06 October 2013

Nota untuk sahabat i

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Nota ini aku layangkan buatmu,yang bernama sahabat.
Sahabat yang tidak berkira atau berkira-kira dengan aku,
yang ada saat aku perlukan seseorang di sisi,
mendengar bicara, keluhan dan kata-kata,
menasihatkan saat diri tersasar daripada kewarasan.

Buatmu yang bernama sahabat,
tidak lama lagi kamu akan bergelar graduan,
dan aku,
bukan graduan uia, 
hanya berteduh, menitip ilmu, 
mengenalimu sahabat.

Dalam banyak bicara, dalam diamnya aku,
kau selalu mengambil tahu dan bertanya,
tidak berhenti menyoal keperluan aku.
Ah, saat aku diamkan diri sebab tiada duit mahu beli makanan dan aku segan untuk meminta pada orang lain, kau bertanya, belikan makanan walau aku cuba berdegil!
Sungguh aku malu terlaly banyak menerima, sedang apa yang pernah aku berikan padamu sahabat.

Suatu ketika,
aku pernah menangis kerana suatu perkara,
dan tidak dapat aku luahkan pada sesiapa,
menghantar mesej yang tidak berbalas,
mahukan bahu untuk dibebas beban yang tidak terdaya digalas,
dan tiba-tiba kau berada di depan pintu, 
"awak okey?"
Tidak perlu pertanyaan panjang,
pelukan yang mendamaikan,
menghentikan deraian air mataku sendiri.

Seorang sahabat itu,
hadirnya seorang dalam berpuluh,
untungnya yang menjadi sahabat,
sebenar-benar sahabat.

Kau 
yang tidak boleh aku lupakan dalam titipan doa,
terkirim bahagia buatmu, ingatan,
hanya itu mampu aku lakukan.

Sahabat,
andainya detik demi detik bukan lagi milik kita,
sebab kita sendiri sedar yang perpisahan boleh terjadi bila-bila
sedang diri bersedia atau tidak,
ketahuilah sesungguhnya perkenalan ini sesuatu yang indah!
Sangat indah!

Sahabat,
dalam pentingnya aku pada diri sendiri,
kau cuba menarikku berkomunikasi,
buka hanya dalam dunia sendiri
ada aku dan nafsi.

Semoga Allah melindungimu, sahabat

Sri Damansara.

No comments: