24 May 2010

Yang Pertama itu Niat

Bismillah, doaku semoga hari-hari kita yang dilalui ada ilmu baru yang dipelajari..

Diari bersidang hari ini dengan tema hadith, jadi aku mahu nukil dan kongsikan di sini sebuah hadith yang kita sama-sama maklum dan ramai sudah yang mengetahui lafaznya… Hadith pertama dalam hadith 40 karangan Imam Nawawi… hadith berkaitan dengan niat...
Menyebut tentang niat, kita tentu ingat kata-kata motivasi, anda adalah apa yang anda fikirkan! Baik dan positif pemikiran kita, baiklah natijahnya, namun jika hanya negatif, keputusannya juga begitu. Setiap amalan yang disertakan niat kerana ALLAH akan mendapat pahala manakala dalam solat dan amalan-amalan teras agama yang lain, jika terlupa niat, maknanya sia-sialah amalan itu.

((عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر ابن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كان هجرته إلى الله و رسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه))

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana ALLAH dan Rasul-NYA, maka hijrahnya itu adalah bagi ALLAH dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kerana apa yang dia niatkan.”

Apakah sebabnya wurud –atau dilafazkan- hadith ini? Ada kisah seorang sahabat yang ingin berhijrah, tapi adalah kerana seorang perempuan yang mahu dinikahinya mensyaratkan beliau berhijrah untuk berkahwin dengannya... Imam at-Tabrani teelah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabiir dengan rantaian perawinya yang thiqah, daripada Ibnu Mas’ud r.a beliau berkata: “Terdapat kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai penghijrah Ummu Qais.

Lihat, sejak zaman nabi, baginda amat menitik beratkan tentang niat. Niat adalah tunjang segala amalan dan penentu sama ada amalan kita diterima atau tidak. Maka, kita selaku umat yang sayangkan nabi –Allahumma salli ala muhammad- haruslah dan mesti mengamalkan sunnah ini. Mulakan setiap amalan dengan niat lillahi taala. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya.

Ada pula yang bertanya, jika mahu buat maksiat bagaimana. Aku nak kawan dengan lelaki tu kerana ALLAH... Itu salah menggunakan niat namanya. Ingatlah jika itu yang terbit dari hari, hanyalah gangguan syaitan yang mahu menyesatkan!

Semoga hari kita lebih ceria dan diberkati apabila amalan kita bermula dengan niat kerana ALLAH.

Wallahu’alam.

No comments: