23 July 2017

Terima kasih, guru!

Semasa bertugas sebagai subeditor, aku sering menolak jika diminta menulis atau menyediakan artikel gantian untuk majalah. Rasa tidak yakin untuk 'menghidangkan' tulisan kepada pembaca sentiasa menghantui.

Namun ketika awal bertugas, aku diminta menyediakan tulisan segmen Vice Versa, sebanyak separuh muka surat. Hanya tulisan ini yang aku bertahan tulis, sebab aku bebas menulis apa sahaja dengan tema vice versa. Sampai ruangan itu ditamatkan...

Dalam tempoh aku bekerja, beberapa kali aku bersetuju menulis. Terima kasih guru-guru yang tidak berhenti memintaku menulis. Akhirnya, tulisan-tulisan inilah yang menjadi bukti penulisan, kerana sudah tersiar si media cetak, bukan hanya berselerak di media sosial aku...

Terima kasih, guru-guru.

.............
Kita menghargai, apabila kita sudah meninggalkan. Ketika itulah kita sedar betapa berharganya saat yang bernama kesempatan bersama. Ketika itu kita diajar dan belajar banyak perkara. Walaupun aku bukanlah 'pelajar' yang baik.

Alhamdulillah, untuk kesempatan bersama. Terlalu banyak hal yang aku belajar selama bersama. 🌈💾

#ilahusnabebel
Nota: #moveon Ada jalan!

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

20 July 2017

Sabar

Kalaupun bukan bunga yang ada dalam genggaman, jangan sesekali kecewa. Selama mana ada dalam hatimu “rasa”, bunga akan engkau genggam semula.

Bisikkan dalam hatimu, “sabar dan bertenang,”. Semuanya akan reda dan kebahagiaan akan jadi milik kamu semula. Jangan terlalu menangisi, cari kekuatan untuk kembali bangkiot. Bangkit melawan raksasa dalam diri.


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

19 July 2017

Ilham

Yang bernama ilham atau idea itu, datangnya hanya sekali. Jika tidak dituliskan, jarang dapat diinat kembali. Jika datang semula, bentuknya tidak lagi sama. Jika lebih baik, alhamdulillah.


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

18 July 2017

Benarkanlah

Hati tidak akan pernah berhenti berkata-kata. Ajarilah hati untuk mengucapkan semua keindahakan dan membisikkan kebesaran kerana Allah. Benarkanlah diri meyantuni akal. Benarkanlah iman menyantuni kita, pimpin diri menuju Yang Esa.


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

17 July 2017

Perjalanan

Perjalanan mengajar kita banyak perkara. Membuatkan kita tahu perkara-perkara yang kita tidak tahu sebelum ini. Terima kasih rasa yang membawaku pulang.


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

16 July 2017

Panggilan

Allah tidak pernah penat memanggilmu kembali, dengan banyak cara. Engkaulah yang mesti menyedari.
20112015


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Saya Sayang Kamu Kerana Allah

#ilahusnabebel 3
Saya Sayang Kamu Kerana Allah.


Ini perbualan aku dan rakanku. Rakanku yang baik. Rakan yang menerima diriku seadanya. Aku rakamkan kembali kisah itu.

Latar: Di tepi tasik yang airnya berwarna seiras teh susu. Waktu pagi usai menyedut angin pagi nan nyaman. Aku mengajak dia duduk di astaka yang ada di tepi tasik itu. Lalu terjadilah bicara ini, bicara tepi tasik.

[Rakan]: Awak... Saya sayang awak! Uhibbuki fillah. Serius. Awak akan graduasi, saya masih ada dua semester di sini. Sedihnya saya.

[Aku] : Buang tabiat. Tanpa angin, tiada ribut cakap kamu sayang saya...Kamu pun akan graduasi...Amin.

[Rakan]: Lambat. Nanti awak sudah kerja, ada keluarga, saya di sini lagi. Siapakah yang akan menjadi sahabat saya?

[Aku] : Lawak! Ramai kawan lain. Bukan saya seorang kawan kamu.

[Rakan]: Semua tidak sama dengan awak. Awak lain.

