Aku mula berjinak-jinak dengan penulisan fiksyen sejak di sekolah menengah. Mungkin disebabkan aku suka membaca buku-buku kakak yang ada di rumah, maka aku menyimpan hasrat untuk menulis. Maka, aku cuba menghasilkan sajak dan cerpen eceran yang dihantar ke majalah tempatan seperti Dewan Siswa dan Fokus SPM yang sesuai dibaca pelajar sekolah menengah.
Ketika itu aku belum pernah menyertai mana-mana bengkel penulisan yang ada. Sekadar bergantung kepada pengalaman membaca novel orang lain, kemudian menulisnya kembali mengikut cara sendiri. Aku terus kepada praktikal bukan teori.
Tetapi, sekarang setelah aku menyertai beberapa siri bengkel penulisan, terasa aura menulis makin menurun. Benar, sesiapa sahaja boleh mencipta alasan. Alasan untuk tidak menulis. Apakan tidak, ramai yang boleh menulis dengan baik kerana usahaa yang berterusan dan tidak mengenal penat.
Baiklah, aku sekadar mahu berkongsi beberapa bengkel penulisan yang pernha disertai. Mungkin selepas ini kalian juga boleh mengikut jejak ini dan mendapat aura menulis bukan seperti aku yang makin menyertai bengkel makin menurun semangat. Apa yang penting KEMAHUAN dan TULIS.
1.PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA 2005
Pengalaman pertama menyertai bengkel penulisan. Di sini aku mendapat pendedahan secara formal tentang dunia penulisan dan dunia penerbitan. Berpeluang bertemu Puan Nisah Haron, A.Samad Said, Puan Mahaya Yasin dan beberapa orang lagi penulis adalah satu pengalaman berharga. Bertemu dengan pelajar-pelajar seluruh Malaysia yang menyertai perkampungan ini membuahkan satu pengalaman baru. Manakan tidak, sebuah negeri hanya 6 orang peserta terpilih.
Masih aku ingat kami menempuh perjalanan dari Kedah ke Negeri Sembilan menaiki van yang memuatkan enam orang pelajar dua orang guru. Bersama-sama menempuh pengalaman demi pengalaman bersama-sama dengan mereka yang belum pernah dikenali.
Untuk pengetahuan, bengkel ini diadakan secara konsisten oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar terpilih tentang dunia penulisan. Di sana, kami perlu membuat perjanjian dengan KPM untuk menulis.. Namun, adakah janji itu dipenuhi atau pesertanya sekadar menggunakan masa untuk berkenalan sesama sendiri dan tidak menulis setelah menyertai perkampungan ini?
2.MINGGU PENULIS REMAJA 2007
Sudah beberapa kali aku menulis tentang bengkel ini. Seminggu berkampung di DBP untuk berguru dengan Faisal Tehrani, Kak Nisah Haron, Salina Ibrahim, Saifullizan Yahaya, Zaen Kasturi dan lain-lain adalah pengalaman terindah.
Walaupun ada pahitnya, ia tetap satu memoir yang tidak akan lenyap daripada mandala ingatan. Mendapat kritikan daripada saudara FT dalam genre cerpen sedikit sebanyak mengubah gaya penulisan aku selepas itu. Memang kami lebih banyak didedahkan dengan teori, namun perkongsian para guru MPR banyak membantu untuk melancarkan penulisan.
MPR diadakan secara konsisten oleh DBP bertujuan melatih pelapis dalam dunia penulisan. SUdah ramai graduannya yang menyerlah dalam banyak genre penulisan. Apa yang penting sesudah bengkel perlu MENULIS dan MUNCUL DI MAJALAH atau TERBITKAN BUKU.
3.BENGKEL PENULISAN BERSAMA FATIMAH SYARHA
Beliau penulis yang terkenal dengan karya Tautan Hati yang sarat dengan unsur tarbiah. Mendengar merdu suaranya memberi penerangan,seperti seorang kakak sedang memberi nasihat kepada adik.
Kami ditekankan dengan niat untuk menulis dan menulis sesuatu yang syarak. Jadikan penulis sebagai saham menuju ke SANA.
Bengkel ini anjuran MAARUF CLUB IIUM . Semoga ia diteruskan denga menjemput penulis lain pula.
BENGKEL PENULISAN BERSAMA RIDUAN MOHAMAD NOOR
Beliau banyak menghasilkan buku-buku yang banyak memberi faedah dengan harga yang berpatutan. Pada tahun lalu, beliau mendapat peluang ke GAZA pada tahun lepas dan menceritakan pengalamannya kepada kami ketika bengkel itu. Beliau banyak memberikan cara menulis yang betul.
Menulislah!
4.BENGKEL PENULIS BEST SELLER ANJURAN PTS PUBLICATION
Aku membayar RM150 untuk bengkel ini yang diadakan sempena CONVEST 2009. Di sini kami didedahkan dengan rahsia-rahsia untuk menjadi penulis best seller.
Pengisian selama satu hari memberi banyak ilmu baru untuk dunia penulisan aku. Malangnya, tidak satu buku terhasil dengan bengkel yang MAHAL ini. Aku belum memancing walaupun sudah diberi kail.
5.BENGKEL BERSAMA ZABRINA A.BAKAR
Aktiviti Sabtu ini. Aku tidak tahu apa yang mahu beliau kongsikan namun aku mahu hadiri kerana aku dahagakan minuman dalam bengkel yang dapat mengenyangkan perut penulisan aku.
Untuk menulis, kita juga perlukan pengisian. Mungkin ada orang yang menulis dengan baik tanpa menyertai bengkel penulisan, namun ada sebahagiannya pula perlu menyertai bengkel untuk mendapat pendedahan. Walaupun nampak biasa, bengkel penulisan banyak membantu. Boleh berkenalan dengan rakan seangkatan dan mendapat suntikan semangat.
Jika kamu mendengar teman kamu sudah menghasilkan buku, tentu kamu juga akan teruja. Benar bukan?
Doaku semoga ilmu yang aku dapat dalam beberapa siri bengkel ini bukan hanya disimpan dalam kertas. Bilakah lagi mahu menulis???
Comments
saya pun minat.
masa sekolah selalu juga ikut bengkel penulisan.
*Sekali menulis, selamanya menulis- cogan kata Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kalau ada bengkel yang best, sudi-sudilah kongsi dengan saya. :)
Jom terjah FIFA Piala Dunia.
Alhamdulillah, suka jumpa rakan sekepala...
*betul. Sekali menulis selamanya menulis.. Insya Allah, akan diberitahu..
saya juga sukakan karya Faisal Tehrani :)
apa kata mulakan karya secara online.
mungkin dari situ, minat dan kritikan pembaca boleh dijadikan pemangkin untuk terus bekarya
~selamat berjaya
cadangan yang sangat baik. Terima kasih... Kritikanlah yang sebenarnya banyak mengajar untuk menjadi penulis yang lebih baik.. Terima kasih atas saranan kamu.
=semoga kita sama-sama berjaya. :)
Alhamdulillah!
Dapat banyak input, cuma outputnya banyak tak keluar.. huhu...