ukhuwah itu tali penyatu |
Setelah persetujuan dicapai, melalui proses pujukan dan perjanjian, dia menghantar surat penerimaan tawaran ke UIAM. Ayah dan mak menghantar beliau ke sana. Di biliknya, dia ditemukan dengan tiga gadis lain, iaitu Balqis, pelajar IRK; Syazana, pelajar bahasa Arab dan Marziah, pelajar pengajian senibina.
Disebabkan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan APT [kelas kelayakan bahasa Arab] dan EPT[kelas kelayakan bahasa Inggeris], dia akan belajar di sini selama satu tahun. Di sinilah bermulanya cabarannya sebagai seorang pelajar.
Zakiah bertemu Mary, seorang bukan Islam yang berminat dengan Islam. Suka berkawan dengan orang Melayu dan mengambil jurusan bahasa Arab juga. Pertemuan mereka yang pada mulanya secara tidak sengaja mencetuskan bibit-bibit perkenalan.
Manakala, Syazana, rakan sebiliknya merupakan anak orang kaya yang tidak mengamalkan ajaran Islam. Walaupun belajar, dia tidak mempraktiskan dalam hidup. Zakiah cuba mendekati Syazana secara perlahan-lahan hingga Syazana akhirnya tergerak hati untuk berubah. Akhirnya mereka menjadi sahabat baik.
Balqis pula sedikit nakal walaupun pelajarannya cemerlang. Selaku sahabat sebilik, Zakiah mahu menegur, namun dibalas dengan cercaan dan muka masam. Keadaan memuncak apabila Balqis menuduh Zakiah mencuri telefon genggam yang sebenarnya terjatuh di bawah katil. Hubungan retaknya dengan Zakiah dijadikan alasan untuk menuduh gadis itu.
Zakiah punya melalui banyak siri ujian sepanjang pengajiannya selama setahun di UIAM. Selaku Sekreteriat Dakwah dan Tarbiah mahalah, dia sering dijadikan sasaran mereka yang tidak senang dengan kerja-kerja kebaikan. Dia tidak disukai oleh rakan sekelas kerana mereka adalah senior dna dia junior. Dia dipinggirkan dalam kelas. Kemudian dituduh pula oleh teman sendiri mencuri. Hanya kesabaran dijadikan benteng daripada amarah. Belum selesai siasatan kes kecurian yang disabitkan dengan Zakiah, dia diserang demam panas hingga terpaksa pulang ke kampung.
Ketika itulah Syazana dan Mary berpakat untuk membersihkan nama Zakiah. Mereka mencari bukti yang boleh membersihkan nama Zakiah, dan akhirnya menemui telefon genggam Balqis yang terjatuh di bawah katil sendiri. Setelah Zakiah mendapat tahu, dia menjadi tidak sabar untuk pulang ke UIAM. Tambahan pula, peperiksaan semester pertama akan bermula. Walaupun kurnag sihat, beliau tetap pulang ke UIAM.
Ketika peperiksaan kitabah, beliau tidak mampu menjawab dengan baik kerana demam yang belum pulih sepenuhnya.Namun, untuk kertas lain sudah dilakukan sepenuh hati. Dia menyerah keputusan kepada Allah.
Hanya ketika hari terakhir di UIAM semester satu, Balqis menemui Zakiah untuk memohon maaf. Zakiah pula yang mahu melupakan kisah pahit itu segera memaafkan. Dia tidak menyimpan dendam kepada Balqis yang juga teman sebiliknya. Ketulusan hati Zakiah menjadikan temannya ini amat terharu dan malu dengan apa yang dia lakukan.
Syazana pula sudah berubah menjadi seorang yang menunaikan solat dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian. Malah, keluarganya mula berubah kepada lebih baik. Semuanya setelah mak dan ayah Syazana melihat perubahannya ketika pulang ke rumah, lalu mereka juga diberi hidayah untuk berubah. Syazana yang gembira dengan terasa terhutang budi kepada Zakiah. Hidayah itu memang milik Allah, namun Zakiah berjaya mendorong dirinya untuk berubah.
Mary pula sudah menyatakan kesediaannya untuk memeluk agama Islam. Setelah mengucap syahadah, barulah Mary merasakan ketenangan. Disebabkan telah ada ahli keluarganya yang lain memeluk Islam, mama dan papa Mary mudah untuk menerima keputusan ini. Mereka menyambut baik keputusan Mary. Kini, selain menyertai kursus, Zakiah menjadi gurunya untuk mendalami Islam.
Kemuncak ujian yang ditimpakan ke atas Zakiah adalah ketika cuti semester pertama yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia kerana dia akan ke Makkah bersama keluarga. Namun, terjadi satu kebakaran yang menyebabkan dia kehilangan mak dan ayah dalam sekelip mata. Tapi, Zakiah bukanlah seorang yang berputus asa dengan ujian. Dia tetap kuat kerana dia ada Allah yang menemani. Dia kuatkan hati menempuh ujian. Dia kuatkan diri kerana tekad yang tersemat untuk bergelar ahli dan dalam bahasa Arab. Namun, lumrahlah apabila wajah mak dan ayah sering membayangi langkahnya sekarang.
Disebabkan kejadian ini jugalah dia diterima kembali oleh rakan sekelasnya ketika di sem dua. Mereka mula melayannya dengan baik. Zakiah pula menemui kaunselor atas nasihat cikgu Zaini. Berbincang tentang masa depannya. Dia melalui beberapa siri kaunseling dengan Dr Masyitah, kaunselor di UIAM atas nasihat cikgu Zaini. Semangat dipugar kembali dan dia makin kuat.
Pantas hari-hari berlalu, hari ini merupakan hari terakhir Zakiah di UIAM. Dia akan meneruskan pengajian di kampus induk bagi mendapat ijazah dalam bahasa Arab. Penguasaan bahasa arabnya sudah makin baik. Pelajarannya makin meningkat. Walaupun berbagai ujian melanda sepanjang setahun dia di UIAM Nilai, segalanya menjadi obor semangat bagi meneruskan perjuangan sebagai serikandi bahasa Arab.
Mama dan papa Mary pula sudah nekad untuk memeluk agama Islam setelah melihat anaknya sangat berbeza cara hidupnya setelah memeluk Islam. Dan ini adalah angerah paling berharga buat Mary.
Syazana pula mula menyibukkan diri dengan kegiatan dakwah. Dia berkongsi pengalamannya selama ini dengan pelajar-pelajar lain. Dia sudah memimpin usrah sendiri.
Sesungguhnya, apabila tekad sudah disemat dalam diri, jalan yang dilalui terasa lebih mudah. Terasa ada semangat dalam diri yang memacu diri untuk terus berusaha. Zakiah, Syazana dan Mary@Maryam percaya setiap kesusahan ada jalan keluarnya. Di hujung derita ada bahagia. Setelah tekad disemat dalam diri, berusahalah semampu diri dan serahkan keputusannya kepada Allah. Dia mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya.
****
Friends Forever sudah beredar di pasaran awal Januari lalu. Boleh didapatkan di rangkaian kedai buku Popular, MPH atau secara maya.
-Ila Husna
Comments