[Aku] : Lain? Adakah saya seperti alien?

[Rakan]: Awak baik. Saya suka kawan dengan awak. Bukan sebab awak cantik, bukan sebab awak pandai, bukan sebab awak berketerampilan....

[Aku] : Awak mengata saya?

[Rakan]: Sejak bilakah awak sensitif. (ketawa sopan) Saya belum habis cakap. Awak dengar apa yang saya mahu cakap. Awak tahu, saya tidak menyesal kenal awak. Saya rasakan Allah hantar awak kepada saya untuk saya belajar dengan awak. Belajar macam-macam. Awak sudah lima tahun kenal saya. Awak tahu perangai saya lima tahun dahulu dan sekarang. Terima kasih, awak.

[Aku] : Betul putus fius kamu ini. Saya tidak buat apa-apa pun pada kamu. Saya mana pernah pedulikan hal kamu.

[Rakan]: Sampai hati awak....

[Aku] : Aik, dia pula nak merajuk.. Kenapa, ada masalah?

[Rakan]: Masalahnya, saya terhutang budi dengan awak. Saya tidak dapat membalas kebaikan awak. Saya tidak tahu bagaimana mahu lontarkan, tetapi saya rasa terhutang dengan awak.

[Aku] : Kamu ni, saya tidak faham cakap bersimpang siur begini.

[Rakan]: Andainya saya 'pergi' sebelum awak...

[Aku]: Ha, sudah! Keluar ayat luar alam... Awak, pertemuan, perpisahan Allah dan tentukan di Atas sana. Tidak perlu fikir tentang perpisahan. Selagi Allah mahu kita bersama, awak kena yakin yang kita akan bersama hingga Allah tamatkan tempoh pertemuan kita...Allah izin, Allah akan temukan kita juga. Jauh atau dekat. Dalam mimpi atau jaga. Dan... ingatan kamu dalam doa-doa yang kamu baca setiap hari.. Kamu sebutlah saya dalam doa kamu. Doakan yang baik-baik untuk saya.

[Aku]: Saya takut. Hari-hari mimpi pelik. Teringat macam-macam.

[Rakan] : Awak terlalu banyak fikir. Takut saya graduasi awal. Inilah. Itulah. Positif! Banyakkan baca surah al-Insyirah. Cuba halau bisikan jahat dalam diri. Awak kena yakin.

[Aku]: Saya cuba, saya masih terbayang. Saya mahu lama dengan awak.

[Rakan] : Saya cakap tadi. Semua kerja Allah. Allah tahu yang terbaik. Durrah, kita kan akan graduasi nanti, kamu juga akan kahwin, akan ada keluarga sendiri, kamu kena hadapi semua tu. Kamu harus berani!

[Aku]: Entahlah!

[Rakan] : Awak sedar, kita yang kontrol apa yang ada dalam fikiran kita. Kamu tidak boleh pesimis. Kamu harus yakin! Itu kunci. Kamu kena belajar terima kenyataan. Lawan dengan perasaan dalam diri tu. Lama-lama ia akan hilang. Percayalah.

[Aku]: Saya tidak kuat macam awak.

[Rakan] : Tengok! awak macam kecewa dengan diri sendiri. Macam mana diri akan kuat. Kamu kena yakin satu perkara. Yakin Allah sahaja yang tahu semua tentang kamu! Durrah buat apa-apa sebab Dia. Durrah hidup sebab Dia pinjamkan kamu kehidupan.

[Aku]: ....

[Rakan] : Awak lihat saya. Tengok mata saya. Durrah janji, Durrah kuat! Durrah janji, Durrah tidak buat benda pelik-pelik. Macam dulu-dulu. Tindakan kamu memang buat saya sakit jantung kadang-kadang. Fikirlah jauhc ik Durrah...

[Aku]: Malu saya ingatkan kisah lama. Terima kasih, awak. Tengok! Banyaknya saya hutang dengan awak.

[Rakan] : Awak tidak perlu balas. Allah tahu kita saling memerlukan. Awak doakan saya selamat, saya bahagia dunia Akhirat. Titik.

[Aku]: Awak...

[Rakan] : Terima kasih, Durrah. Sayang awak juga. Uhibbuki fillah kaman. :) Semoga pertemuan dan perpisahan kita hanyalah kerana Allah. Hanya kerana Allah. Amin.

[Aku]: Amin, ya Rabb...

Nota: "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri. " [diriwayatkan Bukhari dan Muslim] -hadis ke-13, Hadith 40 Imam Nawawi.

15 July 2017

Menjengah


Sesi membebel pagi Sabtu. Terima kasih Puan Nurul Amirah yang sudi menadah telinga. Semoga kerjasama berterusan.

Dan menerima semula "buku hujan" daripada Wanie Suhaini yang serba merah hari ini. Terima kasih!

Dan juga, sudah ada siri SOLUSI ketiga. Terbaiklah Ustaz Luqman. Setiap kali ke Booktique, ada buku baharu.

Tidak dilupakan Siti Khodijah Che Mee yang tetap berjasa membawa kawannya pulang.

Gembira

Belon berwarna-warni
Yang mengembali senyum
Kata-kata yang membuahkan tawa.
Aku ria.
Tinggalkan tangisan dalam jiwa.

09082015

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Takdir Allah Terindah

Jangan berhenti berdoa, dan jangan putus asa dengan suatu kegagalan.

#ilahusnabebel 2
Takdir Allah Terindah


“Takdir Allah terindah.”

Berulang kali ayat itu bergema dalam diri. Tatkala diri sedang berusaha melawan kata-kata dalam diri sendiri dan menerima kenyataan. Siapakah yang lebih memahami dirinya melainkan diri sendiri?

Pecah empangan yang ditahan-tahan sedari tadi. Aku pejamkan mata. Rapat-rapat. Kejadian minggu lalu hadir dalam ingatan. Ketika aku merasakan keberadaan aku di universiti ini bukan lagi keputusan yang terbaik. Dan aku mahu mengisi borang pertukaran universiti.

“Awak, saya mahu tukar universiti. Saya tidak tahan berada di sini. Universiti bagus tetapi saya langsung tidak berubah.”

“Terpulanglah. Itu keputusan kamu. Siapalah saya untuk membantah apa yang kamu mahu lakukan. Diri kamu yang menanggung akibatnya.”

Selesai di situ sahaja perbualan aku dan kawan sepengajianku. Masing-masing angkat kaki untuk pulang ke asrama. Lalu persoalan itu seakan ternokhtah di situ. Namun dalam fikiran aku itu bukanlah suatu mainan perasaan atau sekadar cakap-cakap. Serius aku mahu melakukannya. Namun sayang akan universiti ini mengatasi keinginan hati.

Malam itu sunyi. Jam dua pagi. Air mata tumpah lagi membasahi sejadah. Aku luahkan kepada Allah segala perasaan. Mencurahkan semua isi hati yang seakan hilang semua perasaan. Lantas selesai solat witir, aku meletakkan kepala di atas bantal.

Bayangan putih menghampiri. Sekujur tubuh memandang sayu wajahku. Mukanya beriak kesedihan.

“Mak?” Aku bersuara sendiri.

Lalu aku terjaga. Berpeluh. Mengapa bayangan arwah ibu hadir dalam mimpi. Adakah keputusan ini sebenarnya satu kesalahan? Lalu aku membuat pilihan lain. Biarlah aku terus berada dalam universiti ini, namun tekad belum berubah. Mahu menukar jurusan lain. Selang seminggu, semua urusan selesai.

“Kamu tidak sayang ayah? Mengapa kamu lakukan ini pada ayah? Apa salah ayah sampai kamu rahsiakan semuanya daripada pengetahuan ayah.”

Malam itu aku bermimpi ayah yang berada di kampung. Ayah tidak tahu aku mahu menukar jurusan.
Ini tentang suatu kisah. Kisah seorang aku yang dahulunya selalu menanam angan-angan untuk belajar bahasa Arab dan cuba untuk memahami kalam-Mu. Lalu, Engkau makbulkan keinginan aku. Aku ditawarkan belajar dalam bidang ini. Lalu, setelah beberapa tahun, aku seakan jemu dan mahu berpatah balik.

Sesungguhnya tekad akulah yang belum jitu. “Sesungguhnya Ya Allah, inilah keputusan terbaik untukku. Semoga selepas ini tidaklah hati ini dirasuk bisikan jahat itu lagi. Kasihan ayah berkorban semuanya, kasihan kakak mengeluar belanja, kasihan sahabat menahan telinga.

Ya Allah, sesungguhnya aku sudah menyusahkan ramai orang. Aku telah menyebabkan ramai pihak terlibat hanya kerana seorang aku.”

Hingga akhirnya aku menerima keputusan untuk diri. Menamatkan pengajian tanpa skrol ijazah. Aku ditendang daripada universiti kerana gagal dalam banyak subjek pengajian. Tidak memenuhi kelayakan berada di universiti itu.

Namun Allah Maha Mengetahui. Rezeki ada. Rezeki ada, cukup untuk aku. Cukup untuk aku meneruskan kehidupan harian. Yang penting aku tidak terus menatap hari semalam yang tinggal kenangan.

Takdir Allah terindah. Percayalah. Jangan berhenti berdoa, dan jangan putus asa dengan suatu kegagalan.

14 July 2017

Sembunyi

Mencari makna tersembunyi
di sebalik kata-kata
penuh rahsia
tanpa dapat menduga

06052015

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Kesabaran itu Belum Teruji

Ikhlaskanlah hati melalui hari. 

#ilahusnabebel 1
Kesabaran itu Belum Teruji


“Kesabaran kamu belumlah teruji kala kamu memperkatakan tentang kesabaran atau kamu menuliskannya di kertas. Namun kesabaran itu diuji ketika kamu menghadapi situasi.”

Entah di mana aku terbaca akan petikan ini. Hanya ingat maknanya, lalu aku kongsikan di sini. Kata-kata ini sering sahaja terlantun dalam diri aku minggu ini.

Mengingatkan diri untuk bersabar dan terus bersabar dengan diri sendiri. Aku tahu, ketakutan yang ada dalam diri tidak akan hilang selagi aku tidak menghalaunya. Ketika aku mengikut ketakutan itu dan melayannya, kekuatan diri aku sendiri yang hilang.

Selama ini aku lari. Tiga tahun aku di tempat pengajian mengikut kata hati. Peristiwa yang terjadi semester lepas menjadi luka yang sangat dalam, meninggalkan parut dalam hati. Kesan kepada pelajaran hari ini. Kesan kepada diri. Aku masih mencuba. Cuba menghadapi kenyataan walaupun payah. Cuba melawan diri sendiri meski bukan senang.

Aku tidak akan tahu selagi aku hanya duduk diam di situ. Di takuk itu. Masih seorang yang kurang sensitif kepada persekitaran dan semua dan pentingkan diri sendiri.

Kawan yang terbaca tulisan ini, jadilah seperti pohon yang sentiasa memberi buah yang manis atau yang meneduhkan orang. Bukannya seorang yang hanya pentingkan keperluan dan kehendak diri sendiri. Kita tidak akan menjadi pohon itu jika kita hanya berdiri kaku tanpa mahu membuka mulut untuk bertanya dan ambil berat tentang orang lain.

Hingga akhirnya kita akan tahu yang ujian yang sedag kita lalui terlalu kecil. Laluan yang sedang kita lalui lebih mudah daripada yang sedang orang lain harungi. Teruntuk aku, bukalah semua pancaindera dan lihat sekelilingmu. Pastikan setiap hari ada kebaikan yang sedang engkau lakukan, agar tidak hari ini berlalu dengan sia-sia. Walau hanya satu kebaikan kecil.

Ya Allah, ikhlaskanlah hati aku untuk melalui semuanya. Tadi, gara-gara hati yang berat untuk ke kelas, mengantuknya tidak terkata. Kemudian, terlantun dalam diri: “hm, aku tidak ikhlas. Bagaimana nak dapat ilmu, itu yang mengantuk dalam kelas. Tidak langsung fokus.”

