01 August 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah, Jamal Ali.



pemilik blog antologi dunia
Ini novel pertama penulis yang menggunakan nama Jamal Ali ini. Jujur, sekiranya saya tidak tahu ini novel sulung, saya menjangka penulis ini sudah punya pengalaman menulis.

Ada satu tarikan dalam lenggok penulisan beliau, walaupun saya ada ayat-ayat yang perlu aku tarik nafas panjang untuk baca. Ada ayat-ayat yang perlu saya baca betul-betul supaya tidak terlepas makna. Jamal Ali sudah boleh jadikan gaya penulisan begini sebagai satu identiti beliau.  Banyak daftar kata klasik, perkataan yang jarang diguna, dan lenggok ayat yang lain daripada kebiasaan. Ia percubaan yang baik.

Kata beliau lewat blognya, beliau sudah hadirkan hati beliau dalam penulisan ini. Sungguhlah yang hadir daripada hati lekat dalam hati jua.

 Ini bukan sebuah resensi, hanya berkongsi pengalaman diri seputar pembacaan Rintik-rintik hanya singgah.

Tagline rintik-rintik hanya singgah: “hidup tidak hanya tentang kisah kita, akan ada kisah dia dan mereka. Antologi kisah kita mungkin tidak sama, tetapi sudah pasti banyak berbeza. Begitulah hidup.” Ia membawa saya sebagai pembaca untuk terus melekat pada bacaan.

Rintik-rintik hanya singgah lebat dengan kata-kata indah. Pesanan buat diri, pengamatan pada situasi kecil yang membawa makna besar, dan harga sebuah kegagalan yang membawa wataknya merenung diri.

Sesuai dengan judulnya, banyak kisah hujan.  Tepatnya kisah ujian yang hadir dalam hidup kita. Latarnya juga sering melibatkan ‘hujan’. Hujan – simbolik ujian yang selepasnya ada kemudahan.



Kisah ini berlangsung hanya seminggu. Latar masa yang sangat singkat tetapi ibrah kisahnya seakan bertahun tempohnya. Bukan hanya kisah Rifqi Sabran, tetapi ingatan untuk kita-kita jua.

Saya petik beberapa kata:

“yang pasti pedoman Allah itu pasti akan sampai kepada mereka yang mencari-cari, bukan? Ia akan datang dalam berbagai-bagai bentuk dan cara. Malah punca datangnya juga tak terduga oleh kita”

“bagi orang bijak dan pandai mengenal hati mesti mereka akan berkata, “bukalah hatimu, kerana orang yang membuka hati memadailah walau sepatah...””

“hujan datang bukan selamanya. Ada masa ia akan berhenti. Dan seperti hari ini, hujan tidak bertandang diri. Mungkin esok ia akan datang, mungkin lusa ia akan bertandang. Tapi seperti ketika itu, kita sudah bersedia.”

Mahu tahu kisah sebenar harus membacanya sendiri. Pengalaman membaca yang lain buat saya pada novel sulung yang ditulis saudara Jamal Ali. Tengah pembacaan, jujur saya teringat pengalaman membaca Dunia Sophie (edisi terjemahan Sophie’s World) yang padat dengan falsafah. Ceritanya tercantum-cantum dan perlu berhati membacanya. Jika tidak, boleh tenggelam dalam pembacaan. Demikian membaca Rintik-rintik hanya singgah yang ketika membacanya, mahu sahaja saya catat banyak kata hikmah dan nasihat yang dilakar pengalaman.

Dalam kisah Rifqi Sabran, saya boleh membaca diri saya. Pada watak yang mengiringi kisah Rifqi Sabran, ada banyak hikmah yang dapat dikutip.

  • -pertemuan dengan senior di masjid – kemudiannya berjumpa dengan orang yang sama di situasi berbeza
  • -pertemuan dengan lelaki gelandangan di kedai makan
  • -peristiwa ayah dimasukkan ke hospital  yang akhirnya membawa Rifqi kepada bacaa yang ditulis sendiri ayahnya.
  • -kisah Hambali.
  • -kisah seorang buta yang ditemui di stesen bas dan membawanya ke kedai kedai.
  • -dan watak utama yang mengiringi kisah Rifqi: pemuda berambut putih.


Pada cerita punya ibrah. Ceduklah buat bekal hidup. Allah mengajar kita dengan bermacam cara dan situasi.

Tahniah, Jamal Ali dengan kelahiran sulung yang mantap!

Bacaan wajib para pencari hikmah. Ya, saya sendiri pembaca yang suka mencari hikmah pada kisah daripada mereguk fakta-fakta pejal. Justeru, ceritera ini memberi makna pada diri. Dalam hidup kita ada kisah orang lain, dan dalam kisah orang lain, ada kisah kita.

Hujan singgah hanya sementara, mentari akan datang, dan mungkin pelangi turut muncul.

Hiduplah dan jangan putus asa!

Bacalah dengan hatimu, apa yang mahu disampai pengarang akan menyentuh sanubari.

7 comments:

Tetamu Istimewa said...

Insyaallah jika berkesempatan akan saya miliki nanti. Hari tu dah nampak, tapi belum terdetik untuk membelinya. Setelah membaca entri ini terasa membuka jiwa untuk menghadamnya.

Sidratul Muntaha said...

:')

Penulisan Jamilah pun apa kurangnya. Ada identiti sendiri.

Ya, Jamal Ali. Saya pembaca blog-nya (secara senyap tetapi setia)
Insya Allah, nak beli buku dia.

Jamilah Mohd Norddin said...

Insya Allah tidak rugi membacanya.

Jamilah Mohd Norddin said...

Sidratul Muntaha,

Selamat menyelam ke lautan kata Jamal Ali. Semoga lepas ini akan ada bukunya yang kedua, ketiga dan seterusnya.

:)

Belilah, tida rugi, insya Allah.

Jamal Ali said...

Terima kasih banyak-banyak atas ulasannya. Saya terharu dan tersentuh.

Kepada yang mahu memiliki naskhah Rintik-Rintik Hanya Singgah, saya ada menjualnya, terus daripada tangan saya. Tawaran itu tetap terbuka, selagi ada yang masih mahu memiliki.

Semoga Rintik-Rintik Hanya Singgah membawa berita baik selepas reda rintik-rintik yang turun, insyaAllah. :)

Jamilah Mohd Norddin said...

:)

insya Allah saya maklumkan jika ada teman yang mahu membeli.

amy said...

penuh dengan iktibar dan pedoman . gud luck utk novel seterusnya .