Skip to main content

Kumencari “Zainudin”, Kutemui Diriku Sendiri


Pertengahan Oktober 2015, rakan-rakan berjaya “menghasut” seorang Jamilah yang jarang melakukan aktiviti fizikal selain berjalan, mendaki bukit. Semasa mendaki Bukit Broga (walaupun tidak sampai puncak), saya membayangkan berada di tempat yang menjadi latar novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karya HAMKA. Tanah yang jadi igauan bukan setahun dua.

Dan di situ, saya membayangkan suatu hari akan memandang tanah Maninjau sebenar. Tambahan lagi, ketika itu sedang berlangsung teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya. Selepas menonton Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck berulang kali, membaca novel dan buku-buku HAMKA, saya semakin teringin menjejak tanah itu.

Sudah rezeki, Disember 2016, sampai juga saya ke Sumatera Barat. Mengikuti kembara Jejak Tarbiah. Saya catatkan perjalanan kembara ini, meski sudah beberapa bulan berlalu. Sebagai rakaman perjalanan seorang Jamilah yang jarang mahu berjalan jauh tanpa sebab dan keinginan yang cukup.


TERIMA KASIH, JEJAK TARBIAH
Terima kasih penganjur Kembara Jejak Hamka; Jejak Tarbiah. Media sosial (Facebook) menemukan saya dengan program sebegini.

Melihat sudah berlalu beberapa siri kembara, saya menyimpan angan untuk turut serta, walaupun poket tidaklah penuh sentiasa. Alkisah, teman saya sudah menyiapkan pasport beliau. Dan beliau mahu bercuti juga tahun ini (2016). Sedang saya, pasport tidak ada, wang simpanan mahu jalan-jalan juga tiada.

Memandang poster di Facebook Jejak Tarbiah.
“Jom!”
Lalu dia membalas, “Nak pergi bulan 10 ke 12?”
“10 macam awal sangat, 12 la. Kita cuti seminggu.”
Sudah rezeki saya ke sana. Bayar secara ansuran dan tempah tempat. Akhirnya, saya dan rakan; Wanza sampai ke Tanah Sumatera Barat.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami selamat pergi dan pulang bersama kenangan yang tidak dilupakan. Pastinya terisi ibrah dan siri tindakan yang perlu dilaksanakan dan diteruskan.  Tiga hari perjalanan di sana, bertemankan hijau kawasan. Subhanallah! Terasa segar bernafas.

RAKAN KEMBARA
Bagaimana mahu saya mulakan catatan ini, ya? Catatan ini sekadar rakaman perjalanan untuk berkongsi. Mana tahu akan ada pula rakan lain yang teruja mahu ke sana. Sedikit catatan sebelum  saya ceritakan pengalaman di sana. 

1.Peserta.
Daripada usia 7 bulan sehingga usia nenek-nenek. Memang berwarna peserta kali ini. Walaupun ada yang datang berkumpulan, dan ada 7 orang #gengsingle, memang peserta yang mewarnai suasana. Ya, masing-masing datang dengan tujuan tertentu, namun akhirnya, kita dapat banyak lagi yang mungkin sahaja tidak termasuk dalam senarai tujuan.

2.Jalan.
Pengalaman pertama melalui jalan yang banyak kelok dan agak sempit. Bagaimana agaknya mereka zaman dahulu. Sedikit sebanyak yang dibaca dalam buku-buku HAMKA, terbayang saat melaluinya. Dan aku terfikir, bagaiamana agaknya orang dahulu? Kata Hendri Ilham, dahulu kenderaannya ialah kuda Bendi.

Perjalanan kami dari Bandara Minangkabau sehingga kembali semula dikendali seorang pemandu bas yang sudah cekap dengan keadaan di sana. Profesional. 

Paling mengujakan ketika melalui kelok 44. (Jadi 88, perjalanan pergi balik). Ketika itu pentingnya peranan hon. Kecekapan pemandu mengendali kenderaan, dan persefahaman sesama kenderaan. Fuh, tidak terbayang ketika mula-mula melaluinya.Menariknya, pada setiap kelok, ada Asmaul Husna. Sambil lalu, sambil membaca nama-nama Allah.

3.CINTA.
Saya tidak tahu banyak. Tentang Hamka, tentang Minangkabau, tentang semua hal. Melihat kawasan beliau dilahirkan, suasana Tanah Sumatera Barat, betapa alam dan mereka menyatu. Betapa HAMKA berjaya menceritakan tentang tanah kelahiran beliau sendiri, sehingga saya teringin mahu menjejaki. Kuasa penulisan!

TERUJA
Beberapa hari akan berangkat, belum ada persediaan yang saya lakukan. 

Kak Wani, rakanku bertanya, “Dah ada ke beg?”

“Ada. Saya pinjam beg Aishah. Tapi tak boleh tutup.”

