03 May 2012

Apabila si Pendiam berkata-kata di IKIM. fm

Jumaat lepas, saya menerima panggilan daripada puan Shamsiah, staf di Galeri Ilmu bertanya kesudian saya menjadi tetamu di IKIM.fm. Spontan mulut dengan lancarnya menjawab ya, tanpa bertanya lebih lanjut butiran program. Hari Selasa. Saya sudah membayangkan slot Remaja yang dikendalikan DJ Faiz Othman. -DJ kegemaran saya ini-

Kemudian, apabila Encik Nasri menelefon bertanya lebih lanjut, saya bersetuju dengan pelawaan beliau. Kami bertemu di PWTC malam 1 Mei, terus ke IKIM.fm.

Pagi 1 Mei, sepatutnya saya menyertai pelancaran buku baru Galeri Ilmu. Malangnya disebabkan imtihan syafawi pagi itu terlewat ditambah dengan kelewatan bas, saya tiba di sana pada waktu kemuncak. 12 tengahari. Alhamdulillah, kak Husni dan Habibah temankan saya. Kemudian, apabila mereka pulang, dan usai menunaikan solat Zohor, saya melilau sekeliling gerai-gerai buku hingga kepenatan. Poket kering tidak memungkinkan saya membeli hatta sebuah buku. :) Marziah menawarkan saya  ke rumahnya, lantas saya bersetuju. Ah, jika tidak saya menunggu di PWTC hingga malam. Menangis saya jadinya.

Hujan seakan tahu. Setelah beberapa lama tidak hujan, hari ini hujan terlalu lebat. Melewari hujan walaupun diri sudah diserang selesema dan batuk sejak beberapa hari ini. Lebih segar apabila usai mandi dan bertukar pakaian di rumah Marziah.

Jam 8.30 malam, kami menaiki STAR kembali ke PWTC, bertemu encik Nasir...

Setelah beberapa kali melihat sebelum ini, saya diperkenalkan dengan editor berjasa, Amir Hamzah. Sejak bermesej dan semalam bertemu dia tidak lepas berkata saya sangat sabar menunggu friends forever diterbitkan. Saya tidak terasa penantian saya lama, kerana saya tahu editor punya banyak tugasan, sedangkan tugasan saya satu sahaja, menulis.

terima kasih encik Amir.

"Jom, kita pergi sekarang." Beberapa minit bersembang dengan encik Amir, saya yang diteman Marziah mengikut encik Nasri untuk ke IKIM. Lebih kurang setengah jam perjalanan kami memasuki pintu gerbang IKIM dan ternampak bangunan IKIM tersergam.

Perjalanan ke IKIM.fm, dan bicara pendek. Selebihnya diam. Saya kekok lantaran kami hanya bertiga. Hanya soal jawab biasa dan standard. Tahu asal usul, sekolah, dan sedikit sebanyak tentang novel.

"Ini bangunan IKIM. Radio IKIM.fm, sudut kecil sahaja." Kawasannya luas dan cantik. Gelap malam, sunyi datarannya.

Melihat kegelapan kawasan, saya tidak dapat membayangkan Deejay-deejay IKIM.fm yang bertugas malam dalam konti seorang diri. :)

Kami ke surau terlebih dahulu menunaikan solat Isyak sebelum naik ke konti. Mujur saya tidak tinggalkan pas lawatan yang diberi guard. Rupanya pas itu membolehkan kami memasuki kawasan radio IKIM. Seperti rusa masuk kampung di situ. Saya hanya mengikut Encik Nasri.

Hampir jam sepuluh, seorang lelaki tinggi lampai menemui kami di meja. DJ Faiz. Beliaulah yang bertugas malam ini. Bersembang seketika dan Encik Nasri menghulur friends forever kepada beliau. Beliau mengendalikan rancangan Remaja dengan tajuk minggu ini, Membaca gaya wawasan. Kata beliau sempena pesta buku.

Mereka mencari remaja yang menulis. Bertanya Galeri Ilmu, dan sampai kepada saya. Memang banyak yang menulis novel remaja, namun berapa kerat remaja yang menulis novel?

Jujur, saya tidak tahu apakah sebenarnya rancangan IKIM malam itu, hinggalah tiba di konti... Soalan diberikan kepada saya. Sama-sama berbincang dan Encik Nasri memberi komentar.

DJ Faiz. Jujur, saya antara pendengar yang menyukai celoteh beliau saban malam ketika beliau bertugas. Terasa disuntik semangat mendengar suaranya dan malam itu saya tahu rahsianya. SENYUM.

Suaranya penuh senyuman.
Ekspresi penuh dalam penyampaian.
Bergaya ketika berbicara walaupun seorang diri.

Begitu tugas seorang penyampai radio.
...

Dengan konti yang sedikit panas, kami bersoal jawab malam itu. Saya tidak pernah bercakap depan khalayak. Hakikatnya semalam satu Malaya dan jika ada yang mendengar dalam talian mendengar suara saya. Entah bagaimana gayanya, saya takut mendengarkan kembali. Saya ketawa kepada teman yang menemani setiap kali usai bercakap. Hanya berbalas senyum dan berbahasa isyarat dengan DJ Faiz pada selang masa iklan. Saya banyak memerhati. DJ Faiz yang banyak bercakap menggantikan saya yang menjawab soalan dengan perkara lain.

soalan lain.

saya tulis lain.

saya cakapkan lain.

Apa yang terlintas dalam akal, itulah yang saya cakapkan. Tidak menjawab soalan, soalan tidak sama dengan jawapan dan saya terlupa menyebut tentang Galeri Ilmu, sedangkan encik Nasri daripada Galeri Ilmu dengan setia menanti di luar.. Ada masa nanti saya tuliskan isi sebenar perkongsian malam itu, sebagai pengalaman dengan diri sendiri.

Gementarnya ada pada beberapa soalan yang saya seperti tidak mahu jawab. Mungkin disebabkan DJ yang ceria, ia cepat hilang. Saya terasa ada saat yang suara saya bergetar.

Soalan paling berat bagi saya, bagaimana bahagikan masa antara membaca novel dan buku pelajaran. Allah, saya tidak mahu menjawab soalan itu... Bilakah saya membuka buku pelajaran? Malam peperiksaan... Novel bila-bila masa sahaja saya membukanya. Aduhai! Soalan itu mencabar diri saya. Sebelum ini, saya persoalkan dalam blog ini antara cinta dan tanggungjawab. Malam itu saya ditanya bagaimana saya bahagikan masa antara cinta dan tanggungjawab...

Sesungguhnya terasa sangat cepat malam itu berlalu. 10.55 malam, program selesai, dan saya mendapat dua buah buku percuma. :) alhamdulillah, saya suka hadiah buku.

Encik Nasri menghantar saya pulang. terima kasih jasa tuan. Akan saya kenang selamanya...

Encik Nasri, maafkan saya terlupa benar menyebutkan tentang Galeri Ilmu. Sesungguhnya Galeri Ilmu membuka jalan untuk saya menulis.

Encik Amir, saya ingat kata-kata anda, kalau boleh ada kesinambungan cerita. Sambunglah cerita friends forever.

DJ Faiz, akhirnya saya bertemu di IKIM.fm dan melihat beliau bertugas.

Marziah Mohamad Saad, terima kasih temankan saya daripada petang hingga malam. Belanja makan dan tambang, hanya Allah membalasnya.

Sedikit, perkongsian pengalaman pertama di konti. Ya, perjalanan masih jauh.. sanga jauh. Doa kalian menguatkan saya.

Jamilah Mohd Norddin
IIUM.

No comments: