Kerana kita punya 1Hati. |
Atiyah, seorang pelajar di Akademi Pengajian Islam (AKI)
dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama. Minat Atiyah dalam
bidang penulisan menyebabkan Atiyah memilih AKI sebagai tempat pengajian. Atiyah suka menyendiri dan tidak peramah. Kehadiran Aini
mengubah sikapnya. Aini, seorang pelajar di AKI, peramah dan cuba membawa
Atiyah mendekati masyarakat. Aini cuba menyedarkan Atiyah kepentingan
bermasyarakat dan tidak menyendiri. Betapa masyarakat memerlukan remaja yang
petah bersuara, dan bersama-sama masyarakat. Masyarakat yang pincang kini tidak
memungkinkan seorang remaja itu hanya mendiamkan diri. Aini berusaha mengajak Atiyah menyertai usrah di bawah
seliaan naqibah bernama kak Asrar. Di situlah Atiyah belajar bergaul dengan
kumpulan yang kecil, sebelum dia bersama-sama masyarakat yang lebih besar.
Pada permulaannya semuanya berjalan lancar. Atiyah dapat
mengikut aktiviti usrah yang dijalankan. Namun, selepas beberapa bulan, rasa
bosan datang dalam diri Atiyah. Atiyah berasa bosan dengan rutinnya menyertai
usrah. Atiyah berasa dia berpura-pura sedangkan hakikatnya, dia masih banyak
ruang dalam diri yang perlu dibaiki.
Satu pagi Jumaat yang sepatutnya Atiyah menghadiri usrah bersama kak Maizatul, Atiyah mengetuk pintu bilik Aini.
Aini pandang muka Atiyah. Nampak wajah gusar pada sebentuk wajah yang selama ini tenang. Pandangan matanya kosong tidak seperti hari-hari semalam. Sinar pada matanya sudah
hilang. Kekuatan dalaman yang selama ini terzahir pada jernih raut wajah hilang. Atiyah resah. Aini menangkap kegelisahan pada pandangan Atiyah.
Atiyah mulakan bicara setelah dijemput masuk. Dia duduk di lantai bilik sempit Aini. Secawan milo suam dan chipsmore dihidang peneman sembang mereka.
"Aini, saya penat. Saya penat bersama orang baik. Saya seperti sedang berpura-pura sedang hakikatnya ... "
Aini terkedu. Bicara apakah yang sedang Atiyah lontarkan. Bicara apakah yang kak Maizatul ucapkan hingga mengusik sekeping hati milik Atiyah.
Aini pandang wajah Atiyah. Lama. Mencari kejujuran.
"Aini tidak sempurna. Atiyah tidak sempurna. Bukankah dalam usrah kita belajar membaiki diri. Bukankah Atiyah makin ceria setelah menyertai usrah? Bukankah Atiyah makin berani dan lantang bersuara setelah menyertai usrah?" Aini memaut bahu Atiyah. Mengecas kekuatan yang seakan menjauh daripada diri sahabatnya.
"Itu orang lain, bukan Atiyah... Atiyah rasa tidak bebas. Atiyah rasa ... Ah, perkaataan apa sekalipun tidak dapat memberitahu perasaan Atiyah sekarang."
"Inikah Atiyah yang Aini kenal? Atiyah yang mahu nuansa Islam pada karyanya? Atiyah yang mahu mengangkat Islam dalam karya nukilannya?"
Tertunduk Atiyah. Seakan sebuah tamparan kuat mengena wajahnya. Teringat kembali sebuah mimpi, angan dan citanya. Kehadirannya ke AKI bukan sekadar kerasa segulung ijazah. Atiyah punya misi sendiri.
"Atiyah, kita hanya punya satu hati yang mesti kita jaga. Jangan biarkan syaitan merasuk hati milik kita... "
"Aini ... " Atiyah tersedu. Air mata berjuraian.
"Luahkan semua tangisan hari ini. Esok, kamu bertemu kak Maizatul. Katanya padanya, Atiyah tetap akan sertai usrah. Atiyah mahu jadi seorang yang lebih baik. Atiyah adalah Atiyah yang mahu menulis kerana Allah. Atiyah hanya ada satu hati yang mahu bekerja untuk agama Allah."
***
Satu hati milikmu, sihatkah? Sakit? Menangis ia kerana tidak dibelai dengan nur Islam? Mengapakah dibiar noda-noda dan titik dosa menghitamkan putih hatimu? Memang selamanya kita tidak sempurna, namun harus bekerja tuju kesempurnaan. Atiyah, satu watak dalam jutaan watak dalam kehidupan kita. Adanya sahabat sebaik Aini, menyedarkan dia yang usrah itu penting, mengecas kekuatan.
Usrah perlukan kesabaran.
Usrah perlukan kekuatan.
Usrah perlukan keinginan.
Usrah itu keluarga.
Comments
Banyaknya cerpen akak. Ina baru terdetik nak tekan dan alhamdulillah...nak terus baca semuanya.
**usrah cinta**