19 April 2017

Kenang-kenangan Hidup


Aku tidak pasti adakah pernah sekali aku menyudahkan bacaan keempat-empat buku ini.  Seingat aku, sebelum ini juga aku hanya menyudahkan bacaan hingga Buku Ketiga, kemudian aku letak kembali di rak.

Buku Kedua menjadi kegemaran aku. Sebab HAMKA bercerita tentang dunia kepengarangan beliau. Banyak perkongsian yang boleh dijadikan teladan. Bagaimana jadi pengarang? Siapa yang dikatakan seniman? Apa itu seni dan keindahan. Persoalan-persoalan ini sedikit sebanyak terjawab dengan membaca Buku Kedua Kenang-kenangan Hidup. 

"Seniman adalah orang yang lekas terharu melihat atau mendengar yang ada di sekelilingnya."
Buku Pertama dan Kedua membicarakan kisah beliau sejak kelahiran hingga zaman kemuncak beliau dalam dunia penerbitan dan kepengarangan.

Ah, betapa perlu juga pengarang menukil kisah hidupnya, untuk dibaca dan diteladani orang terkemudian.

Kata mahu mengenali HAMKA, bolehlah bermula dengan menyudahkan bacaan buku ini.

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Ulang Baca

Ulang baca status-status di Facebook yang belum dipadam. Baca kembali catatan-catatan di blog manuskrip bawah meja.
Catatan yang mengimbau ingatan kepada kisah semalam, yang jauh ditinggalkan. Yang ada dan perlu diperhati, hari ini untuk kita hadapi.
Sudah baca kembali, ingatlah semula setiap janji yang pernah kautabur, setiap kata yang minta dikota. Jangan sampai kata-kata makan diri.
Beruntung kita boleh baca kembali catatan, agar boleh kita lakukan perubahan. Bagaimana kelak bila kita di depan Tuhan? Pada hari perhitungan dan pembalasan.

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

15 April 2017

Langkah-langkah Kecil


Apabila kita memilih untuk "mematikan" satu langkah, lalu, kita mula berfikir untuk memulakan langkah baharu. Lantaran jalan baharu perlu kita tempuh selepas itu. Perjalanan ini kita yang pilih. Semoga dibantu Dia.

Sebagai permulaan, aku masih 'mengikat' diri sendiri sebagai Admin media sosial majalah Telaga Biru. Sementara Solusi kembali 'stabil' dan ada seseorang yang dapat menjaga sepenuhnya. Nanti, akan aku lepaskan jua. Jujur, aku belum mampu melepaskan tanggungjawab itu. Aku tidak tahu kesannya kepada jualan, namun aku mahu terus pembaca tahu yang Solusi sentiasa mahu berkongsi dengan mereka. Semoga ada yang tergerak untuk membeli dan melanggan. Meski seorang.

Seterusnya aku mula berjinak-jinak dengan jualan buku. Baru permulan awal. Terlalu awal. Masih jauh langkah. Semoga tercapai impian aku kelak, mahu memiliki sebuah kafe buku. Kafe yang menjual buku dan menjadi tempat pencinta buku berkumpul. Semoga. (Mimpi itu, percuma bukan?)

Aswara. Selepas empat tahun aku memohon kembali sebagai pelajar Aswara. Baru memohon secara atas talian, semoga ada rezeki untuk aku ke sana. Ya. Aku perlu 'berehat' seketika, dan kembali bergelar pelajar. Kadang, kita perlu berundur, untuk melakukan lonjakan yang lebih tinggi. Amin.

Sela "masa lapang" yang aku ada, memang seakan nampak aku hanya ada di dunia maya. Semoga keberadaan aku di dunia maya, bukan hanya keberadaan kosong. Ada manfaat untuk diri aku dan orang lain.

Catatan langkah-langkah kecil, untuk jadi rujukan masa akan datang. Dengan menulis, mengabadikan. Rasa selesa pula membebel di blog seperti dulu.

.
Matang dalam menulis? Cara aku, gaya aku, masih sama seperti dulu. Mungkin kerana aku selesa bercerita dngan tulisan.



"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

14 April 2017

Angkatan Baru -HAMKA

"Suara hati, yang meminta perhatian dari pendidik-pendidik, dari penganjur perkumpulan, bahkan dari ninik mamak adat sendiri.
Tentukanlah arah dari pendidikan anak-anak perempuan kita."-HAMKA

Tulisan HAMKA masih "kena" dengan anak muda zaman kini.
Sarat dengan kritikan masyarakat. Kesan
apabila terlalu dimanjakan, diberi pendidikan, tetapi 'kurang arif' kemahiran kehidupan.

"Rupanya mantik dan ma'ani dipelajarinya, nahwu dan saraf dihafalnya, cerita roman dibacanya dengan asyik, hanya satu perkara yang tidak dimahirkannya, iaitu memasak." (Terasa ditembak berkali-kali di dahi membacanya)

"...Dan memang kitab-kitab itu dibelinya, bukan untuk dibacanya, kerana itu belum makanan otaknya, tetapi disusun di atas rak buku dengan teratur."

Buku yang nipis tetapi tebal dengan nasihat. Pesanan untuk anak muda yang baru menamatkan pengajian khususnya dan untuk setiap kita, amnya. Realiti bukan hanya yang indah-indah. Apabila mendaki, kita merasai.

Baca dengan hati, pasti terjentik!

13 April 2017

Mengait Buah Kenangan I

Setiap langkah yang kita atur, ada rencam rasa. Manis, pahit, suka dan duka. Yang dikenang dan diingat selalu tentulah yang manis-manis.

Potret Keluarga SOLUSI 2013
Keluarga Solusi.
Hampir empat tahun aku bersama team ini sebelum mengambil keputusan berhenti bekerja makan gaji. Usah ditanya sebabnya, tidaklah aku mampu menjawab soalan yang terlalu peribadi ini. Cuma doakan aku direzekikan sambung belajar selepas ini, menyambung cita-cita yang tertangguh lantaran sikap diri.

Mahu diimbas-imbas, pastinya tidak semua mampu aku ingat kembali. Kata orang, sudah rezeki, ada jalannya. Meski "gagal" semasa temuduga lisan, temuduga bertulis menyelamatkan dan menjadi jalan untuk aku diterima sebagai sebahagian team Solusi.

I
Yang paling menggembirakan tentu sahaja lantaran dapat bertemu muka dengan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang sebelum ini aku hanya baca bukunya. Aku tidak ingat pertemuan pertama kami, namun ustaz antara orang yang paling bersemangat agar aku terus dan terus menulis. Ketika aku memberi senaskhah novel yang aku tulis, ustaz memberi kata-kata semangat. Ketika aku tunjukkan artikel ganti yang ditulis, ustaz mahu aku terus menulis, ketika aku enggan menulis, ustaz minta disediakan ruang untukku, walaupun akhirnya aku tidak menulis. Dan yang paling aku terharu, ustaz sertakan nama dalam satu artikel ustaz untuk beduk diketuk (yang aku padam namaku, ketika artikel tersebut kusunting) .. Ustaz, bicaranya banyak dengan tulisan yang beliau serahkan saban bulan. Sambil menyunting, sambil membaca untuk diri sendiri.

Itulah. Apabila ada depan mata, kita jarang menghargai. Sudah jauh, dikenang-kenang. Ajaran ustaz, akan aku kenang. Semoga terus aku menulis, dalam genre yang lebih aku cenderung.

  II
Mantan Editor Solusi, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar. Seorang yang banyak bersabar dengan subeditor ini. Seperti tidak percaya hampir empat tahun kami bekerjasama. Saban bulan, ustaz yang terlebih sibuk mempersiap majalah Solusi, sedang subeditor banyak relaks. Beliau yang banyak menyunting, banyak melakukan semua kerja. Apa sahaja yang aku lakukan ya, selama aku di sana?

Tanggungjawab menerbitkan majalah setiap bulan tidak mudah.Bermain dengan "deadline", "mengejar" kolumnis, menyediakan artikel ganti, memikirkan isu setahun, design, pembaharuan team yang ada bertiga (Editor, subeditor dan designer) yang menguruskan.

"Chemistry" semasa bekerja sangat penting. Mungkin itu yang paling mahal aku belajar daripada kerjasama dalam Solusi. Kadang faham dalam diam, cuba memudahkan kerja, fikir kerja rakan sekerja lain juga. Ustaz selalu berpesan, "Jangan hanya fikir kerja kita, fikirkan kerja rakan dalam team juga." Itu yang buatkan kerja semakin lancar.

Ustaz beri arahan, aku lakukan. Kadang mengelat, kadang laksanakan sepenuh perasaan. Masing-masing cuba memahami dan menyiapkan tugasan. Seorang suka berfikir, seorang suka melaksanakan arahan. Lucu juga mengingat, kadang untuk berinteraksi dengan designer sahaja aku gunakan editor juga. 


Seronok.
Enjoy.
Banyak pengalaman.

Itulah yang dapat aku katakan selama hampir empat tahun sebagai subeditor Solusi.

Terima kasih, team Solusi.

...bersambung dengan cerita lain pula.


Potret Keluarga SOLUSI 2015

12 April 2017

Harapan

Berhati-hati menaruh harapan, usah sampai tersalah harap. Lantaran yang menanggung kesannya dirimu sendiri.

Bersederhana dalam segala hal dan bertindak bukan hanya menurut perasaan atau kata hatimu. Pertimbangkan semuanya sebelum engkau mengambil keputusan.

Keputusan. Engkau perlu mengambil langkah pertama. Barulah langkah-langkah lain akan menyusul kelak. Jika langkah pertama tidak diambil, tiadalah langkah seterusnya.

Terbukti demikian halnya yang berlaku.

#ilahusnabebel

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

11 April 2017

Untuk Diriku yang Lupa...


-----Engkau tidak akan dapat semua yang engkau inginkan, namun engkau harus percaya yang setiap yang berlaku baik. Berusahalah menjadi lebih baik, walau dengan melakukan sati perubahan kecil dalam diri sendiri. Dan tetap menunaikan dan membaiki solat. Dengan membaiki cara solat, kita sedang memperbetul diri sendiri.
Yang paling dekat, dirimu. Berkenalanlah lebih dekat, kenal lemah kuatnya dia.

#ilahusnabebel


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Gigi


Suka dengan rawatan dan kemesraan doktor dan pekerja di sini
7 April 2017.
Sudah lama tidak ke klinik gigi. Sebelum ini, aku akan ke sana hanya setelah gigi sakit dan perlu dirawat. Sudah beberapa kali aku berkunjung ke klinik The Gigi untuk mencabut dan menampal gigi. . Setiap kali ke sana, Dr akan bertanya, bila kali terakhir check gigi? Dan aku dengan tersenyum simpul jawab, sudah lama...

"Lain kali, datang buat pemeriksaan gigi. Sebaiknya 6 bulan sekali."

Dan setiap kali terpandang signboard klinik gigi berhampiran rumah, teringat yang aku lama tidak ke sana. Kini gigi ada rasa tidak selesa.

Lalu hari ini, aku "terjah" ke sana. Tanpa membuat sebarang temujanji dengan doktor. Mujur boleh juga berjumpa doktor meski perlu menunggu giliran pesakit yang sudah membuat temujanji dan sedang dirawat. Sudah dapat "amaran" dari doktor, "lain kali tak mahu buat begini. Buat temujanji dulu. Nanti saya rushing."

Aku angguk.

Dr. Lee. Itu nama doktor gigi yang merawat aku. Seorang yang ramah sepanjang dia memeriksa gigi aku. Dia bercerita dengan ramah, dan aku mengeyakan dalam hati. Tunjukkan aku cara floss gigi, bagaimana memberus dengan betul, mana gigi yang rosak dan perlu dirawat....

"Banyak rosak ni. Ada 5 gigi perlu ditampal. Kamu datang lagi lain kali. Jangan simpan lama-lama, nanti makin rosak. Sekarang kos nak merawat mahal. Belum terlambat untuk jaga. Masih ada yang elok. Cuma kena jaga baik-baik"

Malu. Memang aku kurang jaga nikmat gigi. Timbul kesedaran, baiklah penjagaannya. Ketika lain, boleh sahaja aku lena tanpa membersihkan gigi dahulu. Sehingga anak buah aku pun sering menegur, "Gigi Acu kuning."

Sebelum terlewat, memang perlu bertindak sebelum habis gigiku rosak dan perlu dibuang. Ketika itu sesal tidak berguna lagi. Kata orang, nasi sudah menjadi bubur. :)

Dr. Lee berpesan lagi, "Jangan lupa floss gigi sehari sekali. Berus halus mana pun, akan ada juga makanan yang terlekat."

Sambil mencuci dengan sabar Dr. itu menerangkan dan menasihati pesakitnya ini. Sambil minta betul-betulkan lidah yang keras.

Memang setiap kali bertemu doktor gigi, aku akan teringat kenangan usia enam tahun dengan mak. Hari Isnin, ke klinik untuk periksa dan cabut gigi bila diperlukan. Almaklumlah, tidak pandai jaga gigi, kecil-kecil sudah perlu cabut. Terima kasih, mak yang mengajariku menghargai nikmat gigi.

"Nanti buat appointment, datang tampal." Usai cuci gigi, Dr Lee berpesan.

"Saya mahu buat appointment. Selasa minggu depan." Terus aku menyusun temujanji seterusnya. Sementara mampu, perlu buat. Sebelum terlewat.

Untuk kali ini, kos scalling RM90 dan pemeriksaan gigi RM20.

11 April 2017
Hari ini aku ke sana lagi. Temujanji jam 10. Sengaja aku mahu pagi, memudahkan kerja.

"Macamana? Okey?" Dr menyapaku dan bertanya mana satu yang perlu mahu buat rawatan.

Fikirkan poket. "Doktor buat yang paling teruk dulu."

"Okey. Yang lain jangan simpan lama-lama. Nanti makin teruk."

