Ini cerita malam itu. Entah bagaimana saya boleh terjebak. Mungkin kerana ingin mengenang lagu-lagu yang dulu jadi mainan bibir.
Dulu.. 15 tahun yang lalu, saya masih bersekolah menengah. Dan tentu sahaja 'membesar' dengan lagu-lagu mereka. UNIC.
Dalam banyak lagu yang kita dengar, tentu sahaja kita ada lagu-lagu yang kita suka, dan masih bermain dalam kepala.
Lirik lagu selalu "menambat" saya sebelum terpesona dengan lagu. Dan malam itu, nama Ustaz Pahrol diingati sebagai penulis lirik, dan Ito Lara, penulis lirik yang selalu bikin saya terpesona dengan lagu. Juga penulis lirik lain, komposer dan seluruh warga kerja yang bekerjasama sehingga lagu boleh kita dengar, terima kasih.
Yang saya mahu ingat tentang malam itu, tentulah yang manis-manis sahaja. Seniman, mereka ketawa dan bergurau di depan penonton, hati mereka siapa yang tahu?
Ketika lagu "Bintang Syurga" dinyanyikan, dan melihat penyanyinya tak tertahan sebak, saya yang di kerusi paling belakang terus tersentuh. Antara lagu yang sebenarnya boleh jadi pembakar semangat dan juga sebabkan air mata mengalir tanpa sedar.
Keseluruhan lagu, memang mengimbau kenangan. Betapa saya sudak menginjak usia, namun masih terperangkap dengan lagu-lagu lama yang jadi nostalgia. Liriknya. Liriknya memberi makna.
Tentang lagu-lagu yang kita dengar, kitalah yang memaknakan ia dengan kefahaman sendiri.
Mungkin bagi penulis lirik lain, bagi penyanyi lain, dan bagi saya lain. Memori tidak sama, meski kita pandang dan dengar sesuatu yang sama.
Tentang malam itu, terima kasih Wardah Safiah Wanza Mohamad dan Siti Khodijah Che Mee yang bersama-sama. Malam yang akan diingati.
#reunic
Comments