Petang Rabu yang membawa perkhabaran yang langsung tidak mengubah riak di wajahnya. Terasa sama sahaja seperti keputusan yang lepas-lepas. Apabila diberitakan keputusannya, dia hanya menerima dengan satu kata : Alhamdulillah.
Layakkan seorang yang usahanya 0.1 peratus mahu mendapatkan keputusan yang baik? Lalu, perkataan apakah yang dapat dinyatakan apabila keputusan itu di tangan? Ia dalam jangkaan. Ia melebihi jangkaan. Maha Baiknya Allah.
Benarlah suara hati itulah yang menentukan hasilnya. Sekali pun tidak boleh ada lintasan tidak baik yang menjejaskan semangat yang baru bertunas.
Semester lepas berlalu bagaikan angin yang bertiup tenang, walaupun hujungnya ada taufan melanda kerana perbuatan diri sendiri. Dia masih angin yang sepoi-sepoi bahasa walaupun sekelilingnya hampir musnah kerana angin taufan yang melanda itu. Angin yang membawa isyarat perubahan.
Dengan keputusan yang diperoleh, langkah kaki perlu diteruskan, dan satu kepercayaan kembali berdengung dalam diri. Tempatmu dalam kuliah bahasa Arab. Sejauh mana cuba melarikan diri, Allah sudah letakkan kamu dalam kuliah bahasa Arab. Kuliah bahasa Arab. Kuliah bahasa Arab.
Terima hakikat dan padam sejarah semalam yang telah kamu coretkan dalam lipatan sejarahmu dengan keputusan baru. Tidak mengapa sekadar pinjaman ditarik, rezeki pasti ada di mana-mana. Tidak mengapa semuanya, asalkan masih ada hati untuk menerusnya semua yang terkoma buat seketika dalam semester yang membawa pengajaran itu.
Awalnya tenang, akhirnya saya menangis sendiri dengan apa yang berlaku. Ia dalam kesedaran dan di luar kesedaran dan upaya. Terjadinya ia seperti lintasan kilat yang hadir dan akhirnya dia hanya terpana memandang kesannya.
Kesalahan yang cuba disedarkan memang benar dilakukan. Ponteng kelas yang sengaja dan bersebab. Kerja yang bertangguh dan tidak disiapkan dengan sengaja, letaknya atas jemala sendiri.
Kata seseorang, di hujung semester itu saya makin diam dan tidak banyak bersuara. Saya tidak mahu menambah penipuan demi penipuan dalam bicara itu. Makin banyak saya cakap, makin bertambah pula penipuan dan pendustaan yang saya lontarkan hingga akhirnya ia menyakitkan diri saya sendiri. Biarlah semester pendek ini memulakan satu langkah baru dalam episod kehidupan saya. Episod seorang yang berusia 23 tahun.
Simpankan kerinduan yang makin memberat dalam diri
Menanti ia menjadi air sungai.
Sebuah kerinduan yang diharap ada penghujung
Dengan sebuah kemaafan kerana kedegilan.
Sesak dan seksa yang terasa dahulu berulang
Dan
Menjadi ilusi dalam diri
Ia sebuah kerinduan yang terlupa aku lampirkan doa.
Berdoalah Aku akan kabulkan.
Janji-Nya yang telah aku lihat dalam episod lalu
Semoga berulang episod ini
Sebelum diri dijemput mati.
Adakah kematianku bersama diri tidak dimaafkan?
Beratnya ...
Allah, Kau Maha Tahu Segala Rahsia.
Lontaran kata
Jamilah Mohd Norddin
Mahang.
20 Jun 2012.
Comments
moga Allah permudahkan apapun, cabaran dan dugaan yang berat untuk Jamilah hadapi.
Umy yakin, setiap orang, lain sisi dugaannya, dan lain sisi lemahnya. Umy pun ada, cumanya di tempat lain.
moga sisi lemah itu, bila kita mujahadah dengan susah payah dan maha beratnya, Allah ganjarkan Syurga.
kita saling mendoakan, Allah sentiasa beri kita kekuatan untuk meneguhkan diri sendiri.
komen ini bukan untuk Jamilah seorang, Umy sebenarnya bercakap tentang diri sendiri juga.
insyaAllah. Allah sayusahhil.
salam juang, sahabatku!
:)
Amin. amin. amin.
Semoga Allah mempermudah urusan Umy juga.
:)