka.
TAHUN 1: Cikgu Siti Rahah
TAHUN 2:Cikgu Siti Rahah
TAHUN 3: Ustazah Norhani Ramli
TAHUN 4: Cikgu Mohd Noor Awang Kechik
TAHUN 5:Cikgu Bashri
TAHUN 6: Cikgu Bashri.
Ya, setiap guru saya sayangi, namun mereka banyak kenangan dengan aku. Pernah dijemur di tengah panas untuk belajar matematik, dirotan dan dicubit.. Semuanya kenangan terindah sebagai seorang pelajar. Kerana cikgu mendidik, dengan izin Allah, saya di sini. ALhamdulillah.
CIKGU SEKOLAH MENENGAH
Bilangan cikgu makin bertambah. Maka, bilangan cikgu kesayangan makin bertambah. Namun ada dua orang cikgu yang saya sentiasa ingat. ustaz Fuad Ahmad dan Cikgu Mat Zaini Abdullah. Mereka saya rasakan dekat dengan hati dan saya simpan nama mereka dalam hati. Entahlah, mereka ada aura yang menjadikan saya sentiasa rindukan kata-kata mereka.
PUSAT ASASI UIAM
Di sini, hanya satu semester bertemu dengan pensyarah yang bertukar semester demi semester. Aku paling terkesan dengan kata-kata Ustaz Azlan ketika malam perpisahan semester pendek kami.
Terima kasih untuk semua pensyarah yang mengajar saya.
UIAM GOMBAK
Dua sem saya di sini, bermacam-macam pensyarah yang mengajar saya. yang penting mereka ada cara tersendiri yang membuatkan kita terkesan. Setiap cikgu dan pensyarah punya keistimewaannya.
PENUTUP.
Jasa cikgu tidak mampu saya bayar kerana terlalu mahal. Mereka hanya mengharapkan kejayaan anak murid mereka bukan kegagalan. Tiada guru mahukan anak murid mereka gagal dalam apa jua yang mereka lakukan.
Entri ini sempena Hari Guru pada 16 Mei. Aku tidak mahu menunggu hari itu kerana kita boleh sahaja meraikannya pada bila-bila masa.
SAJAK UNTUK CIKGU OLEH UTHMAN AWANG.. HAYATI SETIAP BARISNYA...
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Titik.
Comments