Apabila kita memilih untuk "mematikan" satu langkah, lalu, kita mula berfikir untuk memulakan langkah baharu. Lantaran jalan baharu perlu kita tempuh selepas itu. Perjalanan ini kita yang pilih. Semoga dibantu Dia.
Sebagai permulaan, aku masih 'mengikat' diri sendiri sebagai Admin media sosial majalah Telaga Biru. Sementara Solusi kembali 'stabil' dan ada seseorang yang dapat menjaga sepenuhnya. Nanti, akan aku lepaskan jua. Jujur, aku belum mampu melepaskan tanggungjawab itu. Aku tidak tahu kesannya kepada jualan, namun aku mahu terus pembaca tahu yang Solusi sentiasa mahu berkongsi dengan mereka. Semoga ada yang tergerak untuk membeli dan melanggan. Meski seorang.
Seterusnya aku mula berjinak-jinak dengan jualan buku. Baru permulan awal. Terlalu awal. Masih jauh langkah. Semoga tercapai impian aku kelak, mahu memiliki sebuah kafe buku. Kafe yang menjual buku dan menjadi tempat pencinta buku berkumpul. Semoga. (Mimpi itu, percuma bukan?)
Aswara. Selepas empat tahun aku memohon kembali sebagai pelajar Aswara. Baru memohon secara atas talian, semoga ada rezeki untuk aku ke sana. Ya. Aku perlu 'berehat' seketika, dan kembali bergelar pelajar. Kadang, kita perlu berundur, untuk melakukan lonjakan yang lebih tinggi. Amin.
Sela "masa lapang" yang aku ada, memang seakan nampak aku hanya ada di dunia maya. Semoga keberadaan aku di dunia maya, bukan hanya keberadaan kosong. Ada manfaat untuk diri aku dan orang lain.
Catatan langkah-langkah kecil, untuk jadi rujukan masa akan datang. Dengan menulis, mengabadikan. Rasa selesa pula membebel di blog seperti dulu.
.
Matang dalam menulis? Cara aku, gaya aku, masih sama seperti dulu. Mungkin kerana aku selesa bercerita dngan tulisan.
"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.
Comments