Lalu rawatan pertama berjaya, dengan sedikit rasa sakit yang ditahan. Rasa ngilu juga semasa rawatan berlangsung. Namun kutahan juga hingga selesai. Tampalan lama dibuang, diganti baharu.

Ada bermacam-macam jenis bahan yang digunakan untuk menampal gigi. Macam yang aku lakukan hari ini, Dr. gunakan tampalan warna putih seperti warna gigi. Yang ini lebih tahan, katanya. Sebab dinding gigi aku sudah nipis. Takut tak dapat tahan jika guna yang warna hitam nanti akan cepat pecah semula bila selalu mengunyah. Memang gigi yang aku gunakan untuk mengunyah pun.

Aku mengeyakan sahaja mana-mana yang difikirkan doktor. Kos sebatang gigi yang ditampal ialah RM110. Ditambah ubat yang diguna RM10. Demikian harga yang perlu dibayar kerana tidak menjaga gigi.

Dan empat batang gigi lagi yang menanti. Doktor berpesan lagi, jangan tunggu lama-lama, nanti makin rosak gigi.

Insaf
Benarlah. Setelah merasai, baru akan menghargai.

Semoga belum terlewat untuk menghargai nikmat gigi yang Allah beri percuma. Jika rosak, dan diganti dengan gigi palsu, manakan sama dengan yang asal Allah beri.

Terima kasih, Dr Lee. Kita jumpa lagi. Masih ada empat pertemuan.

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

07 April 2017

Ada Akhirat di Hati Mereka. -INSPIRASI USRAH USTAZ FAUWAZ

“Tentang apakah mereka saling bertanya?” Demikian terjemahan ayat pertama surah al-Naba’ yang akan kita bicarakan kali ini. Allah memulakan surah al-Naba’ dengan pertanyaan.

Hal ini menunjukkan kepentingan budaya soal jawab. Tambahan lagi setiap masyarakat mempunyai kes berbeza untuk situasi yang berlaku. Aktiviti makin berkembang dengan soal jawab.

Al-Naba’ bererti khabar. Surah al-Naba’ mengkhabarkan berita-berita penting untuk diketahui manusia. Tentang hari yang pasti terjadi iaitu hari kiamat. Apakah persediaan yang perlu dilakukan manusia untuk menghadapinya? Bagaimanakah gambaran hari kiamat? Bagaimanakah keadaan orang yang tidak beriman pada hari tersebut?

Ayuh kita meneroka surah al-Naba’ dan ayat-ayat berkaitan untuk mengetahui jawapannya.

10 NIKMAT PENTING
Sebelum kita sampai ke peristiwa penting yang akan diceritakan, dalam ayat 6 hingga 16, Allah menceritakan tentang kekuasaan Allah mencipta alam dan limpahan nikmat-Nya ialah bukti kekuasaan-Nya membangkitkan manusia.

Nikmat-nikmat yang Allah nyatakan dalam surah ini sangat penting untuk kita ambil perhatian:
1. Bumi sebagai hamparan.
2. Gunung sebagai pasak.
3. Menciptakan hidupan secara berpasangan. Kita diciptakan bertentangan untuk hidup.
4. Tidur sebagai rehat. Tidur boleh menjadi rawatan percuma. Badan tetap perlukan rehat kerana akan digunakan selama masih hidup.
5. Malam sebagai “pakaian” Sebagaimana sifat pakaian yang melindungi, merehatkan dan menutup, malam masa yang paling sesuai untuk berehat.
6. Siang untuk mencari rezeki. Seterusnya Allah menjelaskan, “Kami jadikan siang masa mencari rezeki." (al-Naba’ 11)
Allah menciptakan siang masa yang sangat produktif untuk bekerja. Umar Abdul Aziz berkata, “Aku menyediakan siang untuk rakyat, dan malam untuk Tuhan.”
Cuba kita lihat kembali zaman kini. Betapa manusia disibukkan dengan pelbagai tugas sehingga tiada masa untuk berehat. Tunggang terbalik antara fungsi malam dengan siang. Siang berehat, malam berjaga. Kita harus ingat kembali pesanan Allah ini!
7. 7 lapisan langit. Allah menjadikan yang cukup kuat. Di manakah bumbungnya. Betapa hebatnya alam yang Allah jadikan. Inilah yang membezakan kejadian Allah dengan ciptaan manusia.
8. Matahari sebagai penerang. Sains dan al-Quran saling melengkapi.
9. Hujan yang mencurah. Dengan air daripadanya tumbuhan tumbuh. Kejadian yang berlaku bukan “magik” namun kita perlu fikirkan kejadiannya.
10. Kebun yang rendang. (di akhirat ada kebun juga.. kebun syurga)

DUNIA DI TANGAN
Seorang Mukmin akan menggunakan nikmat yang Allah kurniakan dengan betul. Jika tersasar daripada yang Allah tetapkan, akan ada yang tidak kena. Kehidupan boleh jadi kucar kacir. Pengurusan diri mungkin terabai. Bahkan dunia akan rosak jika tidak diuruskan dengan betul.

Selain itu, Mukmin yang meletakkan dunia di tangannya cakna dengan keadaan akhirat. Dia prihatin dengan amaran Allah berkenaan kedahsyatan kiamat sebagaimana yang Allah gambarkan dalam ayat 17 hingga 37. Walhasil dia akan memilih dan sentiasa berada atas jalan kebenaran.

“Jangan jemu melakukan kebaikan.” “penuhi masa dengan kebaikan lebih baik daripada diam. Diam lebih baik daripada memenuhi masa dengan kejahatan. Jadi orang yang terbaik percakapannya.

GAMBARAN AKHIRAT
Perjalanan kembara kita diteruskan dengan gambaran hari akhirat.

Hari yang memisahkan. Misaqan = yang ditentukan.
Tiada yang mengetahui bilakah akan terjadinya hari kiamat melainkan Allah.

Pada hari itu, sangkakala ditiup dan langit dibukakan. Gunung berterbangan jadi abu.
Banyak lagi ayat lain yang Allah gambarkan tentang kejadian kiamat dan gambaran akhirat.


BALASAN TERHADAP ORANG DERHAKA
Jahanam. Tempat kembali orang yang melampaui batas. Untuk orang zalim. Mereka akan tinggal dalamnya dalam masa yang lama. Tidak dapat rasa kesejukan dalamnya dan tidak dapat minuman kecuali air panas yang mendidih dan nanah sebagai pembalasan.

Mereka dahulu tidak harapkan adanya hari perhitungan. Mendustakan ayat-ayat Allah. Ayat Allah ada dua: kauniyah (alam) dan tanzaliah (al-Quran)

Sedangkan setiap sesuatu dicatat dalam kitab.
Rasakanlah azab!

GANJARAN JIKA BERTAKWA
Kami cabut daripada hati orang beriman rasa cemburu. Manusia berhajat kepada “reward”.
Dan Allah memberitakan ganjaran kepada orang yang bertakwa. Dapat kemenangan. Kebun dan anggur. Gadis yang sebaya. Gelas berisi minuman. Mereka tidak dengar percakapan yang dusta. Sebagai balasan dan pemberian daripada Allah. Tuhan yang jaga langit dan bumi.
Tiada perkara lagha. Cinta akan kejujuran. Jangan bina isu atas pembohongan kerana akan membina pembohongan.

PILIH JALAN YANG BENAR
Kita di push dengan hari kiamat supaya buat amalan.

Pada hari kiamat semua tidak berkata kecuali yang diizinkan Allah. Siapa yang Allah kehendaki, akan menempuh jalan kembali.
Kami dah beri peringatan tentang azab.

Orang kafir akan kata, alangkah bagusnya kalau aku jadi tanah.

Kiamat tidak berpenghujung.


PENUTUP
Betapa beruntunglah kita yang diberi nikmat membaca surah ini. Allah sudah memberi amaran awal tentang kedatangan hari kiamat. Surah ini cuba membentuk Mukmin untuk menyediakan “mind-ending” –berfikir tentang hari kesudahan.

Apabila akhirat sudah di hati, akan ada pemikiran “mind ending”.

Mengapa kita diceritakan tentang sesuatu yang belum berlaku? Agar kita ada gambaran tentangnya, seterusnya menyiapkan diri dengan menyediakan amalan.

“Siapa yang mahukan kebaikan kepada dirinya, pastilah dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya.” Allah sudah mengkhabarkan tentang balasan kepada orang yang melampaui batas. Akhirnya Allah rakamkan penyesalan orang kafir pada hari kiamat kelak. “Alangkah baiknya jika kami menjadi tanah.”

Demikianlah! Kita harus mendampingi al-Quran agar al-Quran tidak sekadar menjadi “kitab sejarah” yang hanya dibaca, tetapi tidak dihadamkan ibrah yang terkandung padanya. Kita harus “menggali” di sebalik huruf-huruf al-Quran itu apa? Sedangkan ramai dalam kalangan kita yang berhenti pada huruf tanpa mengeluarkan apa yang di sebaliknya. Gali “harta” di sebalik kalimah. Tidak akan rugi.

Sikap orang yang Ada Akhirat di Hatinya
1. Ambil ayat al-Quran sebagai pengajaran.
2. Audit diri.
3. Tidak lagha.
4. Bertanya apabila tidak tahu.
5. Belajar daripada alam.
6. Bercakap benar.
7. Ringan tangan.
8. Menjadi pendakwah yang peka.
9. Bersama-sama kebenaran.
10. Beri manfaat.