“Mahu pinjam beg akak?” Akisahnya, bergeraklah ke rumah rakanku ini untuk mengambil beg. Beg kembara yang akhirnya saya hanya tinggalkan di rumah kerana hanya membawa beg sandang belakang yang lebih kecil. Sumbat semuanya dalam beg itu.

CATATAN PERJALANAN
13122016
Hari ini, saya terbang menuju ke seberang. Bukan bertujuan mencari Zainudin, sebaliknya agar lebih dekat dengan diri sendiri. Agar saya akan lebih kenal dengan diri sendiri dan Pencipta.
Seawal 9.30 pagi kami sudah di Kepong Sentral untuk memulakan perjalanan. Usai menukar wang kepada Rupiah (sebagai bekal, yang akhirnya separuh kembali ke nilai Ringgit), kami membeli tiket KLIA Ekspres ke KLIA 2.

Perjalanan bakal bermula. Kali pertama menaiki pesawat. Dengan pelbagai peristiwa lucu berlaku sampai masuk ke perut kapal terbang.

Jam 1.59 petang, kami sudah berada di dalam pesawat Air Asia. Saya masih belum kenal semua rakan kembara lain, walaupun sudah bertegur seorang dua ketika di surau.

3.42 petang. Selesai urusan di Bandara Minangkabau. Mayang menanti di sana. Kami menunggu bas yang akan membawa kami meneroka Tanah Padang. Di sinilah saya kenal beberapa rakan bujang yang lain. Kak Hanim, Amira, Nisa, Kak Kiti dan Nazza. Dan ustaz  Ahmad Taqiyudin yang beratur di belakang saya dan Wanza ketika di Bandara.

Perkenalan bermula dan foto #gengsingle terakam di mana-mana. #gengsingle yang lain datang sendiri dan kenal di sini. Fuh! Semangat. Sedang saya hanya berani datang berdua.

Perjalanan bermula. Di dalam bas, bermula perkongsian tentang Tanah Padang. Banyak. Sayang lantaran saya tidak merakamnya. Banyak maklumat yang saya lupa. Individu penting selama di sini ialah Hendri Ilham, Septi Mayang Sari, dan Mulia Mitrahadi. Mereka banyak berkongsi tentang Tanah Padang Panjang.

Destinasi pertama kami ialah Rumah Makan Lamun Ombak. Kami makan siang walaupun sudah agak terlewat. Cuaca di sini terik. Terasa panasnya. Alhamdulillah! Makanan di sini sedap. Selama di sana, tidak sempat lapar, sudah makan lagi. Memang tidak perlu beli makanan lain, selain jalan-jalan, makan sentiasa kenyang.

Menempuh perjalanan hampir dua jam di dalam bas. Tidak terasa kerana dilatari pemandangan asing yang mengujakan. Mata tidak lepas ke luar tingkap. Sambil-sambil mendengar penerangan daripada Hendri Ilham dan Mayang.

Seterusnya, kami singgah seketika di Air Terjun Lembah Anai. Sejuk airnya. Hanya terletak di tepi jalan. Sekadar  untuk menangkap gambar dan merasai dinginnya air. Di sini ada perkhidmatan ambil gambar dengan kos tertentu. Selama di sana, banyak kami belajar betapa mereka kreatif dalam usaha mencari sara diri. 

Akhirnya, aku menulis begini:
“Air terjun
yang mengajari kita
tentang
keberanian
dan kegigihan.”
Sepanjang perjalanan, kami disaji kehijauan alam. Subhanallah!

7.32 malam. Sampai di Surau Nagari. Tempat HAMKA pernah mengaji dan dirawat ketika sakit campak. Ada sejarah dan kisah surau ini. Di tempat inilah terilhamnya kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

“Bukan hanya untuk mengenal siapa Rasyidah. Namun lebih daripada itu. Bagaimana dia mampu ‘mengubah’ kisah hidup menjadi sebuah kisah yang menarik.” Demikian catatan saya usai melawat surau ini.

Perjalanan diteruskan untuk makan malam. Unik kedainya. Kami makan di tingkat atas. Bersimpuh, diteman cahaya bulan terang, dan hujan renyai. Kedai Ayam Penyet. Fuh! Memang sedap. Namun bagi orang yang tidak tahan pedas seperti saya, boleh tahan!

Malam itu kami menginap di Flamingo Hotel. Memang lena tidak ingat dunia, setelah melalui perjalanan panjang hari itu. Sempat juga menukar bilik, hanya kerana mahu bilik berdua dengan teman sekembara; Wanza. Ah, terasa nakal pula!

14 Disember 2016
Hari kedua bermula segar. Awal kami turun pagi itu. Sempat bergambar sepuas hati sebelum sarapan. Lega. Melihat matahari, melihat alam. Oh, saya berada di Tanah Sumatera Barat Sedang menikmati perjalanan ini. 