Keikhlasan yang dicari memang tidak nampak namun pasti terzahir juga. Orang yang baik akan sentiasa diingati. Orang yang tidak jujur hidupnya tidak beri manfaat kepada orang lain.
Sungguh.

Benar. Sesungguhnya kesabaranku belumlah teruji...



13 July 2017

SALAM RINDU BUAT YANG DI KEJAUHAN

Dari belakang: Jamilah, Amirah, Wan Nor Zadilah
Di kejauhan, aku mendoakan kalian dijaga Tuhan, selalu. Menjadi tulang belakang dan wira belakang tabir setiap majalah yang dihasilkan saban bulan. Semoga selalu kuat.

Aku tidak lagi berada di sana, namun mustahil untuk aku melupakan. Setiap ketawa, senyuman, gurauan, makan-makan dan perkongsian selama berada di sana, tetap kekal dalam ingatan. Walaupun mungkin aku tidak mampu ingat secara jelas.

Teruskan melangkah dengan gagah, kalian. Kaki aku patah, itu sebab aku melangkah ke belakang, meninggalkan setiap kecintaan yang tertinggal di sana, dan memilih untuk memandang dari jauh. Untuk perubahan, ada yang harus meninggalkan.

Kalian mampu dan kuat. Semoga SOLUSI dan AL-USTAZ terus menjadi bahan bacaan pilihan. Terus memberi manfaat kepada masyarakat, terutama diri kita.

Rindu.
Aku yang memandang di kejauhan.

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

#ilahusnabebel? ...Bermula Kisah


Sebuah catatan pencari cinta Ilahi,
punya cita-cita melangit tinggi,
namun hakikatnya diri rapuh meniti hari,
dia mahu kuat meniti hari,
bergelar seorang penghuni bumi Ilahi,
yang ingat hakikat penciptaan diri.

Aku menulis kisah-kisah ini-yang aku katakan sebagai #ilahusnabebel- kerana aku harus menulis. Apabila aku menulis, aku lega.

Semacam terlepas isi dalam kepala yang menjadikannya ringan. Tulisanku banyaknya hanyalah kata-kata yang boleh dikatakan sebagai contengan. Namun padanya ada pengajaran. Aku masih tidak menulis secara serius walaupun setiap tahun aku ke bengkel penulisan.

Aku hanya melihat seorang demi seorang kawan dan kenalan menghasilkan buku. Aku tidak lagi menulis dengan erti kata menulis sebenarnya. Aku menulis perkara yang aku terfikir ketika itu. Ada yang aku reka, ada cerita benar yang mahu aku abadikan.

Aku tidak tahu minat menulis itu bermulanya saat mana, namun aku hanya tahu yang aku rasa bahagia saat jemari melarikan satu demi satu huruf di papan kekunci. Atau paling tidak aku menconteng kertas dengan kata-kata yang aku mahu tulis. Aku tidak tahu yang aku mahu tulis ada kalanya.

Aku rasa mahu menangis, sambil air mata mencurah, aku tulis satu demi satu perkataan. Kemudian, aku bahagia. Rasa marah, rasa geram, rasa sedih, semua rasa aku tidak mampu terjemahkan dengan kata-kata.

Ya Allah, terima kasih!

Aku tidak kuat dalam pencarian ini. Sering dan terus tersasar langkah kaki daripada arah sebenar perjalanan dalam mencari makna diri. Hati yang aku miliki terlalu kecil mungkin untuk kembali mengukir impi setinggi langit, merenung dalam-dalam hakikat kejadian diri dan berusaha mencari ‘bakat’ yang Allah telah bekalkan dalam diri ini. Benar. Hati yang kecil tidak membenarkan diri melangkah jauh ke dunia cita-cita yang aku impikan suatu dahulu.

Aku makin takut untuk bermimpi atau memandang jauh ke hadapan. Apa yang aku nampak adalah hari ini yang aku lalui. Hari ini penuh warna, esok kelabu, lusa putih, tulat hitam dan hari-hari seterusnya yang kadang aku sendiri tidak mampu menjangka itulah hari yang pernah aku lalui. Tidak seperti hari-hari mudaku yang penuh dengan semangat untuk memburu sebuah impian.
Impian menjadi seorang penulis.

