Diriku, dengarkan bicara ini.

Perjalanan itu pendek dibanding sebuah perjalanan yang bakal ditempuh setelah kembara singkat ini. Belumkah diri mencari bekal menuju perjalanan yang panjang itu, sedang petanda bahawa perjalanan makin ke titik hujung terkumpul demikian banyak. Merasakan masih banyak masa berbaki sedangkan ia rahsia tersimpul rapi. Tiba hari dijanjikan, bukankah kata Pemilik Diri, tidak akan diinjak sesaat, tidak akan dilewat barang sesaat hari perjanjian itu.

Masihkah hanya bermenung di bangku usia, melihat mereka pergi meninggalkan kita, ada pula insan-insan baru mewarnai hidup kita. Jika semalam kamu kuat melalui semuanya, hari ini, kamu harus lebih kuat melaluinya... Tidaklah Allah berikan sesuatu melainkan telah diketahui pemilik diri mampu melaluinya...

Katanya berulang kali kepada diri ayat itu. Usah jemu. Ulang dan ulang katakan yang Allah sentiasa menghulur yang terbaik. Bentuknya sedih atau duka, tangis mahu ketawa, tersimpan rahsia besar yang hanya diketahui setelah ia terjadi. Masihkah kamu, wahai diri, hanya sibuk menyulam hari semalam hingga melupakan bahawa hari ini menanti kamu menyediakan bekal. Apakah yang kamu mahu daripada sebuah kenangan?

Tidak boleh berhenti melihat belakang hari, tidak bermakna butakan mata hati tidak melihat apa yang menanti di hadapan. Betapa masih ada harapan tersandar. Mahukah dilerai semuanya, wahai diriku? Hanya kerana kesalahan diri sendiri, kamu mahu terus dan terus mengalah?

Bukankah kekurangan untuk ditangisi ...

Belajarlah. Allah tidak melihat kejayaan demi kejayaan yang kamu kecap,tetapi usaha kamu mendaki tangga demi tangga, merendah diri memohon yang terbaik daripada-Nya. Betapa Allah mencintai orang yang menghampirinya ... Maka, Allah hadirkan ujian. Ujian yang berbeza antara kamu dan orang lain.

Melihat diri orang lain, belajar bagaimana tabah dan sabarnya orang itu. Allah hadirkan semuanya bukan hanya untuk kamu lihat, tetapi belajar ... Makin kamu merenung ciptaan, makin kamu mengenal Allah. Percayalah!

Justeru, wahai diri, bangkitlah daripada kerusi kenangan dan pandang ke hadapan. Ingat selalu dalam hati, Allah sentiasa ada. Allah sentiasa memandag dan mendengar. Hanya diri yang tidak boleh sombong dan terlalu mempertahan ego diri...

Dalam kekurangan ada kelebihan. 

Allah sediakan kita dengan pakej yang lengkap. Usah hanya tahu melihat sisi lemah, pandanglah kekuatan yang Allah beri. Tumpu. Positif.

Allah,
ajarkan diri bersabar...

4 Februari 2012, 11.23a.m
Mahang.
~Betapa beribu kali kamu gagal, akan ada satu KEBANGKITAN. Yakin kepada Allah. Usaha.  

Comments

Popular posts from this blog

Aku, Dia, Beliau dan Soalan-soalan

Jom Belajar Nusus

Cerpen: Kembali Bertaut