03 April 2017

Kumencari “Zainudin”, Kutemui Diriku Sendiri


Pertengahan Oktober 2015, rakan-rakan berjaya “menghasut” seorang Jamilah yang jarang melakukan aktiviti fizikal selain berjalan, mendaki bukit. Semasa mendaki Bukit Broga (walaupun tidak sampai puncak), saya membayangkan berada di tempat yang menjadi latar novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karya HAMKA. Tanah yang jadi igauan bukan setahun dua.

Dan di situ, saya membayangkan suatu hari akan memandang tanah Maninjau sebenar. Tambahan lagi, ketika itu sedang berlangsung teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya. Selepas menonton Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck berulang kali, membaca novel dan buku-buku HAMKA, saya semakin teringin menjejak tanah itu.

Sudah rezeki, Disember 2016, sampai juga saya ke Sumatera Barat. Mengikuti kembara Jejak Tarbiah. Saya catatkan perjalanan kembara ini, meski sudah beberapa bulan berlalu. Sebagai rakaman perjalanan seorang Jamilah yang jarang mahu berjalan jauh tanpa sebab dan keinginan yang cukup.


TERIMA KASIH, JEJAK TARBIAH
Terima kasih penganjur Kembara Jejak Hamka; Jejak Tarbiah. Media sosial (Facebook) menemukan saya dengan program sebegini.

Melihat sudah berlalu beberapa siri kembara, saya menyimpan angan untuk turut serta, walaupun poket tidaklah penuh sentiasa. Alkisah, teman saya sudah menyiapkan pasport beliau. Dan beliau mahu bercuti juga tahun ini (2016). Sedang saya, pasport tidak ada, wang simpanan mahu jalan-jalan juga tiada.

Memandang poster di Facebook Jejak Tarbiah.
“Jom!”
Lalu dia membalas, “Nak pergi bulan 10 ke 12?”
“10 macam awal sangat, 12 la. Kita cuti seminggu.”
Sudah rezeki saya ke sana. Bayar secara ansuran dan tempah tempat. Akhirnya, saya dan rakan; Wanza sampai ke Tanah Sumatera Barat.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami selamat pergi dan pulang bersama kenangan yang tidak dilupakan. Pastinya terisi ibrah dan siri tindakan yang perlu dilaksanakan dan diteruskan.  Tiga hari perjalanan di sana, bertemankan hijau kawasan. Subhanallah! Terasa segar bernafas.

RAKAN KEMBARA
Bagaimana mahu saya mulakan catatan ini, ya? Catatan ini sekadar rakaman perjalanan untuk berkongsi. Mana tahu akan ada pula rakan lain yang teruja mahu ke sana. Sedikit catatan sebelum  saya ceritakan pengalaman di sana. 

1.Peserta.
Daripada usia 7 bulan sehingga usia nenek-nenek. Memang berwarna peserta kali ini. Walaupun ada yang datang berkumpulan, dan ada 7 orang #gengsingle, memang peserta yang mewarnai suasana. Ya, masing-masing datang dengan tujuan tertentu, namun akhirnya, kita dapat banyak lagi yang mungkin sahaja tidak termasuk dalam senarai tujuan.

2.Jalan.
Pengalaman pertama melalui jalan yang banyak kelok dan agak sempit. Bagaimana agaknya mereka zaman dahulu. Sedikit sebanyak yang dibaca dalam buku-buku HAMKA, terbayang saat melaluinya. Dan aku terfikir, bagaiamana agaknya orang dahulu? Kata Hendri Ilham, dahulu kenderaannya ialah kuda Bendi.

Perjalanan kami dari Bandara Minangkabau sehingga kembali semula dikendali seorang pemandu bas yang sudah cekap dengan keadaan di sana. Profesional. 

Paling mengujakan ketika melalui kelok 44. (Jadi 88, perjalanan pergi balik). Ketika itu pentingnya peranan hon. Kecekapan pemandu mengendali kenderaan, dan persefahaman sesama kenderaan. Fuh, tidak terbayang ketika mula-mula melaluinya.Menariknya, pada setiap kelok, ada Asmaul Husna. Sambil lalu, sambil membaca nama-nama Allah.

3.CINTA.
Saya tidak tahu banyak. Tentang Hamka, tentang Minangkabau, tentang semua hal. Melihat kawasan beliau dilahirkan, suasana Tanah Sumatera Barat, betapa alam dan mereka menyatu. Betapa HAMKA berjaya menceritakan tentang tanah kelahiran beliau sendiri, sehingga saya teringin mahu menjejaki. Kuasa penulisan!

TERUJA
Beberapa hari akan berangkat, belum ada persediaan yang saya lakukan. 

Kak Wani, rakanku bertanya, “Dah ada ke beg?”

“Ada. Saya pinjam beg Aishah. Tapi tak boleh tutup.”

