BAB 3
“Szaza, petang ini temankan saya jumpa kawan lama. Lama terpisah, semalam dia hubungi saya. Awak ikut?”
Luqman mengajak Szaza menemaninya makan malam.
“Susah, Luqman. Mak akan bising. Aku masih isteri orang. Harap kamu faham.”
“Isteri orang? Habis mengapa terpisah begini? Entah bagaimana laki yang kamu biarkan dia sendiri.” Luqman sengaja menuang minyak tanah ke dalam api yang mahu marak. Nampak riak kemarahan dalam mata Szaza.
“Luqman, cukup! Aku penat. Mahu berehat di rumah. Sekian, terima kasih.” Segera dicapai beg, bersedia untuk pulang.
“Dia kawan baik awak suatu masa dahulu, Szaza. Temankan aku, ya?”
“Luqman, tolong! Aku rimas didesak. Aku minta kebenaran mak, nanti aku hubungi kamu.” Szaza mengalah.
“Begini kawan saya. Terima kasih, Szaza.”
Tidak membalas, Szaza cepat melangkah meninggalkan pejabat.
***
Pintu hatinya seakan diketuk untuk menerima pelawaan itu. ‘Apa salahnya sesekali aku keluar. Asyik terperap, boleh berkulat.’
“Pergilah, Za. Mak izinkan. Bukannya mak tidak kenal Luqman. Satu pesanan mak, ingat yang kamu masih isteri Ikmal Hakimi.”
Szaza mengesahkan kehadirannya kepada Luqman.
“Bagus! Malam ini saya jemput awak. 8.30 malam.” Belum sempat Szaza berkata apa-apa talian terputus di sebelah sana.
Tangan Szaza pantas memilih busana yang akan dipakai. Jubah seluar hijau lumut amat tepat digandingkan selendang labuh warna senada. Tepat etika berpakaian seorang muslimah. Sedikit bedak disapu ke pipi, menyerlah keserian wajah yang sedikit pucat. Dipandang sekilas wajah di cermin. Puas!
“Szaza, Luqman menunggu.” Mak melaung dari tingkat bawah. Terkocoh-kocoh Szaza menuruni tangga, membimbit kasut.
“Nanti, jangan pulang lewat.” Mak memberi pesan.
“Jom!” Szaza mengajak Luqman selepas mengucup tangan mak.
“Wah, cantiknya! Mesti kawan saya gembira dengan kemunculan awak.”
“Siapa kita mahu jumpa sebenarnya? Apa kaitan dengan saya?” Szaza tertanya-tanya.
“Kita ke Restoran Rebung.” Luqman tidak membalas pertanyaan Szaza.
‘Retoran Rebung? Tempat Ikmal selalu bersama aku. Hari ini, aku akan ke sana dengan orang lain.’ Szaza diam.
“Mengapa, Szaza?” Luqman menyoal setelah dilihat wajah Szaza mendung.
“Tiada modal mahu bersembang. Saya penat, Luqman.” Szaza menutup bicara. Hanya suara deejay radio menemani sepanjang perjalanan.
***
“Sudah sampai. Awak tunggu di sini, saya mahu parkir kereta.”
Szaza memandang restoran itu. Destinasi pilihan Ikmal untuk hari-hari istimewa mereka. “indahnya kenangan!” Terpantul ayat itu tanpa sedar Luqman di belakang.
“Apakah yang indah, Szaza. Berangan!”
“Luqman ... maaf, saya tidak perasan kehadira kamu.”
“Ayuh. Kawan saya tentu sudah di dalam.”
Szaza mengikut langkah Luqman. Dilihat meja yang mereka hampiri kosong. Tidak ada manusia yang mahu dikata kawan Luqman.
“Mana kawan kamu, Luqman? Lelaki atau perempuan? Jangan kenakan saya, Luqman!”
“Awak duduk. Mungkin dia ke tandas. Katanya tadi sudah di sini.” Szaza tidak senang duduk. Ada anggapan buruk muncul. Luqman sudah bergerak entah ke mana. Sepuluh minit dia termangu di meja makan,Luqman kembali. Kawannya belum nampak.
“Szaza, perkenalkan kawan aku, Ikmal Hakimi ...” Belum sempat Luqman menghabiskan kata, Szaza menoleh ke belakang.
“Masya Allah, abang ! Luqman, apa erti semua ini? Kamu kata mahu bertemu kawan lama kita. Ini ... sampainya hati kamu, Luqman!” Ada air jernih menitik tanpa dipinta. Dia rindu wajah itu. Dia malu pada Ikmal. Tidak dipeduli wajah-wajah asing memandang pelik drama tanpa skrip itu.
“Maafkan saya, Szaza. Ikmal mahu bertemu awak. Saya tahu awk rindu dia. Saya yang aturkan pertemuan ini.”
Ikmal Hakimi mengambil tempat bertentangan Szaza. Dia kasihan melihat isterinya menangis. Direnung wajah mendung itu sepuasnya. Melepas rindu tiga bulan terpisah.
“Sayang ...” Dia mula menyusun kata.
‘Ikmal panggil aku dengan nama itu? Enam bulan aku rindukan panggilan itu.’ Szaza tidak keruan. Akhirnya, dia membatu di tempat duduk. Wajah ditunduk, memandang meja. Esakannya kian reda. Disapu mata yang basah.
Kaku.
‘Biar Ikmal pecahkan kesunyian ini.’ Szaza tetap bisu.
Comments