Skip to main content

Psst ... Jom kongsi tentang penulisan bersama Ila Husna. (Contengan 1)

Menulis? Mudah sahaja mahu menulis. Ambil pena, contengkan pada kertas. Buka laptop, tekan papan kekunci. Sekarang lebih mudah. Dengan telefon canggih amat, semuanya jadi lebih mudah. (benarkah lebih mudah? Lebih canggih alat, lebih banyak kos penyelenggaraan.) Kalian boleh menaip di mana-mana sahaja, melontarkan idea yang hadir hanya sekali itu. Petua penulis yang sempat Ila dengar, pastikan dalam poket ada buku catatan. Sekarang, pastikan dalam poket ada tablet supaya senang dicurah idea yang datang. Idea hadirnya hanya SEKALI dan jarang berulang. Tidak kira masa dan tempat hadirnya. Ilham itu milik Allah dan dipinjamkan pada kita untuk dikongsi.

Ila masih ingat dalam siri-siri bengkel yang pernah Ila sertai, pelbagai teori, bermacam cara yang dikongsi pada penceramah perihal kaedah penulisan. Akhirnya, Ila simpankan ia dalam buku catatan. Ila seorang yang percaya, walau ratusan teori dimasukkan dalam kepala, akhirnya setiap orang ada “uslub” atau “gaya penulisan” sendiri.

Gaya Dr Faisal Tehrani tidak sama seperti Isa Kamari. Gaya Kak Ummu Hani bukan seperti kak Nisah Haron. Gaya Ila Husna tidak dapat disamakan dengan orang lain. Banyak faktor yang akan mempengaruhi gaya penulisan seseorang terutamanya bahan bacaan, latar belakang, pendidikan, keluarga, faktor dalaman penulis itu sendiri dan FIKRAH.

Kata-kata yang biasa kita dengar, “anda apa yang anda baca!” Ila sangat setuju dengan kenyataan ini.

Biar Ila kongsikan sedikit pengalaman Ila menulis. Semoga dengan bercerita jadi inspirasi untuk Ila sendiri kembali mengorak langkah memberanikan diri menembusi media. (tulis sahaja tanpa hantar apalah maknanya.)

Cerpen pertama Ila tersiar di majalah Dewan Siswa pada Mac 2005, ketika Ila tingkatan Empat. Ila menulis cerpen itu menggunakan komputer (PC) yang ada di rumah. Ila melihat nama orang lain banyak tersiar di majalah, dan Ila ingin mencuba. Ketika itu, Ila masih seorang yang berani menonjolkan tulisan sendiri.

Benarlah kata Puan Nisah Haron, penulis mesti ada KEBERANIAN!

Ketika itu Ila suka membeli FOKUS SPM, Dewan Siswa, kadang Dewan Masyarakat, Tunas Cipta dan majalah yang dibeli kakak seperti ANIS, IBU, IBUBAPA . Membaca karya orang lain, menimbul satu soalan dalam diri, “mengapa orang lain boleh, aku tidak cuba?”

Ila hantar cerpen dengan tajuk Akhirnya ... Panjang cerpen itu dan boleh dibaca di sini. Editor sudah mengedit hingga memuatkan bahagian yang penting untuk dimuatkan dalam ruangan sebanyak satu setengah muka dalam Dewan Siswa. Cerpen pertama bertajuk “Vila Igauan” tersiar di majalah. Dengan cerpen inilah Ila mendapat tawaran ke MPR 2005 namun terpaksa ditolak kerana faktor jarak dan masa. Ila masih bersekolah di Baling dan MPR diadakan di Port Dickson. Memang ada rasa terkilan, namun Allah lebih tahu yang terbaik buat Ila. (hm, nanti Ila kongsikan lagi pengalaman diri.) Ila ke MPR pada 2007. Apakah MPR? MPR singkatan untuk Minggu Penulis Remaja yang menjadi medan membuka ruang penulisan. Degan harga berbaloi, banyak ilmu dapat ditimba daripada penulis mapan.

Ramai orang mahu menulis, namun tidak ramai yang BERANI menyiarkan karya mereka. Ada yang menyimpan sendiri, ada yang hanya menulis untuk dibaca teman terdekat ada yang tulis, padam. Tulis, simpan.

Akhir kalam, selamat menulis dan memasarkan karya yang ditulis supaya sampai kepada khalyak yang lebih luas. Genre apa, uslub bagaimana, asal dalam diri terjawab soalan, “Allah suka atau tidak dengan apa yang aku tulis.”

Bertemu lagi dalam coret-coret dunia tulis bersama Ila Husna. 


SELAMAT BERKARYA.

Ila Husna.
IIUM

Comments

Tetamu Istimewa said…
Suatu perkongsian yang menarik. Paling penting berani mencuba.

Untung kepada yang pernah menyertai MPR dan bengkel-bengkel penulisan yang lain. Tidak seperti saya yang tidak terdedah kepada situasi begitu.

Tetapi rugi kepada sesiapa yang tidak menggunakan ilmu itu untuk menulis dan berkongsi dengan orang lain.
Tetamu Istimewa,

paling penting kamu mengaplikasi ilmu penulisan dengan tulisan. :) Bukan teorinya yang penting, tapi hasilnya ... (berkata untuk diri sendiri.)

Tetamu Istimewa said…
Semasa belajar dulu, saya tidak pernah terfikir untuk terjun ke bidang penulisan sehingga sedalam ini. Masakan tidak, apabila pensyarah memberi tugasan untuk menghasilkan puisi, cerpen, novelet semuanya mengeluh. Hingga saya katakan begitu susah untuk saya membaca karya-karya hebat. Membosankan. Tetapi tidak kini.
Umairah. said…
subhanallah

terima kasih jamilah, utk perkongsian bermanfaat nie! :)
Gembiralah pensyarah yang pernah mengajar kamu dahulu. Anak muridnya sudah mengaplikasi apa yang dipelajari.

Kini, tentu sentiasa 'dahagakan' buku-buku terbaik buat tatapan.

Semoga terus maju dan tekal menulis. Tulisan kita harta.
Umairah,

cuba nak berikan semangat untuk diri sendiri. Kerja bertangguh makin hampir tarikhnya.

Doakan saya, Umy. :)
Salam ziarah berutus senyuman.

Tahniah Ila Husna.
Permulaan yang baik dalam bidang Penulisan. Teruskan ya. Ina mahu sentiasa baca karya akak.

Siapa sangka kenal melalui nama dan karya dalam Dewan Siswa, MPR menemukan sebaris nama itu dan alam maya menjadi tali penyatu ukhwah ini. Alhamdulillah.

Terima kasih atas segala-galanya. Jangan pernah serik bekerjasama dengan Ina ya. :)

Semoga Allah memberkati usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan.
Jamal Ali said…
Rasa cemburu pula dengan warga-warga MPR - yang belajarnya bukan dengan calang-calang gurunya.

Tampaknya rezeki saya tidak ke situ, mulanya agak lewat. Tiada siapa yang mengajar dan menunjuk. Bila masuk ke dunia 'belajar tinggi' ini baru luas nampaknya.
Salam seindah suria memancar. :)

Amin. Semoga pertemuan kita kekal dalam redha-Nya. :)

Ina juga jangan serik dengan cik Ila Husna ini .. :)

Amin.. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat Ina jua.
Jamal Ali,

buka soal dengan siapa dia berguru, bagaimana mulanya, yang penting tulisannya. Saya yakin kamu masih punya peluang lebih cerah di masa hadapan. :) Kamu ada uslub tersendiri dalam penyampaian.

~terus berkarya.

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub