Apa itu makna memberi? |
Minggu ini hanya tinggal mereka berdua. Jamilah Mohd Norddin, Lu’luah Nur Jamilah dan Ibtisam Husna sibuk dengan kerja sendiri. Pulang ke kampung, ziarah sahabat di luar kampus dan menyiapkan kerja yang bertimbun menanti untuk dibereskan. Seorang manusia itu kan kerjanya tidak bisa selesai?
“Durrah ... Ayuh, duduk di sini.” Imtiyaz Huda melapangkan katil yang berselerak dengan kitab-kitab tafsir yang digunakan untuk menyiapkan kerja khusus Ulum al-Quran yang perlu dihantar Isnin ini. Ada tafsir yang ditulis al-Qurthubi, al-Khazin, Syed Qutb, al-Alusi dan beberapa Pentafsir al-Quran lagi.
“Maaflah, tempat saya sedikit serabut.” Imtiyaz menyambung bicara.
“Imtiyaz, Imtiyaz... Ini baru namanya buat kerja. Puas tengok dah macam rumah kena pecah.” Durrah membalas dengan seloroh.
“Anyway, ada apa dengan matamu? Nampak merah... masih berair... sembap. Tentu bukan sebab kerja kursus yang bisa kamu siapkan ini, kan?”
“Allah uji sebab Allah sayangkan kita, kan Durrah?”
Durrah angguk. Dalam hati ada satu rasa tidak enak. Imtiyaz yang suka ketawa. Imtiyaz yang menceriakan kamar yang diberi nama “Qamar Satu Hati” itu.
Durrah pandang papan nota di ruang kamar Imtiyaz Huda. Terconteng beberapa kata.
“I love Nahu.”
“I love Jahili”
“I love Translation.”
“I love fotografi.”
“I love ulum al-Quran”
“I love Rhetoric al-Quran dan Hadith”
“Selepas 1 kemudahan ada 2 kemudahan.”
“ SATU langkah kamu dekati Allah, SERIBU langkah Allah mendekatimu.”
“No more crying.”
‘Ini kes berat. Bukan Imtiyaz yang suka menconteng papan notanya dengan kata yang membangkitkan semangat melainkan dia sedang down.’ Durrah Nur Aqilah membaca satu demi satu kata yang terconteng.
“Durrah, apa yang kamu baca? Malu saya. Itu hanya kata-kata untuk diri sendiri.” Imtiyaz tersenyum. Tawar. Imtiyaz Huda menyambung bicara.
“Durrah, ajarkan Huda untuk ikhlas. Ajarkan Huda untuk redha. Ajarkan Huda untuk menerima. Ajarkan Huda untuk berkongsi...” Serentak kata-kata itu ada air yang turun daripada dua mata Imtiyaz Huda.
“Imtiyaz ...” Terkaku Durrah. Dua belah tangan mencapai bahu Imtiyaz Huda. Dipeluknya erat. Nasihat bagaimana dapat diberikan untuk menenangkan sahabatnya ini? Sedangkan diri sendiri masih terumbang ambing, mahu diberikan kata bagaimana menenangkan Imtiyaz Huda.
“Semalam... Huda dapat berita tentang seorang teman yang jauh di mata. Dia dalam kesusahan. Makannya tidak cukup. Wangnya tidak dapat untuk menampung pengajian. Kepalanya sering sakit kerana makanan yang tidak berkhasiat. Allah... Keluarganya juga perlukan perhatian. Ayahnya sakit, neneknya terlantar di hospital. Dia tidak punya pinjaman pengajian... Bagaimana saya mahu bantu dia?”
“Imtiyaz ... ” Terdiam lagi Durrah. Difikirkan Imtiyaz Huda memikirkan masalah sendiri. Rupa-rupanya perihal sahabatnya nun jauh di mata yang buat dia termenung panjang dan matanya basah.
Imtiyaz menerus kata.
“Saya sendiri kamu tahu baru lepas buat masalah dengan diri sendiri. Tidak fikirkan diri hingga abaikan pelajaran yang menyebabkan saya digantung pinjaman pengajian. Saya sendiri cuba untuk mengurus wang untuk digunakan menampung pengajian. Saya sendiri sudah malu untuk meminjam. Bagaimana saya mahu menolongnya dalam situasi saya sendiri meminta wang kepada keluarga?”
“Huda, kamu sangat baik ... Daripada kejauhan, doakanlah dia menemui jalan keluar.” Durrah hilang bicara untuk membalas.
“Durrah, mana boleh saya duduk perhati daripada jauh. Dia sudah banyak bantu saya ketika susah. Giliran dia menghadapi ujian, mana mungkin saya biarkan dia sendiri. Itu namanya terlalu pentingkan diri.” Imtiyaz Huda memandang dalam-dalam mata Durrah Nur Aqilah. Memohon sebuah kefahaman.
“Kamu tanyakan kepada teman rapatmu yang lain? Kita akan kumpulkan dana untuk membantu sahabatmu itu. Saya, Jamilah, Lu’luah, Ibtisam .. Kami akan membantumu meringankan bebannya. ”
“Terima kasih, Durrah. Awak ceritakan pada mereka. Saya sudah malu kerana sudah sering meminta pertolongan dengan mereka. Mereka baik. Saya sudah segan. Anggapkan saya meminjam dengan mereka, nanti saya bayarkan semula.”
“Huda ... no. No. No. ” Apa gunanya teman dalam kesusahan sahabat-sahabatmu ini hanya mendiamkan diri. Jamilah, Lu’luah dan Ibtisam itu kan punya kewangan yang lebih mantap.
“Durrah ... Saya sayang kalian! Saya sayang kamu semua! Maafkan saya banyak susahkan kalian. Dengan perangai saya lepas-lepas. Dengan keras kepala saya. Dengan diamnya saya. Saya sebenarnya sudah malu untuk sering susahkan kalian.”
“Hidup ini tidak sendiri. Apabila kita memberi, rasa bahagia akan menyerap dalam diri. Melihat orang senyum dengan apa yang kita beri, kita yang terlebih bahagia.”
“Absolutely, my friend!!! Berikan aku nasihat lagi, teman!” Imtiyaz Huda sudah kembali senyum. Kata-kata yang baik itun ubat untuk hati. Benarkan kesedihan berlalu. Jangan selalu dibiar menghuni dalam diri. Kelak, tinggal kesan buruk dalam hati. Hilangkan apa yang dihafal dan memakan diri.
“Huda, belajarlah untuk memberi. Walau hanya sebutir gula-gula, sudah cukup membuat riang dalam diri. Kamu lihat senyuman temanmu, kamu akan jadi bahagia. Kamu akan rasa bahagia. Belajarlah untuk berkongsi agar kamu akan disenangi. Usah terlalu kedekut walau apa sahaja. Masalah sekalipun. Lantaran kelak andai katamu sahaja tidak mahu menyusahkan temanmu, sebenarnya kamu membuatkan dia bimbang dan risau. Cuba bayangkan, kamu tiada duit, kamu diam. Kamu tidak makan, lalu kamu jatuh sakit. Siapakah yang susah? Bukankah kami temanmu ... Apatah lagi keluargamu... Belajarlah untuk berkongsi, temanku.. Imtiyaz Huda... Apa sahaja yang perlu dikongsi.”
“Durrahhhhh ...” Imtiyaz Huda memleluk Durrah Nur Aqilah seeratnya. Teman, yang adanya bukan hanya kala senang namun di sisi ketika payah. Tidak mudah dicari teman sebegitu.
Comments
love this! :)
Thanks.
Semoga kita sama-sama menjadi seseorang yang suka memberi walau dengan apa cara sekalipun.
maaf, pensyarah cakap, bermonolog itu boleh akan tetapi jangan keterlaluan. Nanti rosak kehidupan.
Terima kasih atas nasihat.
ALhamdulillah.