26 January 2013

Cinta Senafas Angsa: Kumpulan Cerpen Tuah Sujana

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Cinta Senafas Angsa: Kumpulan Cerpen

Tuah Sujana

ITBM & PENA


Tuah Sujana. Nama ini pertama kali saya dengar ketika bengkel Minggu Penulis Remaja 2007. Editor majalah di DBP menjadikan cerpen beliau 'cinta senafas angsa' cerpen antara cerpen terbaik dalam Tunas Cipta tahun 2007. Ketika itu saya tidak suka cerpen itu, entah mengapa.

Wujudnya facebook mengenalkan saya pada pemilik nama pena Tuah Sujana dan melahirkan kagum dalam diri apabila dalam usia muda dapat menembusi tembok Dewan Sastera.

2013, saya berpeluang membaca kumpulan cerpen sulung beliau, Cinta Senafas Angsa, dan rasa tidak suka berubah menjadi suka cerpen-cerpen yang ditukang beliau. Ini antara penulis yang matang dalam menulis walaupun usianya muda. Tentu sekali seorang yang rajin membaca bacaannya luas (berdasar cerpen yang saya baca. Saya hanya mengenali tulisan beliau, bukan orangnya)

Bahasa yang baik
Saya sangat senang bahasa yang digunakan pengarang dalam cerpen-cerpen beliau. Segar dan menambah kosa kata saya sebagai pembaca. Selain cerita dan ilmu yang disampaikan pengarang dalam sesebuah tulisan, saya sangat senang dengan tulisan yang menggunakan bahasa yang santun dan baik.

...Dari atas langit, kedengaran guntur memecah kesunyian diiring bunyi gemeretap sebaik sahaja rintik hujan menimpa bumbung gerai. ... (m/s165)
JUDUL-JUDUL CERPEN DALAM CINTA SENAFAS ANGSA:

  • Bianglala Gaza
  • Teja, di Sisi Prahara
  • Cinta Senafas Angsa
  • Lazuardi
  • Gendala Cinta Arkad
  • Sumpah Bakawali
  • Alkisah Toyol
  • Di Perkampungan Jawapan
  • Kalbu Tengkujuh
  • Rindu Salman
  • Lensa Cordova
  • Sebelum Rintik 
  • Mimpi Senja Kirmizi
  • Jendela antara Purnama
  • Kidal
Dengan tema pelbagai daripada cinta, zaman persekolahan, budaya, ibrah kisah haiwan, dan kemanusian; pengarang membawa pembaca ke dalam cerita yang di tulis. Latarnya tidak hanya di Malaysia, malah ada cerpen beliau berlatar luar negara.

Kekuatan cerita-cerita beliau bagi saya ada bahasa yang beliau gunakan. Dalam semua cerita, saya sangat menyukai Di Perkampungan Jawapan. Kisah seorang jutawan yang menemui dirinya setelah berada di sebuah kampung. Manis sekali kisahnya!

Ternyata, pengarang akan pergi lebih jauh dan mewarnai dunia sastera tanah air. Semoga beliau akan terus menghasilkan karya yang bermutu.

*nota tambahan: Saya sangat senang membaca buku-buku terbitan ITBM sebab kertas yang digunakan sangat ringan. :) Tidak terasa membawa buku di tangan, dan melancarkan pembacaan.

4 comments:

Tetamu Istimewa said...

Ya, saya juga telah membaca kumpulan cerpen ini. Ternyata penguasaan bahasa penulisnya amat baik. Tahniah untuk Tuah Sujana.

Jamilah Mohd Norddin said...

Tetamu Istimewa,

Dia penulis muda dan punya potensi besar.

the saa. said...

dia senior kat sekolah dulu. dan memang, he really loves reading. kagum.

Jamilah Mohd Norddin said...

the saa.

patutlah tulisannya kuat.
Jika senior suka membaca, samalah juniornya, kan?