16 November 2008

Coret-coret Pagi Minggu

Assalamualaikum, Alhamdulillah di awal sem begini aku punya banyak ruang untuk menyentuh papan kekunci, mereka ayat-ayat, menyusun kata, mahu muatkan sesuatu di blog yang terbiar setiap kali aku bercuti di kampung. Seminggu di sini, aku dapat rasakan aura lain berbanding sem lepas yang berjaya juga aku lalui walaupun tidak sepenuhnya cemerlang. Ada kegagalan ingin tumpang berteduh, mahu beri aku peluang koreksi diri, alhamdulillah. Bagi aku yang sering main-main, kegagalan itu amat bermakna, yang aku anggap sebagai turning point yang ALLAH berikan agar aku sedar siapa aku sebenarnya. Sebenarnya banyak turning point yang ALLAH bagi, namun mungkin aku terlalu lalai hingga abaikan ia.

Diriku, Usah ditangisi sekali gagal menjengah, beri ia peluang, sebagai ingatan, sebagai tazkirah buat diri yang leka, namun baik juga jika aku berjaya mengawal diri dan kejayaan sentiasa menjadi milik aku, dengan izin ALLAH... Hanya orang gagal yang tahu manisnya kejayaan. Hanya orang jatuh yang tahu nikmatnya pabila berjaya bangun kembali, dan hanya orang sakit selalu menyedari berharganya nikmat sihat. Begitulah diri ini selalunya. Sepatutnya aku perlu menerima segala di depan mata, ketahuilah diri, ALLAH teramat suka mereka yang bersabar. Sesungguhnya sesuatu tak akan berlaku tanpa sebab dan alasan tertentu, setiap yang ALLAH beri ada fungsi, ada sebab.

Jalan-jalan di rak buku Maktabah petang semalam, aku terjumpa sebuah buku. Agak nipis namun sangat padat. Buku motivasi. Sudah lama aku tak menyentuhnya, lebih suka membelek novel-novel... Judul bukunya, JANJI DIRI POSITIF, tulisan Alias Hj muda... Belum selesai aku baca namun aku suka sebab bahasa yang ringkas dan sangat mudah difahami, tapi perlu kekuatan dalaman untuk mempraktikkan. Secara amnya, setakat aku baca, buku ini menceritakan betapa pentingnya perkataan positif kita tanamkan dalam diri. Bagaimana mahu menanam perkataan positif dalam diri? Betapa banyak perkataan negatif menyerap dalam urat nadi kita saban hari tanpa kita ambil cakna? Perkataan negatif inilah yang membentuk keputusan kita sehari-hari sampaikan kita jadi terlalu pasif. Dan mungkin pesimis dengan hidup.

Sebelum aku rehatkan jemari seketika, ingatlah duhai diri yang membaca, sesungguhnya perkataan negatif banyak membunuh potensi diri, berhati-hatilah. Keadaan tak mungkin berubah jika diri sendiri tidak bergerak untuk mengubahnya. Percayalah pada Keagungan dan Rahman serta Rahimnya... Sesungguhnya mereka yang paling bijak bukan yang paling banyak ‘A’, namun yang paling banyak mengingati MATI...

No comments: