Beli mudah, mahu baca? |
Ada duit dalam poket, senang sahaja tangan mencapai buku.
Mungkin ia 'kerja tidak masuk akal' yang saya lakukan semester ini.
kisah pertama, RMC IIUM
"Andalus? Kamu belajar tentang andalus?" lelaki itu yang juga banyak membeli buku di Research Management Center IIUM mengunjuk satu judul yang saya beli. Kami sama-sama di kaunter pembayaran. Dia melihat-lihat judul buku yang saya beli.
"Alamak, apa nak jawab?" Tergaru kepala saya seketika.
Saya hanya menggeleng akhirnya. "Semua ini buku untuk diri sendiri." Hanya itu yang saya mampu jawab. Terasa kontangnya perbendaharaan kata bahasa Arab dalam kotak akal. Rasa saya mungkin beliau seorang pelajar kedoktoran atau paling tidak sarjana melihat buku yang beliau beli dalam topik yang sama. Syair andalus.
Akhirnya, beliau diam. Saya juga tidak dapat berkata-kata. Kata bahasa Arab terlalu terbatas. Benarlah bahasa itu berguna apabila digunakan! Ah, apa jua ilmu begitu.
Kisah kedua, Darul Kutub.
Di IIUM Gombak, Darul Kutub merupakan kedai yang menjual buku teks berbahasa Inggeris, alat tulis dan buku-buku umum lain. Terjebak saya ke sana apabila kelas pensyarah belum menampakkan diri sedang jam sudah menginjak angka sembilan.
Lebih setengah jam saya di situ. Banyak buku menarik hati. Saya tarik satu persatu setelah membeleknya.
Di kaunter, gadis manis menjaga kaunter bertanya,
"semua ini untuk diri sendiri atau hadiah?"
"untuk diri sendiri. Saya suka beli, baca belum tentu." Jawapan pesimis.
"Selalunya berapa lama boleh habis. Sebulan. Setahun?"
"Tak tahu. Beli dahulu, baca kemudian." Saya menjawab ringkas.
Teringat pula di rumah juga banyak buku bukan fiksyen yang belum habis disentuh. Novel atau antologi, insya Allah terbaca juga... Apabila ia adalah artikel-artikel... Saya lekas menyudahkan apabila ia ditulis dengan laras bahasa yang membuatkan saya terhenti dan tidak sabar menyudahkan.
Perbualan itu mengingatkan saya, beli senang, baca? Itu tanggungjawab kamu pada buku yang telah kamu beli. Aplikasi dalam hidup juga satu soal!
Kisah ketiga, Galeri Ilmu kota Damansara.
kata Encik Amir, editor perolehan novel Galeri Ilmu, "salah satu petua adalah membaca buku yang diterbitkan syarikat sasar. Jika kita mahu menulis dengan syarikat PTS, baca buku PTS. Mahu menulis dengan Galeri Ilmu, baca dahulu bukunya. Supaya kita tahu gaya bahasa, penceritaan dan perkara berkaitan tentang syarikat itu." (ini edisi edit sendiri, sudah lupa ayat sebenarnya)
Akhirnya, saya capai novel awal remaja dan remaja tarbiah di tingkat satu Astana Karya. Jika ada bertanya saya jawab, ini untuk anak saudara baca. Memang anak saudara yang berusia sepuluh tahun itu baca, tetapi hanya meminjam untuk baca, bukunya akan dipulangkan untuk saya simpan.
Suatu hari, saya hulur buku VT yang ditulis Hilal Asyraf kepada Aqilah, anak saudara sulung saya. Dia lihat ketebalan buku,
"baca semua ini? Teballah, Acu."
Kanak-kanak. Mereka suka sesuatu yang mereka mudah hadam.
Suatu ketika saya hulur dua buah buku himpunan kisah yang diterbitkan Galeri Ilmu. Setelah dua hari, dia sudah pulangkan.
"Acu, sudah habis baca"
Saya berikan pula buku lain.
"Acu, buku belum sempat habis. Sibuk. Kelas, tuisyen ..."
Semalam, saya menyoal lagi.
"Acu, belum sempat habis. Sekolah."
Tidak mengapa. Asal dia mahu membaca.
Biar dia didedah dengan bacaan yang baik. Saya dahulu ada juga curi-curi baca buku cintan-lentok yang disimpan kemas dalam kotak. Ketika bersendirian, saya buku kotak dan ambil baca. Besar kesannya. Saya tulis cerpen cinta dan tulis sebuah manuskrip bertulisan tangan yang berkisar kisah orang lepas kahwin ketika tingkatan empat. Tidak bagus kesan membaca novel cinta. Orang dewasa lain, ini anak yang sedang meningkat remaja. Semua itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang.
Karya teman penulis di Galeri Ilmu. |
Apa kamu baca membentuk kamu dalam sedar dan tidak sedar. Baca bukan hanya buku. Baca manusia, baca suasana, baca segala-galanya..
"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.
Comments
Kata pensyarah saya, masa membeli itu jangan fikir bilakah masanya untuk kita menelaahnya. Apa yang penting buku itu sudah di tangan kita. Jika terlepas nak tidur malam pun tak lena.
Ada masa boleh baca.
terima kasih atas pesanannya.. Terlepas beli, memang menyesal.