07 November 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 11] Catatan Buat Teman


Pasangan pertemuan adalah perpisahan. Atas sebab kematian, kesibukan, perpindahan tempat, tamat belajar atau apa sahaja sebab akhirnya perpisahan akan terjadi. Hanya diri harus menerima kata perpisahan itu daripada sudut positif. Belajar positif dalam semua keadaan adalah mengajar diri redha atas apa yang Allah takdirkan buat diri kita. Buang negatif, masukkan positif! Kita tidak menyerah, tetapi melihat ibrah. Teruskan menyalur doa supaya hati-hati masih bersatu walaupun jarak memisahkan kita.

Demikian kita, Sabrina. Aku di sini, dan kamu di sana. Jarak menyekat pertemuan kita yang sebelum ini senang berlangsung. Saat kita merancang pertemuan itu, ada sahaja halangan yang mungkin Dia belum izinkan pertemuan antara kita terjadi. Bukan kalimah sabar yang cuba aku ajarkan dalam diri, tetapi perkataan DOA yang kadang tertinggal daripada diri.

Peranan doa yang sangat besar dapat menghubung ikatan dua hati. Teringatkan aku, titipkanlah doa sebagaimana yang terkandung dalam doa rabitah:
(doa rabitah)

Satu doa yang dilantun setiap hari menjadi zikir penyatu hati kita. Hati aku dan kamu. Biarlah jarak jauh mana sekalipun, semoga doa-doa dalam hati kita mendekatkan, menjadikan kita lebih kuat melalui hari-hari depan yang sentiasa dirahsia warnanya.

Kehidupan yang ada pasang surut, sebenarnya dibancuh warnanya oleh diri kita sendiri. Masih ingatkah kamu, Sabrina, saat pertemuan kita suatu masa dahulu, di kedai maka tepi jalan sambil melihat orang lalu lalang kamu bicara padaku:

“Durrah, kamu lihat orang di sekeling kita.Serabut saya melihat warna kota yang sibuk dengan kerjaya seharian. Berjalan ke sana sini, mencari rezeki. Melalui kesibukan jalan raya setiap hari. Mengulang perbuatan sama, adakah mereka tidak bosan melakukannya?”

Demikian katamu suatu hari. Aku hanya tersenyum tanpa jawapan. Kamu yang suka bertanya walau dalam diri kamu ada jawapannya. Aku diam tanna jawapan sambil terus menyuap mee goreng ke dalam mulut sendiri. Lalu aku biarkan kamu yang menjawabnya.

“Selagi kita lakukan atas nama Allah, tiada kalimah BOSAN.” Jawapan ringkas kamu pada soalan sendiri.

Terpatung aku. Ternyata jawapanmu bukan apa yang ada dalam hati aku. Lalu terus merenung dalam diri aku sendiri. Perasaan bosan sering bersarang dalam diri menjadikan aku meninggalkan rutin dan beralih kepada yang aku suka. Akhirnya hari itu kamu telah menampar wajahku dengan katamu yang sebaris.

Sabrina, ajarkan aku untuk ikhlas. Teringat aku kata seorang ustaz. Lakukanlah walau kamu tidak ikhlas. Buatlah walau terpaksa, kerana ia adalah jalan-jalan yang membawa kepada ikhlas itu sendiri. Bagaimana kamu boleh merasa jika semuanya kamu tidak mahu mencuba? Setelah langkah pertama dimulakan, langkah-langkah lain mengikut jejak. Bukan hanya perhati daripada sudut tanpa berani melangkah ke dalam suasana itu. BERANI!

Maka, aku harus terus mencuba. Mendaki puncak cita-cita yang banyak sudah Allah lorongkan jalan. Sabrina, terus pimpin tanganku menuju puncak cita teragungku –redha Allah- Tiada lain yang aku mahukan dalam kehidupan ini selain itu. Ketenangan abadi apabila diri berjaya menunaikan semua yang Allah perintah, meninggalkan apa yang Allah larang, dan menjadi manusia berguna.

Ajarkanlah aku ikhlas atas semua keadaan.

Rencam warkah aku buatmu. Sekadar meluah yang terlintas dalam akal fikirku. Setelah lama jemari tidak dibiarkan menari bebas atas papan kekunci, aku senang mengutus surat ini buatmu, Sabrina. Semoga ia tidak mengganggu kehidupan harianmu.

Maaf atas segala salah silapku selama kita bersama. Percayalah, perpisahan hanya peristiwa sedang hati yang bertaut tidak mungkin terpisah. Saya sayang kamu kerana Allah.

Durrah Nur Aqilah.

No comments: