Sebelum bermulanya kisah ...
Sebenarnya ini manuskrip yang saya tulis secara suka-suka pada zaman sekolah menengah dalam sebuah buku panjang. Terasa rugi dibiarkan begitu, saya taip semula. Ia kisah biasa, dan tentang orang yang sudah berkahwin. Kisah klise. Ya. Zaman sekolah saya banyak baca buku jiwang karat. Jadi, saya rakamkan kembali tulisan saya suatu masa dahulu. "Nilai Sebuah Kasih."
Saya tuliskan kembali, namun dalam bahasa yang lebih santun.
Kebahagiaan Kunci Ikatan. Namun andai ia dinodai- Nur Szaza binti Syahidullah.
Peristiwa yang berlaku itulah menyedarkan aku daripada mimpi di siang hari - Luqman Hafizi Mukhtaruddin
Aku menerima dirimu seadanya kerana ingin membalut lukamu. - Nur Liyana Haziqah Mukhtaruddin
Padamkan wajahnya dan sayangilah aku - Nur Syazwani Wardah binti Bakri
Walau kau tiada di sisi, semangatmu kusimpan rapi - Muhammad Ikmal Hakimi Izzuddin.
"cuma aku yang belum mengenal erti hidup ... kelabu" - seorang aku yang menulis kisah ini.
***********************************
Nilai Sebuah Kasih
Lu'luah Nur Jamilah
BAB 1
“Szaza, andai dikau pergi siapakah yang akan mengisi kekosongan kamar hati ini?”
Begitulah keadaannya tatkala isteri yang selama ini setia mengambil keputusan meninggalkannya tujuh hari lalu. Salahnya juga lantaran kekasaran kata-kata yang menyebabkan naluri kewanitaan wanita itu tersentuh.
Suara itu berulang-ulang di pendengarannya. Malahan sampai saat ini Ikmal tidak mampu untuk melupakan walau sepatah kata yang diucapkannya tempoh hari. Dia tidak sanggup menatap wajah mulus itu.
Hanya dengan kata-kata telah membuatkan ratu hatinya itu membawa diri ke pangkuan keluarganya. Begitulah hebatnya penangan kata-kata yang terlontar daripada dua ulas bibir Ikmal.
Sebenarnya mereka pasangan bahagia yang telah mengemudi bahtera cinta bersama-sama selama lima tahun. Lima tahun. Szaza belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Bukan tidak berusaha, belum masanya mereka memperoleh cahaya mata. Belum rezeki.
“Abang, esok Za ada temujanji dengan Dr Suzila. Katanya keputusan ujian yang dijalankan minggu lepas sudah ada di tangannya. Doktor minta kita mengambilnya secepat mungkin.”
“Huh! Dah puas kita berusaha, Za tidak juga mengandung. Abang penat menunggu. Agaknya Za memang tiada harapan hamil.”
“Kalau Za mahu pergi, Za pergilah sendiri. Esok abang ke Pulau Pangkor, ada seminar.” Ikmal menyambung setelah melihat Szaza membantu dengan kata-katanya.
“Tidak boleh tangguhkan sehari? Hanya esok.” Szaza cuba memujuk Ikmal. Suaranya mendatar.
“Tidak boleh, Za. Seminar ini paling penting dalam kerjaya abang. Orang yang akan abang temui menjanjikan masa hadapan yang cerah bagi karier abang. Za pergilah seorang. Kemudian, telefon abang maklumkan keputusannya.”
Ikmal menyendurkan suara. Szaza tidak membantah. Tunduk mengacau jus oren dalam gelasnya. Senyap mengisi petang itu walaupun mereka duduk bersebelahan.
Ikmal tidak menyangka keengganannya untuk sama-sama melihat keputusan pemeriksaan itu menimbulkan rajuk besar kepada isterinya. Kata orang beras sudah menjadi pasir. Tidak boleh diubah kembali.
‘Sampai bila Za akan merajuk. Lama-lama baiklah dia.’ Akhirnya Ikmal mengambil keputusan untuk mendiamkan diri buat sementara waktu sehingga tamat seminar.
***
Kehidupan peringkat ijazah sarjana mudanya mencatatkan kenangan terindah dalam hidup Muhamad Ikmal Hakimi bin Izzudin. Di sinilah kasihnya membunga pada gadis pemilik nama Nur Szaza bin Syahidullah.
Walaupun diminati ramai gadis disebabkan kelebihan rupa yang dimiliknya, semuanya tidak berjaya mencuri perhatiannya. Dia fokus kepada akademik dan pelbagai aktiviti anjuran universiti dan persatuan yang disertainya. Perasaan ini bertukar pada tahun akhir pengajiannya.
Ikmal makin sibuk hingga membataskan akalnya daripada memikirkan soal pasangan hidup. Walaupun ada yang menawarkan diri, dia menolak mentah-mentah.
‘Aku mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Jodoh akan tiba juga.’ Skema jawapan Ikmal andai ada yang bertanya.
***
Pelajar-pelajar baru mendaftarkan diri hari ini. Menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang sekretariat Minggu Orientasi Pelajar Baru menyambut kedatangan pelajar yang akan menjadi sebahagian warga universiti. ‘cantiknya ciptaan Allah ini!’ Hati terus bersuara tatkala terpandang seorang gadis bertudung labuh merah susu. Gadis itu seperti mencari sesuatu. Sekejap pandangannya melingas kiri dan kanan.
‘Rezeki depan mata.’ Entah mengapa itu yang terdetik di hatinya. Sedang sebelum ini tidak pernah terfikir mahu mencari pasangan hidup semasa masih belajar.
“Assalamualaikum. Saya Ikmal, sekretariat minggu orientasi. Saudari cari apa?” Ikmal mendekat gadis berwajah tenang itu.
“Maaf, saudara. Saya sebenarnya menanti kawan. Itu, dia sudah tiba. Assalamualaikum.” Gadis itu cepat berlalu. Tidak memandang ke arahnya.
***
Ikmal teringat saat mula perkenalannya dengan Szaza.
‘Hm, teman yang aku katakan sombong suatu masa itulah permaisuri hidupku selama lima tahun. Jodoh, benarlah ia sangat rahsia.’ Ikaml tersenyum sendiri.
‘Kenapa aku sanggup berkata kasar dengannya. Sudah seminggu. Belum sekali dia menelefon. Mesej pun tidak. Bersalahnya aku. Sibuk dengan kerjaya, tinggalkan isteri.’ Dia bertekad menghubungi Szaza dan memujuknya kembali. ‘Wah, aku perlu belikan hadiah buatnya sebelum Pangkor aku tinggalkan.’ Dia menyimpan hasrat.
...bersambung bab 2
Comments