Catatan Hati Durrah Nur Aqilah
Catatan 10
Bisik-bisik Kecil
Penulis: Ila Husna
Bisik satu
Dalam hati, muncul satu soalan. Mengapakah ada cita dalam diri mahu menjadi penulis? Soalan ini gagal dijawab diri sendiri. Aku terdiam. Jemari yang galak mengetik terhenti.
Mengapa?
Ia sebuah soalan subjektif. Tidak punya pilihan A, B, dan C. Jawapan sebenarnya ada tersimpan dalam diri.
Aku punya impian, angan-angan, cita dan apa jua yang setara dengan mimpi. Malang , acapkali dihapuskan oleh menung kosong.
Allah sedang melorongkan jalan buat aku merealisasikan impian. Aku tidak boleh sia-siakannya, mesti manfaatkan peluang ini.
Bina diri.
Jangan rasa rendah diri hanya perlu rendah hati.
Aku menulis sebab aku mahu berkongsi dengan orang lain. Aku harus meluaskan pergaulan dan pembacaan untuk menjadi penulis sebenar. Sekiranya aku sekadar mahu main-main itu tidak jadi masalah.
Jadilah penulis popular.
Bisik dua
Hidup perlukan matlamat dan matlamat perlu direalisasi. Bukan sekadar catatan di atas kertas, yang penting lakukan sesuatu agar yang aku lakukan bukan sesuatu yang sia-sia.
Tidak boleh lengah lagi ...
Lihat dan renung kembali apa matlamat dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat ini. Perlu berusaha mulai sekarang. masa tidak menanti aku, hanya aku perlu mengejar masa.
Teman, bagaimanakah khabar kalian? Ada sela masa memisahkan aku dan kamu. Apakah khabar kalian sekarang?
Bisik tiga
Biarkan imaginasi itu ke mana-mana sahaja , agar kamu tidak dikongkong perasaan . Tuhan akan menjagamu sekiranya kamu menjaga hubungan dengan Allah. Jangan sekali ulangi kesalahan yang lalu, istiqamah taubatmu.
Bisik empat
Imbas kembali perjalananmu selama ini. Onak dan duri tidak merintangi hidupmu. Aku terlena tanpa ada yang sudi mengejutkan. Lena yang panjang.
Tidak ingat untuk aku insafi.
Kuatkan diri yang kerdil ini. Allah, perjalananku teramat panjang, duri sekadar mencangkuk, melambatkan sedikit langkah, namun aku tiba juga. Pasti aku buang duri yang melekat pada kain, lontar jauh-jauh dan terus melangkah.
Semoga aku beroleh keampunan dan magfirah dari-Nya.
Sesungguhnya diri ini kepunyaan-Mu, Allah.
Bisik lima
Tuhan, reda aku pada ketetapanmu,
Walau di mana dan bagaimana aku, Kau tetap memerhati, tingkah baik burukku ...
Tuhan, tabahkan hati kuatkan jiwaku ... ujian ini, ingatan-Mu buatku, rama-rama kecil di pohon bunga.
Allah, sesungguhnya yang Engkau lihat usaha, dan bukan keputusan. Sudahkah aku berusaha?
Comments