22 January 2013

Cerpen: Kata Pada Angin i

Kata Pada Angin i

Jamilah Mohd Norddin


Musim perkenalan kita melebihi empat musim. Musim suka, duka, rajukan, berdamai, berdiam diri, kembali bersatu. Banyak perubahan terjadi lebih sedekad pertemuan kita. Sekali engkau hadir dalam hidup aku, terus menetap dalam hati

Hari itu aku terlalu ingatkan engkau. Sangat-sangat. Telefon genggam aku biarkan mode senyap. Buku kumpulan cerpen bertajuk Audi Alteram Partem aku belek muka demi muka. Ada cerpen-cerpen yang menambah ingatan aku pada engkau.

“Awak, sekiranya awak bunga, saya mahu jadi tangkainya. Jika awak nasi, saya mahu jadi lauknya. Sebab awak manusia, saya mahu jadi sahabat baik awak.”

Malam. Aku pandang skrin telefon genggam murahku. Ada pesanan daripada engkau. Sungguh, saat kita ingatkan orang lain, dia juga ingat akan kita.

Kesat mata yang tanpa sedar basah. Engkau jauh di perantauan melanjutkan pengajian. Sedang aku sudah bergelar penganggur terhormat. Baca sekali lagi mesej yang tertulis. Mata makin basah.

“Awak, mengapa awak baik dengan saya?” Aku membalas begini. Mengapa engkau tidak berhenti berkawan dengan aku walaupun engkau sudah mengenal aku yang sebenarnya

“Awak, setiap hari saya teringatkan awak. Saya tidak dapat melupakan awak. Awak mengingatkan saya yang kita tidak sempurna.”

Aku senyum kelat. “Terima kasih.” Aku tidak mampu membalas apa-apa. Berbaring di katil, aku capai pen dan kertas.


Engkau, aku berikan kata-kata ini untuk engkau yang aku rindu. Sekali bertemu, tidak dapat dilupa apa terjadi. Terima kasih menjadi sahabat saya. Engkau, selamanya kita sahabat.

Rindu mengetuk-ngetuk pintu hati,
Hati separuh sepi,
Separuh penuh rindu seorang yang dekat dengan diri.
Hidup baik-baik.


Persahabatan, berbeza dengan perkasihan. Kasih dihalalkan dengan ijab kabul. Persahabatan direstu ikatan hati. Pasti, ini kisah persahabatan sama jantina. 

Engkau, di mana engkau ada sekarang, apa sahaja sedang diingat, bisikkan doa buatku. Berpisah jasad, hati tidak. Bersatu kita walau tidak bersama. Akan terus aku bisikkan pada angin, alun rindu buatmu bernama sahabat.

5 comments:

Embun Melati said...

Bertuah Jamilah punya sahabat sebegini.

Jamilah Mohd Norddin said...

Embun Melati,

Ini cerita fiksyen.Mulanya saya hanya berhajat meletakkan gambar yang tulisan-tulisan tangan yang tercantum menjadi kata-kata. Akhirnya, tersusun kata demi kata menjadi perenggan akhirnya mencecah satu muka.

Ia hanya catatan, tiada berkenaan sesiapa. Andai ia boleh dikatakan cerpen .. itulah sebenarnya.

Terima kasih meninggalkan pesan di sini.

Tetamu Istimewa said...

Catatan dari hati ke hati. Ada beberapa ayat yangs aya suka. Tahniah!

Jamilah Mohd Norddin said...

Tetamu Istimewa,

Catatan dari hati melalui papan kekunci. Ayat yang mana satukah, jika saya boleh tahu?

*sudah lama tidak menulis cerpen. Selepas baca kumpulan cerpen Aidil Khalid, ada suara-suara memanggil untuk mencatat sesuatu.

Tetamu Istimewa said...

saya suka dengan ayat ini: Mengapa engkau tidak berhenti berkawan dengan aku walaupun engkau sudah mengenal aku yang sebenarnya.

Jadi, dalam perhubungan seorang kawan dengan kawan, apakah yang kita cari?