“Mahu pinjam beg akak?” Akisahnya, bergeraklah ke rumah rakanku ini untuk mengambil beg. Beg kembara yang akhirnya saya hanya tinggalkan di rumah kerana hanya membawa beg sandang belakang yang lebih kecil. Sumbat semuanya dalam beg itu.

CATATAN PERJALANAN
13122016
Hari ini, saya terbang menuju ke seberang. Bukan bertujuan mencari Zainudin, sebaliknya agar lebih dekat dengan diri sendiri. Agar saya akan lebih kenal dengan diri sendiri dan Pencipta.
Seawal 9.30 pagi kami sudah di Kepong Sentral untuk memulakan perjalanan. Usai menukar wang kepada Rupiah (sebagai bekal, yang akhirnya separuh kembali ke nilai Ringgit), kami membeli tiket KLIA Ekspres ke KLIA 2.

Perjalanan bakal bermula. Kali pertama menaiki pesawat. Dengan pelbagai peristiwa lucu berlaku sampai masuk ke perut kapal terbang.

Jam 1.59 petang, kami sudah berada di dalam pesawat Air Asia. Saya masih belum kenal semua rakan kembara lain, walaupun sudah bertegur seorang dua ketika di surau.

3.42 petang. Selesai urusan di Bandara Minangkabau. Mayang menanti di sana. Kami menunggu bas yang akan membawa kami meneroka Tanah Padang. Di sinilah saya kenal beberapa rakan bujang yang lain. Kak Hanim, Amira, Nisa, Kak Kiti dan Nazza. Dan ustaz  Ahmad Taqiyudin yang beratur di belakang saya dan Wanza ketika di Bandara.

Perkenalan bermula dan foto #gengsingle terakam di mana-mana. #gengsingle yang lain datang sendiri dan kenal di sini. Fuh! Semangat. Sedang saya hanya berani datang berdua.

Perjalanan bermula. Di dalam bas, bermula perkongsian tentang Tanah Padang. Banyak. Sayang lantaran saya tidak merakamnya. Banyak maklumat yang saya lupa. Individu penting selama di sini ialah Hendri Ilham, Septi Mayang Sari, dan Mulia Mitrahadi. Mereka banyak berkongsi tentang Tanah Padang Panjang.

Destinasi pertama kami ialah Rumah Makan Lamun Ombak. Kami makan siang walaupun sudah agak terlewat. Cuaca di sini terik. Terasa panasnya. Alhamdulillah! Makanan di sini sedap. Selama di sana, tidak sempat lapar, sudah makan lagi. Memang tidak perlu beli makanan lain, selain jalan-jalan, makan sentiasa kenyang.

Menempuh perjalanan hampir dua jam di dalam bas. Tidak terasa kerana dilatari pemandangan asing yang mengujakan. Mata tidak lepas ke luar tingkap. Sambil-sambil mendengar penerangan daripada Hendri Ilham dan Mayang.

Seterusnya, kami singgah seketika di Air Terjun Lembah Anai. Sejuk airnya. Hanya terletak di tepi jalan. Sekadar  untuk menangkap gambar dan merasai dinginnya air. Di sini ada perkhidmatan ambil gambar dengan kos tertentu. Selama di sana, banyak kami belajar betapa mereka kreatif dalam usaha mencari sara diri. 

Akhirnya, aku menulis begini:
“Air terjun
yang mengajari kita
tentang
keberanian
dan kegigihan.”
Sepanjang perjalanan, kami disaji kehijauan alam. Subhanallah!

7.32 malam. Sampai di Surau Nagari. Tempat HAMKA pernah mengaji dan dirawat ketika sakit campak. Ada sejarah dan kisah surau ini. Di tempat inilah terilhamnya kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

“Bukan hanya untuk mengenal siapa Rasyidah. Namun lebih daripada itu. Bagaimana dia mampu ‘mengubah’ kisah hidup menjadi sebuah kisah yang menarik.” Demikian catatan saya usai melawat surau ini.

Perjalanan diteruskan untuk makan malam. Unik kedainya. Kami makan di tingkat atas. Bersimpuh, diteman cahaya bulan terang, dan hujan renyai. Kedai Ayam Penyet. Fuh! Memang sedap. Namun bagi orang yang tidak tahan pedas seperti saya, boleh tahan!

Malam itu kami menginap di Flamingo Hotel. Memang lena tidak ingat dunia, setelah melalui perjalanan panjang hari itu. Sempat juga menukar bilik, hanya kerana mahu bilik berdua dengan teman sekembara; Wanza. Ah, terasa nakal pula!

14 Disember 2016
Hari kedua bermula segar. Awal kami turun pagi itu. Sempat bergambar sepuas hati sebelum sarapan. Lega. Melihat matahari, melihat alam. Oh, saya berada di Tanah Sumatera Barat Sedang menikmati perjalanan ini. 

Destinasi pertama kami ini hari ini ialah Rumah Gadang yang kini menjadi Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau. Memang cantik. Kami diberi penerangan tentang peranan Rumah Gadang dalam adat Minangkabau. Paling seronok, mencuba busana pengantin. Peluang harus dimanfaatkan!

Selesai di sini, kami ke MA KMM Kauman, lokasi HAMKA mengajar suatu masa dahulu. Di sini ada sesi bersama Pak Surya dalam slot Cinta dan Air Mata. Selain sesi motivasi untuk para pelajar sekolah oleh Syed Faiz, seorang motivator yang bersama dalam kembara ini. Mendengar pengisahan oleh Pak Surya, emosi juga! 

Selesai di sana, makan lagi. Kali ini di Pondok Baselo Baramas untuk makan siang. Makanannya usah dikata lagi. Sedap.

Seterusnya kami singgah solat di Masjid Asasi Nagari Gunung sebelum meneruskan perjalanan ke Maninjau. Sempat juga singgah di Kutubchanah Ayah Buya HAMKA. Melihat buku-buku dan majalah lama. Kami berpeluang bertemu sepupu Buya HAMKA yang menjaga kutubchanah ini. Bahkan sekejap meninjau Danau Maninjau dari dekat.

Selesai, kami ke lokasi bermalam yang letaknya di sisi Danau Maninjau. Seronok. Disebabkan hanya bilik sebelah, saya tidak menukar bilik kali ini. Sempatlah meninjau senja di Danau Maninjau. 
Malamnya pula singgah di masjid yang agak baru dibina sebelum makan malam.

Sehari terasa terlalu sekejap. Tidak puas melakukan aktiviti, sudah tiba masa untuk berehat, sebelum meneruskan perjalanan.

15122016
Lokasi pertama kami pagi itu Rumah kelahiran HAMKA. Penceritaan oleh anak buah beliau, Pak Hanif.  Penceritaan penuh perasaan diselang ketawa dan rencam rasa. Kisah HAMKA sejak kecil. Mendengar cerita ini pula di rumah kelahiran beliau. (Nota: Pak Hanif baru meninggal dunia 18 Mac 2017. Allahummagh fir  lahu) 

Seterusnya kami ke Puncak Lawang walaupun matahari makin tinggi. Di sini ada pengisian dan bergambar. Memerhati Danau Maninjau dari atas. Memang asyik jika berada di sini bersama pena dan kertas, ditemani pula secangkir kopi.

Turun dari Puncak Lawang, kami singgah di kilang tebu tradisional untuk melihat cara kerja di sana. Mereka menggunakan kerbau yang ditutup mata untuk mengisar tepu untuk dijadikan gula.
Selesai di sana, kami makan siang sebelum ke Bukittinggi. Kami solat di Masjid Raya Bukittinggi dan membeli belah. Kerana memang tidak berhajat membeli belah, saya hanya membeli key-chain sebagai cenderahati.
Selesai, kami menuju ke Musafir-Inn untuk bermalam. Kami makan malam di Pondok Ikan Bakar. Yang menarik, kami dihidangkan seorang seekor ikan bakar yang memang puas dimakan.

Akhir sekali, kami singgah di pantai Padang untuk bergambar dan ambil angin. Ini malam terakhir kami di sini. Beratnya mahu meninggalkan.

16122016
Kami bangun pagi untuk menuju Bandara. Kembara bakal tamat. Maafkan aku, kerana sehingga sudah, tidak berjaya berkongsi walau sebaris ayat atau ucapan terima kasih untuk kembara ini.
Kami mendarat di KLIA 2 dan meneruskan rutin masing-masing. Alhamdulillah, ukhuwah yang terbina dalam kembara masih berterusan di dunia maya.

Catatan Penutup
Apa yang penting dalam sebuah perjalanan? Ibrah yang engkau dapat hasil perjalanan itu.
Engkau ingin mencari ibrah. Lantas seharusnya engkau temui sesudah engkau menjejak Tanah Padang. Lebih daripada sekadar bergambar, melihat alam, dan tertunduk kagum dengan alam yang selama ini engkau baca  dalam buku-buku HAMKA, kini terentang depan mata. Apakah rasanya?

Alhamdulillah! Alam yang menginspirasi dan menjadi latar beberapa tulisan HAMKA. Bukankah alam juga sebagai guru? Aku mencari Zainudin, lalu yang kutemui diriku sendiri.

Terhidang sudah alam dan manusia lain sebagai guru, adakah kita mahu mengambil pengajaran.Tinggal mahu atau tidak!

Kembaralah, berjalan bukan hanya menambah kenalan, bahkan membuahkan banyak pengajaran.