Skip to main content

Cerpen: Jemput makan, kawan!

Izham melihat jam yang tertera pada telefon genggam tidak canggihnya. 04:13 p.m. Perut mula berkeroncong memandangkan belum ada makanan yang menjadi hidangan jasadnya hari ini. Dipandang sekeliling , melihat pelajar UIAM yang rajin bertandang ke Maktabah Dar-Hikmah walaupun pada hari Ahad.

Dia mendatangi maktabah bukan untuk mengulangkaji. Entah masalah apakah lagi, di mahallah, wireless tidak memainkan peranan. Tidak dapat dia bermain-main di alam maya seperti selalu. Ada sisi baik sebenarnya. Apabila tidak dapat berada atas talian, barulah buku nan berderet akan disentuh, kerja nan menimbun makin susut timbunannya.

"Izham, jom makan!" Akmal, teman sekuliah yang datang bersama-samanya mendatangi meja tempatnya. 

"Aku tidak lapar. Kau pergilah!" Izham memberi alasan. Sedang dalam koceknya, tidak ada satu sen yang dapat digunakan untuk membeli makanan.

Semalam ayah sudah memasukkan wang RM100 ke dalam akaunnya. Dosa apakah yang telah dia lakukan, kad banknya tidak dapat digunakan. Sedang, kad itu baharu sahaja diperbaharui. Dia enggan meminta pada orang lain walaupun Akmal, teman baiknya. 

Allah sedang mengajarnya sesuatu.

Teringat peristiwa semalam.

***

"Angah, ayah sudah masukkan RM100. Pandai-pandailah guna." Ayah menelefon pada petang itu. Dalam segan, dia menghantar mesej pada ayah, meminta ayah memasukkan wang ke dalam akaunnya. Duit PTPTN sudah lesap digunakan membeli buku dan pembayaran yuran. Terasa sama sahaja mendapat pinjaman atau tidak. Besar duit dalam tangan, banyak buku yang akan dibeli.

Izham tersenyum. "Terima kasih, ayah." 

Cepat-cepat Izham ke ATM berdekatan maktabah Dar Hikmah.

"Meps not supported."

Tidak berputus asa. Izham mendatangi semua ATM sekitar universitinya. Ternyata kadnya rosak lagi. Benda baharu. Spontan, ada air jernih menuruni pipi. Air yag hadir tanpa dipinta.

"Allah."

Bersama deraian air mata yang ditahan, Izham kembali ke Mahallah Syafei.

"Akmal, petang ini tidak perlu ke bilik aku. Aku sibuk."

Petang itu sepatutnya Izham dan Akmal membincangkan kerja yang perlu dihantar Isnin depan. Perasaannya terganggu. Untuk mengelakkan Akmal melihat tangisannya, lebih baik dia mengelak.

Ayah menelefon lagi. "Sudah ambil wangnya."

"Kad rosak." Izham mematikan talian. Tidak sanggup menahan air mata yang makin laju.

"Assalamualaikum."

Salam dan ketukan bergema di pintu. Akmal. "Ah, dia kawan yang degil. Aku  tidak memintanya datang, tetap muncul depan kamarku ini."

"Jom, makan." Di tangannya dua plastik berisi nasi goreng ayam, dua bungkus neslo.

Izham tersenyum. Mata yang merah dibiarkan. 

Terasa malu memarahi diri sendiri dengan tangisan sebentar tadi. 

Izham terkedu sendiri. Banyak kali terjadi begitu. Saat dirasa poketnya sudah kering, ada tangan menghulur padanya. Ada makanan 'datang' ke biliknya. Betapa baiknya Allah yang memudahkan semuanya.

Izham malu, dia bukan seorang yang baik, namun Allah sentiasa memberikan kebaikan padanya. 

"Akmal, terima kasih."

Akmal tersenyum. "Aku tahu kau belum makan. Sudah sedekad kita berteman. Sedikit sebanyak aku menangkap perangai kau. Jangan disembunyi masalah. Menangis sendiri."

Izham tersengih tawar. Allah, Hanya Engkau memberikan yang terbaik. 



-------------
Ila Husna,
30 September 2012
Maktabah IIUM.
~Lama benar tidak melakar cerpen~

Comments

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a...

Kerana Aku Tidak Berada Dalam Keadaan Itu

Aku membaca  diam-diam kisah yang terpapar. Kisah yang jauh daripada kehidupan aku. Kisah yang tiada aku di dalamnya. Sekalipun aku tidak mampu memahami kisah itu, semoga ada pengajaran yang aku belajar daripada kisah itu. Berdiam aku. Menahan diri daripada berkata-kata tentang sesuatu yang bukan berkenaan aku juga suatu perjuangan untuk masa sekarang. Ada ketika aku menulis juga. Selebihnya aku memilih untuk diam dan menjalani kehidupan aku. Ada banyak hal yang aku tidak dapat faham. Ada banyak hal yang aku hanya faham sedekit sahaja. Akhirnya aku memilih untuk menjalani perjalanan aku, yang berada di atas landasan sendiri. Sebagaimana yang aku selalu ulang. Setiap kita berada di atas landasan yang tidak semua orang akan faham. Cukuplah kita masih kuat untuk menjalani perjalanan itu. Sebab jika kita jatuh, tiada yang dapat membangunkan, walaupun ada yang menghulur tangan untuk kita sambut. Kita tidak berdaya untuk menyambutnya. Hati kita berada di tempat lain, kepala kita...

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                  ...