Destinasi pertama kami ini hari ini ialah Rumah Gadang yang kini menjadi Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau. Memang cantik. Kami diberi penerangan tentang peranan Rumah Gadang dalam adat Minangkabau. Paling seronok, mencuba busana pengantin. Peluang harus dimanfaatkan!

Selesai di sini, kami ke MA KMM Kauman, lokasi HAMKA mengajar suatu masa dahulu. Di sini ada sesi bersama Pak Surya dalam slot Cinta dan Air Mata. Selain sesi motivasi untuk para pelajar sekolah oleh Syed Faiz, seorang motivator yang bersama dalam kembara ini. Mendengar pengisahan oleh Pak Surya, emosi juga! 

Selesai di sana, makan lagi. Kali ini di Pondok Baselo Baramas untuk makan siang. Makanannya usah dikata lagi. Sedap.

Seterusnya kami singgah solat di Masjid Asasi Nagari Gunung sebelum meneruskan perjalanan ke Maninjau. Sempat juga singgah di Kutubchanah Ayah Buya HAMKA. Melihat buku-buku dan majalah lama. Kami berpeluang bertemu sepupu Buya HAMKA yang menjaga kutubchanah ini. Bahkan sekejap meninjau Danau Maninjau dari dekat.

Selesai, kami ke lokasi bermalam yang letaknya di sisi Danau Maninjau. Seronok. Disebabkan hanya bilik sebelah, saya tidak menukar bilik kali ini. Sempatlah meninjau senja di Danau Maninjau. 
Malamnya pula singgah di masjid yang agak baru dibina sebelum makan malam.

Sehari terasa terlalu sekejap. Tidak puas melakukan aktiviti, sudah tiba masa untuk berehat, sebelum meneruskan perjalanan.

15122016
Lokasi pertama kami pagi itu Rumah kelahiran HAMKA. Penceritaan oleh anak buah beliau, Pak Hanif.  Penceritaan penuh perasaan diselang ketawa dan rencam rasa. Kisah HAMKA sejak kecil. Mendengar cerita ini pula di rumah kelahiran beliau. (Nota: Pak Hanif baru meninggal dunia 18 Mac 2017. Allahummagh fir  lahu) 

Seterusnya kami ke Puncak Lawang walaupun matahari makin tinggi. Di sini ada pengisian dan bergambar. Memerhati Danau Maninjau dari atas. Memang asyik jika berada di sini bersama pena dan kertas, ditemani pula secangkir kopi.

Turun dari Puncak Lawang, kami singgah di kilang tebu tradisional untuk melihat cara kerja di sana. Mereka menggunakan kerbau yang ditutup mata untuk mengisar tepu untuk dijadikan gula.
Selesai di sana, kami makan siang sebelum ke Bukittinggi. Kami solat di Masjid Raya Bukittinggi dan membeli belah. Kerana memang tidak berhajat membeli belah, saya hanya membeli key-chain sebagai cenderahati.
Selesai, kami menuju ke Musafir-Inn untuk bermalam. Kami makan malam di Pondok Ikan Bakar. Yang menarik, kami dihidangkan seorang seekor ikan bakar yang memang puas dimakan.

Akhir sekali, kami singgah di pantai Padang untuk bergambar dan ambil angin. Ini malam terakhir kami di sini. Beratnya mahu meninggalkan.

16122016
Kami bangun pagi untuk menuju Bandara. Kembara bakal tamat. Maafkan aku, kerana sehingga sudah, tidak berjaya berkongsi walau sebaris ayat atau ucapan terima kasih untuk kembara ini.
Kami mendarat di KLIA 2 dan meneruskan rutin masing-masing. Alhamdulillah, ukhuwah yang terbina dalam kembara masih berterusan di dunia maya.

Catatan Penutup
Apa yang penting dalam sebuah perjalanan? Ibrah yang engkau dapat hasil perjalanan itu.
Engkau ingin mencari ibrah. Lantas seharusnya engkau temui sesudah engkau menjejak Tanah Padang. Lebih daripada sekadar bergambar, melihat alam, dan tertunduk kagum dengan alam yang selama ini engkau baca  dalam buku-buku HAMKA, kini terentang depan mata. Apakah rasanya?

Alhamdulillah! Alam yang menginspirasi dan menjadi latar beberapa tulisan HAMKA. Bukankah alam juga sebagai guru? Aku mencari Zainudin, lalu yang kutemui diriku sendiri.

Terhidang sudah alam dan manusia lain sebagai guru, adakah kita mahu mengambil pengajaran.Tinggal mahu atau tidak!

Kembaralah, berjalan bukan hanya menambah kenalan, bahkan membuahkan banyak pengajaran.

Comments

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub