24 December 2012

Drama Melayu

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


... aku merasakan sebenarnya industri drama dan perfileman negara kita belum terlalu kontang. Masih ada cerita yang baik.

baik jalan ceritanya.
sesuai dengan orang kita.

mungkin sebab aku suka tengok cerita melayu banding cerita lain.

antara penulis skrip yang saya suka ceritanya:

-Siti Jasmina Ibrahim
-Zabidi Mohamad
-Maizura Ideris.

Dan mungkin ada lagi yang saya tidak ingat nama mereka. Menyampaikan cerita dengan skrip sangat berkesan untuk generasi muda.

23 December 2012

Once Upon A Time ...

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.



Saya masih ingat indah dunia kanak-kanak itu. Setiap kali ibu ayah belikan benda dalam kotak atau botol, akan disimpan kotak dna botol itu. Buat dimain jual-jual. Tiket yang kami dapat jika menaiki bas, akan disimpan. Tiket apa-apa pun akan disimpan. Banyak benda yang disimpan sebagai modal bermain jual-jual. Ada kawasan permainan kami. Dalam bilik tidur, bawah meja sering kami jadikan tempat permainan. Kami tidak perlukan padang permainan. Anak-anak perempuan cukup bermain dalam rumah. Berjual-beli. Itu permainan yang sering kami mainkan ketika zaman itu. 90-an.

Cuaca terang, kami beralih ke luar rumah. Bina rumah sendiri di bawah pohon. Kutip daun-daun pohon dibuat masak-masak. Main tanah, buat kuih. Masih juga menjual. Besar sedikit, sudah pandai main basikal , polis ligan pencuri. Ah, zaman anak-anak.

Dalam bilik, masih kekal contengan zaman anak-anak. Kononnya main cikgu-cikgu. Habis dinding bilik menjadi mangsa contengan. Tiada siapa yang akan marah. Dinding itu kekal sampai hari ini.

Main jengket, guli, congkak biji getah, tuju getah, zirofoin, main selipar. Teringat pula saya permainan zaman itu. Sekarang tidak banyak yang anak-anak tahu. Permainan komputer dan tivi yang lebih mereka kenal. Beruntung rasanya menjadi anak –anak zaman 90-an yang walaupun penghujung 1900-an, masih terasa zaman anak kampung itu. Pengalaman indah yang tidak dirasa semua orang.

Adakah nanti, kita hanya dapat lihat permainan tradisional dalam cerita upin-ipin?

21 December 2012

catatan dinihari

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


Gadis itu melepasi satu demi satu rak buku yang ada di MPH Alpha Angle. Hujung minggu itu dia 'melepak' sambil menghidu haruman buku yang dirindu. Cuti Sekolah. Ramainya pelanggan yang ada bersama ibu ayah.

"Ibu, nak beli buku ini." Anak itu mengunjuk sebuah buku.

"Ala, cerita repunzel boleh tengok di tivi."

Ah, kasihan anak yang mahu membeli buku itu.

****

Cerita BBW sudah berakhir kepada gadis itu. Pejamkan mata, habiskan buku yang sudah dibeli. Apa guna buku dibeli hanya jadi penghias almari. Kata Tuan Bahruddin Bekri, ilmu hanya bermanfaat saat saat ilmu itu mendekatkan pemiliknya dengan Allah.

# pejam mata lihat buku. Selak dan rasakan harumnya sahaja. Ada bajet baru kira lain. Alamak, terbeli majalah tanpa sengaja.

****

Kedai Buku 1 Malaysia di Puduraya (senang lagi aku menyebut Puduraya, walaupun namanya sudah menjadi Pudu Sentral.), bilakan dapat aku ke sana lagi? Haruskah aku ke sana lagi? 15 peratus diskaun setiap buku. Hm...

****

FOKUS! -Ina Nailofar pesan.



***
Wah, anak saudara akan bertukar status. Daripada pelajar pra-sekolah, melangkah ke darjah satu. Comel pula membayangkan jejaka tampan tujuh tahun itu berpakaian sekolah. Dia suka meneroka. Dia kreatif. Abang, jangan mudah merajuk dan menangis. Lelaki jiwanya kuat!

Aqilah, sudah berapa bukukah yang kamu baca? Ibu saudaramu ini tidak dapat hadiahkan benda lain yang boleh dibeli ibu ayah. Cukuplah Acu berikan buku untuk bacaanmu. (walaupun hanya beri pinjam. Acukedekut)

Syafiqah yang comel. Lima tahun pada 5 Januari. Semangatnya kuat mahu ke sekolah. Sering mahu bernakal-nakal dengan ibu saudaranya, tetapi diam di sekolah. Teringat catatan Puan Nisah Haron lewat buku Kembara UK beliau.
***
Hujung tahun?
tidak rasa apa-apa.

***
sudah tahu  sakit, carilah ubat. Hilangkan ketakutan bertemu doktor. Mereka tidak makan orang. :) Terbayangkan wajah manis perempuan berkot putih.

"orang nak kakak jadi ahli farmasi, senang ambil ubat." itu impian kakakku pada anak sulungnya. Kata kakak, bagus juga ahli farmasi daripada doktor. Ah, sudah lebih sedekad dia bergelar jururawat.

sekian, terima kasih.
4.10 pagi
211212



16 December 2012

Borak Buku Bersama Tuan Behruddin Bekri

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Hari Ahad bersamaan hari minggu. Aku di bilik menghadap eat, pray, love yang disambar di Big Bad Wolf yang lepas. Jam 3.30 petang, aku bergerak meninggalkan bilik ke program kedua anjuran Ma'ruf Pena. Aku masukkan Diari Mat Despatch Naluri Ayah ke dalam beg.

Aku menjadi VIP yang datang lewat. Tersangat lewat, mungkin.

Sempat aku tangkap kata-kata beliau. Jadi penulis mesti bersabar. Selain sabar, mesti syukur. Sabar menulis. Bersyukur sebab masih diberi kesempatan menulis.

Itu yang sempat masuk dalam kepala. Masih tanpa soalan terlontar.

Setiap kali berkesempatan bertemu Tuan Bahruddin Bekri, aku menghulur buku untuk ditandatangan.

"Nama?"

"Jamilah."

"Jamilah Norddin?" Tuan Bahruddin Bekri menyoal. Ternyata dia punya ingatan yang kuat. Soalan yang sama ketika aku menghulur buku di PBAKL 2012 yang lalu.

Mengapa ya mesti tandatangan? Kepuasan seorang pembaca seperti aku. Sebab aku percaya tandatangan itu mahal harganya bagi seorang pembaca. Penggila buku? Aku terperasan bulan ini bajet berlebihan untuk membeli buku. Masa membaca!

Benarlah saat buntu menulis, membaca ubatnya. Saat menulis akan kembal. Lalu, aku menukil di sini.

Terima kasih Ma'ruf Pena menggerakkan aktiviti begini di UIA. :)

14 December 2012

Big Bad Wolf

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Dalam bas ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, aku menghantar mesej kepada Ainul. Mengajaknya ke Bid Bad Wolf di MIECC. Belum pernah aku terjah ke sana.

Akhirnya Selasa, 11 Disember 2012; aku diperkenan ke sana bersama Ainul. Seawal jam lapan suku sudah meninggalkan bumi UIA demi menjejak buku bahasa Inggeris. Seingat aku tidak sampai lima buah buku bahasa Inggeris yang pernah aku hadam. Tentunya bacaan wajib Literature semasa di Sekolah Menengah. The Phantom of The Opera dan The Pearl yang masih aku ingat. Itu bacaan wajib.

Ternyata sangat mengujakan saat jejakkan kaki ke sana. Akhirnya kami berpisah mencari buku yang mana berkenan. Hampir tiga jam melilau dan pusing sekitar dewan mencari buku yang berkenan. Ikutkan nafsu, setiap satu buku mahu 'disambar' biar puas hati. Poket membataskan belian. Akhirnya, dapatlah 20 buah buku berbahasa Inggeris dalam genggaman dengan dua kali bayaran.

Semoga berkesempatan lagi ke sana tahun hadapan. Harus berusaha membaca dalam bahasa Inggeris.Teringat kisah ustaz dalam kelas Modern Prose Text berkenaan kawannya yang belajar membaca dengan menghadam buku. Jujur, tidak puas membaca buku yang dialih bahasa, lebih enak dibaca dalam bahasa asal walaupun bukan semua katanya yan dapat difahami.

Sekian, cerita BBW yang mengujakan hati dan perasaan! Sesiapa yang belum ke sana, harus merasakan debarannya dan mengambil peluang keemasan ini!

12 December 2012

Bengkel Penulisan Ma'ruf Pena 1 : 4 Disember 2012

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

lokasi: ECONS BUILDING tingkat 4
Masa: 9-11 malam
Pembimbing: Ustaz Zahiruddin Zabidi
Penganjur Ma'ruf Pena UIAM

(entri ini bertarikh 4 disember 2012)

Sinar baharu sebuah perjalanan.

Dia pandang skrin laptop seakan dapat ditembus pandangan sampai ke bahagian dalaman laptop. Satu perkataan enggan bersahabat dengannya malam itu. Lalu, dia terkenang baharu tidak sampai sejam dia menghadiri bengkel asas penulisan oleh Ustaz Zahiruddin Zabidi. Bengkel ini aktiviti pertama Ma’ruf Pena yang dia sertai. Ma'ruf Pena? Ini sebuah grup yang digerakkan oleh beberapa orang pelajar UIAM berbakat dan mahu meihat penulisan berbahasa Melayu bergerak di bumi UIAM.

