Baitullah. Semakin hari semakin kerap bayangannya mendatangi diri. Terasa rindunya pada satu tempat yang menjadi tempat pertemuan seluruh umat Islam kala musim haji. Baitullah yang Allah jaga sejak dibina Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Tempat ibadah. Sebelum Islam datang, masyarakat Quraisy menjadikan Kaabah tempat berhala mereka dan melakukan haji cara mereka saban tahun. Islam datang membersihkan kerosakan.
“Hantarkan aku ke rumah-Mu, ya Allah.” Sejak perasaan itu datang dalam diri, doa tidak lepas dalam diriku. Hadirkan aku ke sana ya Allah. Izinkan aku menatap Kaabah yang menjadi kiblat setiap solat dengan mataku sendiri. Tidak mampu menunaikan haji, cukuplah aku dapat ke sana untuk menunaikan umrah. Sebelum 30 tahun, insya Allah, sekiranya matinya selepas usia itu, sampaikanlah aku ke rumah-Mu ya Allah. Angin rindu melambai.
Setiap hari teringatkan Baitullah. Aku mahu menziarahi rumah-Mu yang mulia itu.
Persiapkanlah diri dengan bekalan andai benar mahu ke sana. Kumpulkan wang, giatkan usaha untuk ke sana. Bersihkan dirimu, cucilah hatimu biar kembali putih. Bersihkan jasad dan rohanimu. Allah hanya menerima orang yang dijemput ke sana.
Allah, jadikan aku sebahagian mereka yang dijemput menjadi tetamu agung-Mu. Cukuplah mulanya aku dapat menunaikan umrah ke sana. Rindu itu mengasak diri.
Kaabah! Alangkah manisnya menatap dengan wajah sendiri bangunan yang sangat Allah jaga itu. Saat tentera Abrahah mahu merosakkannya , Allah datangkan kumpulan Ababil yang melontar mereka dengan batu berapi. Allah, Yang Maha Menjaga!
Setiap tempat di sana yang mustajab doa. Allah, sampaikan aku ke sana. Justeru, mulalah menyimpan andai benar hati kuat ke sana!
Teman, doakan aku! Doakan aku sampai ke Makkah sebelum maut menjemput! Allah, semoga diri ini dalam kalangan hamba yang dijemput ke rumah-Mu.
Petang 8 November 2012, usai hujan perasaan itu makin merasuk diri. Sampaikan aku ke sana, Allah. Terasa mahu mengalir air mata teringatkan impian itu. Allah, teguhkan tekad di hati ini dan murahkan rezekiku untuk menjejak Makkah dan Madinah. Harus bekerja kuat dan banyak menulis untuk mengumpul wang. Allah, perasaan itu benar-benar berbekas dalam diri ini. Aku mahu ke Makkah sebelum aku mati! Mati rahsia terbesar yang mungkin terjadi bila-bila.
[koleksi Monolog Durrah boleh dibaca di sini]
Comments