Pada orang lain, tentu mereka punya citra dan cita yang mahu dicapai dalam hidup. Makin besar hatinya, makin tinggi impinya, makin besar usahanya. Tentunya semuanya dilorong oleh pengharapan dan doa-doa yang tidak putus dalam meneruskan hari. Aku bahagia.

Aku tumpang gembira melihat seorang demi seorang teman-temanku mencapai kejayaan dalam hidup dan kehidupan mereka. Aku tumpang senyum melihat kejayaan orang lain.

Sampai bila? Sampai bilakah aku hanya menjadi pemerhati yang melihat daripada jauh dan belakang orang lain dan duduk jauh-jauh tanpa turut menyertai kejayaan itu? Sampai bilakah wahai diri?
Tidak salah gagal. Gagal berkali-kali dengan sebab yang sama tanpa mahu membetulkan keadaan itulah yang celaka. Mengapakah kamu hanya melihat kegagalan yang pernah kamu lalui seolah-olah hanya sebahagian kisah hidup yang perlu kamu harungi?

Sedarkah kamu yang Allah tidak berikan kamu kegagalan melainkan untuk bangkit dan kembali berjuang melawan kegagalan itu. Tebuskan kegagalan dengan menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Melihat orang lain tidak salah, namun cucilah karat dalam hati. Hati nan kotor menyukarkan diri untuk menerima ilmu yang mana kata Imam Syafei: Ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak menembusi hati yang kotor. Lantas bagaimana ilmu akan melekat jika yang dimiliki oleh kamu ialah hati yang berkarat bertahun-tahun terbiar tanpa penjagaan yang sewajarnya. Di manakah kamu tinggalkan bahan pencuci yang dapat menyental hatimu biar kembali berkilat dan bisa cahaya ilmu masuk ke dalamnya?

Terasa jauh. Jauh benar aku tersasar.
Allah, lorongkan aku jalan.
Kembali ke jalan kebenaran.
Biar matiku kelak bukan hanya jasad tertanam namun amalan berjalan.
Usah terlalu asyik melihat diri orang lain.
Hingga lupa diri yang perlukan perhatian.
Hati yang perlukan belaian.
Sinar iman yang makin malap.
Allah, kembalikan hati itu..
Aku dambakan kasih-Mu Ya Allah,
Ingin aku teruskan kehidupan dengan suatu erti,
Memberi erti bukan hanya menyusahkan.
Memberi bukan hanya menerima.
Memberi bukan hanya melihat.

Ya Allah, jangan biarkan hari-hari suram oleh gelap dosa yang menutup cahaya daripada menembusi jiwaku. Dosa yang membuatkan aku terus dan terus menambah dosa. Ya Allah, berikan orang yang aku sayangi hidayah berterusan agar mereka terus beroleh keberkatan dalam hidup, mendapat kebahagiaan yang dicari dan mencapai segala kebaikan buat diri mereka.

Sesungguhnya orang beriman itu rindukan kematian kerana itulah permulaan kehidupan menuju Allah.

Dengan tekad untuk mengabadikan kisah dan tulisan, aku kembali menukilkan kata-kata di sini. Kata-kata yang sedang kalian tatap. Semoga kata-kata ini kembali menasihati diri kala dia terlupa, dan ada yang terlekat di hati kalian yang membaca.

Nota: Tulisan-tulisan #ilahusna banyaknya tulisan yang pernah aku tulis sebelum ini, dan aku tulis semula. Terima kasih kerana membaca.

Cantik

Kecantikan sebenar lahir daripada keindahan budi, kesantunan akhlak, juga kehalusan bahasa.


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

12 July 2017

REUNIC; Kenangan Apri 2017

Ini cerita malam itu. Entah bagaimana saya boleh terjebak. Mungkin kerana ingin mengenang lagu-lagu yang dulu jadi mainan bibir.

Dulu.. 15 tahun yang lalu, saya masih bersekolah menengah. Dan tentu sahaja 'membesar' dengan lagu-lagu mereka. UNIC.