Berada dalam bengkel itu, terasa dirinya sudah tua. Kebanyakan peserta adik-adik muda belia. Ada apa pada angka? Berada dalam kalangan adik-adik yang suka menyoal, semoga suatu sesi nanti akan ada soalan yang terbit daripada ulas bibir dia juga. Insya-Allah, suatu ketika.

Saat ustaz bicara RAM (Ramlee Awang Murshid) setiap kali dapat royalti akan sujud syukur dan sudah terperuntuk zakat daripada hasil royaltinya, dia tertegun lama. Ketika ustaz menyambung kisah Fatimah Syarha memulakan penulisannya, dia terdiam. Ketika ustaz berkongsi pengalaman perkenalan beliau dengan isteri, dia ketawa. Ada usul yang boleh diturut. Minta jodoh sediakan proposal sebelum bernikah. (dalam banyak hal ustaz ceritakan, ini pula yang dia ingat.)

Tentang penulisan. Memugar kembali ingatan perihal penulisan. Harapkan setiap tahun berbengkel, bilakah akan kembali tembusi media?

Mahu tahu satu perkara? Ini cerita ustaz Zahiruddin perihal mula beliau menulis. Beliau bermula dengan surat pembaca. Dalam banyak-banyak halaman akhbar, ruangan surat pembaca paling berkesan untuk melontar fikiran. Orang berkenaan akan segera ambil tindakan apabila ada yang menulis dalam surat pembaca. Beliau terus dan terus menulis. Petuanya, konsisten!

Kata ustaz lagi, penulis harus tambah sensitiviti. Setiap yang dilihat boleh diolah menjadi kisah dan cerita. Bukan dijadikan tabiat pula melihat sekeliling dan tulis apa berlaku. Tidak sepertinya 100% sama apa yang berlaku, semuanya boleh diolah. Paling utama tulis. Setiap orang perspektifnya tidak sama. Dalam bengkel tadi pun, seramai mana peserta, sebanyak itulah perspektif berbeza yang terhasil.

Ada seseorang bertanya berkenaan idea. Ya, soalan yang sentiasa ditanya, bagaimana olah idea, bagaimana dapat idea. Jawapannya, idea ada di mana-mana. Ya, idea sentiasa ada di sekeliling kita.

Jujur, ketika diminta perkenalkan diri, dan buku semasa yang dibaca, dia tidak punya jawapan. Minggu ini seingat dia hanya baca beberapa helai lamunan puitis oleh Shahnon Ahmad yang kemudiannya dia sudah hantarkan ke perpustakaan. Lalu dijawab, Diari Mat Despatch Naluri Ayah, sedang buku ini dibaca usai kembali dari kampung hampir 3 minggu lalu. Kontang dia tidak membaca. Ustaz banyak bercerita perihal Tuan Baha dan dia angguk setuju.Walaupun dia pembaca setia Diari Mat Despatch dan belum membaca semua buku Tuan Baha, dia setuju pendapat ustaz. Tuan Baha bijak mengolah cerita! Kisah kecil boleh menjadi sesuatu yang bukan hanya buatkan dia ketawa tetapi rasa kepala kena ketuk.

Kata-kata ustaz sebelum bersurai, tidak ketinggalan dia catatkan, “kita tidak tahu kebaikan manakah yang bawa kita ke syurga.” –ustaz Zahiruddin Zabidi, 2012, ECONS Building, UIAM.

Mahu menulis kena ada dorongan. Inspirasi. Jika tidak tahu mahu mulakan bagaimana, baca dan membaca. Suatu saat, akan ada desakan dalam diri mahu menulis sesuatu. Ia menghentam dinding hati lalu pena dengan lancarnya menulis.

Ini siri pertama bengkel bersama ustaz Zahiruddin anjuran Ma’ruf Pena. Insya-Allah, semoga lanjutannya berjalan lancar dan diberi peluang mencedok ilmu daripada beliau. Banyak perkongsian, ditambah soalan yang dikata ustaz mencabar.
-bagaimana kalau orang itu ada idea tetapi tidak tahu melontarkan dalam bentuk tulisan
-bagaimana jika ada orang yang ideanya datang ketika mandi?

Wah, tidak sabar menanti aktiviti Ma’ruf Pena seterusnya. Dia peserta baris dua daripada belakang. Dua jam terasa singkat. Alhamdulillah, atas kesempatan ini.

JAMILAH MOHD NORDDIN
IIUM.
____________________________
# ini entri tertangguh pertama.
# Ahad ini (16.12.2012) ada borak buku bersama Bahruddin Bekri. Penulis yang saya suka ceritanya. Cerita kehidupan yang sering buat aku tersentap sendiri membacanya!