21 January 2013

Masanya Menyambung Aksara Tertangguh ...

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Kepulangan aku kali ini,selera untuk membaca tinggi saat talian internet tidak dapat aku tembusi. Untung juga selepas dua minggu di desa tercinta, hanya hari ini kakak memberi aku pinjam broadbandnya. Kepuasan berlama-lama dengan kekasih buku, ditinggal cinta hati tulisan. Tidak ada perkara lain yang aku sibukkan selain membaca buku yang dibeli pada 2012 namun belum aku sentuh dan baca terutamanya buku yang aku sambar dengan rakusnya di Big Bad Wolf. Cuti ini memang harus dihabiskan dengan membaca buku-buku itu. Faham nombor dua, paling utama baca semua ayat yang tertulis.

Cerita ustaz dalam kelas Modern Prose Text menjengah ingatan. Seorang temannya yang tidak tahu berbahasa Arab boleh membaca dan menulis dengan baik setelah membaca bahan bacaan bahasa Arab dengan banyaknya. Kuakui walaupun tidak mungkin diingat semua yang dibaca sekurangnya dalam beratus muka buku yang dibaca, akan ada satu perkataan yang akan lekat dalam kepala. Apa yang dibaca hari ini, gunanya masa hadapan. Sebagaimana apa yang dibaca semasa sekolah rendah dan menengah ada yang sekarang ‘masuk’ dalam diri.

Benarlah, saat diri tidak keruan mahu menulis, terus dan terus membaca sampai 'rasa' mahu menulis itu kembali. Terus mengembara ke hutan kata-kata yang tidak menyesatkan walau sejauh mana kau berjalan jauh ke dalamnya. Asal sahaja jalannya benar.

....tentang apa yang terlihat oleh mata, didengar telinga, dirasa lidah, dilintas di kepala, dicetus dalam hati, membacanya bukan hanya sekali, harus berkali-kali. Pandang kali kedua boleh mengubah persepsi pertama. Wahai diri, usah terlalu pantas menilai. Pandanglah diri seribu kali sebelum aku memandang diri orang lain. A

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Harapan saya, Jamilah akan terus mencoret di sini untuk bacaan kami. Teruskan. Semoga berjaya.

Jamilah Mohd Norddin said...

Tetamu Istimewa,

Ya, akan terus 'menconteng'di sini. Setiap cubaan untuk berhenti berbloggging bertemu jalan buntu. Akhirnya akan kembali menulis.

Terima kasih membaca dan meninggalkan jejak di sini. Buat saudara juga, semoga makin prolifik.