Malam itu cuaca terasa lain. Angin berhembus kuat. Bertitis- titis air turun membasahi bumi. Gadis itu masih di tangga merenung langit gelap. Bulan yang tersenyum semalam, bersembunyi di balik awan mendung. Malam Sabtu minggu pertama tahun baru, hujan kembali membasahi bumi. Hujan yang tidak lebat, namun cukup membasahkan seketika bumi, memberi senyum pada pohon, rumput, haiwan di hutan. Gadis yang duduk seorang diri itu tersenyum bersama deraian air yang jatuh di pipi. Senyum lagi apabila air hujan mengena pipi. Gadis itu bukan pencinta hujan. Hujan memberi rasa aneh kepada diri.
Segersang langit yang sudah seminggu tidak menumpahkan hujan, sekering itu taman hatinya. Daun-daun kering tanpa siraman air, bunga-bunga layu dibiar berhari-hari. Allah, dengan kasih dan sayang-Nya diturunkan malam itu hujan yang menerbitkan senyum di hati gadis itu. Hujan seiring mata yang basah dek air mata yang tidak mengira masanya luruh mengena pipi. Biarlah, sesekali mata perlu dibiarkan basah biar dicuci kotoran yang ada.
Gadis itu, seorang pendiam yang tidak mudah berkawan. Payah tersenyum, tidak selalu menegur orang walaupun lama berkenalan. Dia bukan gadis mesra alam. Dia tidak gadis yang ramah. Dia manusia yang gemar bersendiri.
Bersendirian dia petang itu ke sana, ke sini, mengikut kaki saban hari. Apatah lagi musim peperiksaan. Musim pelajar bersembunyi dalam bilik belajar penuh tekun dan rajin sekali. Tentu sekali hari-hari biasa juga mereka rajin. Gadis itu tidak betah dan sering sahaja melepaskan diri bebas mengikut kaki, melangkah sana dan sini tidak biasa berkurung dalam bilik. Hanya ditahan kaki daripada melangkah keluar melepasi pintu utama melakukan aktiviti kegemaran. Menuju ke kedai buku, membelek dan menghidu aroma buku walaupun akhirnya keluar tanpa sebuah buku di tangan. Terasa lapang sekali semester ini walaupun sudah maklum peperiksaan yang bakal ditempuh bukanlah semudah menjawab soalan objektif yang boleh ‘ditembak’ a,b, c, d.
Malam itu. Angin yang berhembus memberi segar pada sebatang tubuh milik gadis itu. Baju kurung hitam yang dilapisi sepasang kot di luarnya seakan menjadi pakaian rasmi gadis itu ke mana dia pergi. Tengahari panas juga baju itu yang tersarung di badan, menyembunyikan tudung yang sudah berkedut bersandar di kerusi.
“Hati ini milik Allah, kan? Allah suruh kita jaga hati sendiri. Jaga hati orang lain. Itu pun kamu tidak mampu buat?” Dia bersuara kepada diri sendiri.
Diam. Hati tidak menjawab. Akal tidak membantah. Anggota lain bisu. Malam itu semuanya enggan bekerjasama dengan jasad yang inginkan sebuah jawapan. Jawapan sebuah kekosongan yang selalu menghuni diri.
Gadis itu tahu. Tahu belum tentu boleh lakukan dalam kehidupan harian. Betul, kan? Kita tahu banyak perkara. Berapa banyakkah pula yang mampu diimplementasikan dalam kehidupan. Selama sudah berbelas tahun, berpuluh tahun belajar, sudah berapa banyak ilmu yang sudah terserap masuk dalam akal. Namun ilmu sahaja tidak akan menjadi pengetahuan yang berubah menjadi amalan seharian. Istiqamah bukan sesuatu yang mudah. Disiplin kuat!
Gadis, kesempurnaan itu sesuatu yang mustahil untuk semua manusia. Belajarlah menerima! Belajarlah untuk berusaha mengikut kemampuan diri kamu. Berusaha sebanyak kesenangan yang sudah diterima selam ini. Berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Benar, apabila hari ini kamu menulis, bukan esok kamu boleh mengubah sesuatu menjadi lebih baik. Masa itu ada selagi kamu belum mati. Masa ada selagi kamu sediakan masa untuk melakukan sesuatu! Ingatlah gadis, kamu tidak tahu bilakah tarikh akhir kamu berada di bumi. Jam terakhir kamu bernafas dan bersama penduduk di bumi. Detik akhir kamu menyayangi yang tersayang.
Gadis, kamu harus tahu hati juga mainkan peranan atas apa-apa yang kamu lakukan setiap hari. Bersih hati, licinlah perjalanan hari. Berdebu hati, banyak rintangan meniti hari. Ingatlah Allah menguji menguji setiap kita tidak sama. Jangan sampai menjadi manusia yang paginya beriman dan petangnya ... (Allah tarik nikmat hidayah) Hidayah itu diberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan boleh ditarik sekelip mata! Untungnya bersama-sama lingkungan sahabat yang saling mengingati ke arah kebenaran dan kebaikan.
Gadis, hidayah itu milik Allah. Berdoalah dikekalkan hidayah itu walaupun di mana kamu berdiri kelak.
Catatan berhenti di sini. Ada coretan baru, pasti gadis itu kembali mencoret di sini. Gadis, setiap manusia ada potensi. Optimis dan yakin ketentuan Allah terbaik!
07012012
Bawah katil, atas meja. Gombak.
[kredit gambar: deviantart.com]
Comments