Dalam banyak lagu yang kita dengar, tentu sahaja kita ada lagu-lagu yang kita suka, dan masih bermain dalam kepala.

Lirik lagu selalu "menambat" saya sebelum terpesona dengan lagu. Dan malam itu, nama Ustaz Pahrol diingati sebagai penulis lirik, dan Ito Lara, penulis lirik yang selalu bikin saya terpesona dengan lagu. Juga penulis lirik lain, komposer dan seluruh warga kerja yang bekerjasama  sehingga lagu boleh kita dengar, terima kasih.

Yang saya mahu ingat tentang malam itu, tentulah yang manis-manis sahaja. Seniman, mereka ketawa dan bergurau di depan penonton, hati mereka siapa yang tahu?

Ketika lagu "Bintang Syurga" dinyanyikan, dan melihat penyanyinya tak tertahan sebak, saya yang di kerusi paling belakang terus tersentuh. Antara lagu yang sebenarnya boleh jadi pembakar semangat dan juga sebabkan air mata mengalir tanpa sedar.

Keseluruhan lagu, memang mengimbau kenangan. Betapa saya sudak menginjak usia, namun masih terperangkap dengan lagu-lagu lama yang jadi nostalgia. Liriknya. Liriknya memberi makna.
Tentang lagu-lagu yang kita dengar, kitalah yang memaknakan ia dengan kefahaman sendiri. 

Mungkin bagi penulis lirik lain, bagi penyanyi lain, dan bagi saya lain. Memori tidak sama, meski kita pandang dan dengar sesuatu yang sama.


Tentang malam itu, terima kasih  Wardah Safiah Wanza Mohamad dan Siti Khodijah Che Mee yang bersama-sama. Malam yang akan diingati.

#reunic

Tuliskan Rasa-rasa Yang Berselerak


Aku selalu ingat pesan ustaz kepadaku pada suatu hari, “Tuliskan semua rasa dalam sebuah buku.” (Walaupun aku akhirnya tulis berselerak dalam banyak buku).

Benar. Saat aku banyak bercerita dengan manusia, aku lupa bercerita dengan Dia dan tinta. Aku lupa menulis rasa yang boleh aku ulang baca dan ingat. Sebab tidak semua rasa aku mampu simpan dan imbas semula.

Menggerakkan mata pena itu mudah. Mencurahkan kata-kata indah itu tidak payah, selagi jiwa belum lupa kepada Allah. Engkau harus ingat itu. Seribu kata-kata yang kau tuliskan, hanya bermakna ketika kau zahirkan semuanya jadi amalan.

Selama engkau mampu menulis, lakarkanlah semua jadi kata-kata. Biar lega semua rasa, biar pergi semua rasa, yang tingga lega. Bukan sebab engkau mahu lari daripada masalah, hanya cuba melerai gelora jiwa dengan memindahkannya jadi kata-kata.



"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Catatan Usai Cuti Panjang

1
Sudah beberapa tahun aku menjadikan rumah sewa ini seperti rumah sendiri. Dan Syawal ini, aku menerima perkhabaran yang tuan rumah ini mahu menjual rumah ini sebab tiada anak-anaknya yang mahu mengurus rumah ini. Bermakna aku perlu bersedia untuk berpindah.

2
Konon-konon aku mahu menyambung pengajian di ASWARA. Namun aku tidak menghantar sijil yang sepatutnya aku hantar. Bermakna, permohonan aku ditolak secara automatik.

3
Terserempak kawan lama yang berkata, "Bahagianya lihat kehidupan awak."
Alhamdulillah jika itu yang terlihat pada pandangan orang lain. Yang sedih-sedih kita simpan dalam hati. (Banyak juga terluah dalam tulisan)

4


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

02 July 2017

Catatan Pendek

I
Semakin meningkat usiaku, semakin banyak hal yang menjadikan aku jadi makin pendiam. Lebih banyak dan makin mendiamkan diri. Sesekali aku cuba beramah, akhirnya aku memilih untuk kembali diam.

.
II
Soalan yang ditanya semasa cuti lepas, kerja apa sekarang? Bila nak terbit buku baharu?